Aku, dia dan mereka.

Thursday, January 16, 2014

CERPEN : GETARAN DOSA


[Ana tunggu enti kat pondok kolej pukul 11 pagi esok, enti nak datang atau tak terpulang, waalaikummussalam.]

Ringkas!

Tatkala sedang asyik mengulang hafazan seusai subuh, satu SMS masuk, jelas terpapar di skrin telefon Samsung putih kesayangan itu.

Allahuakbar! Apa yang harus dilakukan?

Lantaran fikiran kelaut memikirkan kisah semalam. Al-Quran ditangan entah bila tertutup tidak disedari, ulangan hafazan Surah Al-Maidah tadi tidak tahu dimana hentinya.

……………………………………

Hampir sebulan ikatan itu diakui keduanya. Istilah sayang, cinta, kasih dan sewaktu dengannya sengaja dipendamkan, namun hati masing-masing tidak dapat menipu dalam mengakuinya. Allah saja yang arif dan a’lam.  Sengaja sama-sama bertekad untuk  tidak mengungkapkan kata-kata itu sehingga sah menjadi yang halal.

Semalam, tidak tahu kenapa dan mengapa si Mujahid seakan memaksa meminta untuk bertemu. Pertemuan hanya berdua. Katanya andai berteman segan pula untuk berbicara. Agak lama membahaskan tentang itu, akhir dia bersetuju untuk dibawa teman. Namun, siapa yang harus dibawa untuk menemani? Yang mengetahui hubungan ini selain keluarga cuma dua orang, sahabat baik si Mujahid mungkin bisa datang menemani namun sahabat baik si Mujahidah baru semalam sudah pulang ke kampung usai peperiksaan akhir di siangnya. Sungguh lagi bergunung malu itu andai seorang wanita didepankan dengan dua lelaki. Logik di akal, fitrahnya sang muslimah, malu itu sebati umpama ruh dan jasad. Lantas si Mujahidah menolak sekerasnya untuk dibawa teman baik si Mujahid itu.

Malu bertandang itu satu hal, akan tetapi lagi merisaukan dan pandangan orang ramai andai dua insan bertemu seumpama itu. Memanglah pertemuan itu ditempat awam dan terbuka, suasananya tidak sunyi dengan manusia, akan tetapi fitnah itu datang tidak mengenal tempat dan ketika. Maklum akan keduanya mereka antara insan ma’ruf di kampus, boleh dikatakan dikenali umum, si Mujahid kerap kali menjadi pengajar kitab-kitab ugama di surau, sedang si Mujahidah giat menjalankan usrah di rata-rata kolej. Keduanya membawa satu entity yang dipanggil ‘agama’. Sangat membimbangkan agama yang dijulang kan terfitnah dek kerana pertemuan berdua itu.

Lama memikirkan si Mujahidah menjadi semakin serabut, ikutkan nafsu siapa yang tidak mahu bertemu si buah hati, namun memikirkan perbagai mudharat yang lebih banyak dari manfaat dia tidak lansung mahu pertemuan itu berlaku. Namun, si Mujahid kian mendesak dan memujuk.

Khali.

Perbincangan di alam maya terhenti disitu. Keduanya larut dibuai kelam malam.

Sepertiga malam si Mujahidah tersedar, desakan semalam menerjah fikiran. Sungguh serabut memikirkannya, menjadikan hati semakin tawar dan ragu. Lantas tatkala membetulkan bangun tidur, tidak tahu dari mana datangnya kekuatan, si Mujahidah bertekad untuk memutuskan hubungan itu. 

Telefon tangan pantas dicapainya, jejari menari di skrin menaip sesuatu.

[Ok lah ustaz, serius ana tak nak teruskan hubungan ini, sangat pedih menahan air mata, sebak dan sakit di hati. Semua perancangan dan perbincangan kita akan cuba dilupakan. Assalamualaikum wbt]

Send.

Dengan bertemankan linangan air mata.

Allah! Ya! Allah tempat yang sepatunya dituju untuk mencari ketenangan . Lantas segera dihalakan langkah menuju ke kamar mandi. Siraman wudu’ menyegarkan jasad. Sujud padaNya menyegarkan ruh. Pada DIA dicerita, dirintih dan diadukan segala-galanya. Hati yang fitrahnya berbolak balik itu diserahkan sepenuhNya pada Allah.

“Ya Allah, Engkau yang satu tiada selainMu, dan ku yakini Engkau yang Maha Mengetahui keadaan hatiku tatkala ini, tenangkanlah ia ya Allah”

“Ya Rahman, pemurahnya Engkau mengurniakan rasa cinta dihati ini, namun ku takut murkaMu, bawakanlah aku kejalan yang Engkau redhai”

“Ya Rahman, penyayangnya Engkau pada hamba yang menduakanMu, pulihkanlah hati yang parah ini melepaskan cinta manusiawi pergi, semata demi meragut cintaMu”

Tahajud cinta, cinta padaNya, Dia yang utama.

Pengabdian itu larut hingga Subuh menjengah. Usai Subuh, sedikit wirid, ma’thurat dan doa, Al-Quran hitam peneman setia dicapainya lantas memulakan ulangan hafazan. Dan tatkala itulah telefon disapa mesej si Mujahid.

………………………………………………….

Dhuha membuka pintu rezeki penghuni bumi. Usai membersihkan diri dihamparkan sejadah turut sama memohon keluasan pintu rezeki dan rahmat. Namun biasa dhuhanya 2 rakaat, akan tetapi hari itu 2 rakaat solat hajat ditambahnya memohon dibuka simpulan resah yang terbuku. Allah tempat memohon jawapan dan petunjuk. Apakah harus dia menyahut ajakan pertemuan si Mujahid? Apakah dia tega membirkan si Mujahid menanti? Apakah dia sedia berhadapan dengan si Mujahid? Dan! Adakah dia bersedia menjadi punca fitnah agama? Allah, sungguh dia keliru. Apa harus diputuskan.

“Ya Allah, Engkau mengetahui kekusutan hati ini, simpulan yang membuku entah dimana hujungnya? Aku keliru, apa yang harus aku lakukan ya Allah?”

“Ya Allah, aku yakini kekuasaanMu melebihi segala yang ada di cerakewala ini, bukakanlah simpulan ini, leraikanlah kekusutan ini, berilah aku petunjuk, walau dengan cara apa sekalipun.”

“Ya Allah, benar aku meletakkan harapan pada hambamu itu Rabb, namun aku tidak sanggup berharap apa sekalipun tanpa dengan keredhaanMu.”

“Ya Allah, andai pertemuanku dengannya sudah tertulis restuMu di Arasy, Engakau berilah petunjuk walau dengan cara apa sekalipun, namun juga andai pertemuanku dengannya tertulis murkaMu di Arasy sana, berikanlah jua aku petunjuk dengan cara apa sekalipun. Sungguh, aku samar dalam membuat keputusan ini.”

“Perkenankanlah Ya Allah”


Jam menunjukkan kira-kira pukul 10 pagi, lagi sejam angka 11 itu bakalan menjengah. Namun si Mujahidah masih dibayangi kesamaran. Apa harus dilakukannya.

Entah bagaimana laju rentaknya menghala ke almari, mengambil sepasang baju dan tudung dibawa ke tempat sterika. Dihilangkan kedut-kedut yang beribu pada pakaian itu.

‘Iron je lah dulu, nak turun tak nak turun lain cerita’ monolog hatinya.

Sedang menyetarika pakaian itu, satu panggilan telefon masuk, dilihat di skrin.

Incall : Ummi Habibati

Mak telefon! Riang sedikit rasa dihati. Macam-macam topik dibualkan dengan bonda tercinta padahal baru dua hari lepas menelefon. Mak bertanyakan bila kan balik kerumah, kerana maklum mak mengetahui peperiksaan akhir sudah selesai dua hari yang lalu. Si Mujahidah mengkhabarkan insyaAllah tiada aral melintang lagi empat hari akan pulang kerana perlu menghadiri satu majlis sambutan hari keluarga beberapa hari lagi.

“Ok tak pe lah lagu tu, duk sana jaga diri molek, jangan sibuk nak bercinta bergewe pulok.” Pesan bonda dengan loghat pantai timurnya.

Allah! Tersentak si Mujahidah mendengarkan kalam itu. Sungguh umpama menusuk ke hati. Mak semacam mengetahui galau hati si anak. Apakah ini jawapannya ya Allah? Apakah ini alamat pada persoalan?

Namun keliru, keliru dan masih keliru, tetap juga bertamu.

Si Mujahidah ini, hampir 22 tahun dipinjamkan hayat oleh Allah. Selama jangka masa itulah dia tegar bermujahadah menjaga diri. Tidak pernah dia membenarkan mana-mana ajnabi menyentuh hatinya, sungguh dia bertegas dalam hal itu. Namun, pertemuannya dengan si Mujahid itu membuka ruang hati untuk diterima kehadirannya sebagai insan yang sedikit istimewa berbanding sahabat yang lain. Namun, untuk hal bertemu secara berdua sebegini sungguh mengelirukan jiwa.

Di pusing pengalaman sekian lama dalam bermuamalah, difikirkan apakah pernah dia berdua dengan mana-mana ajnabi secara bersendirian samada dalam apa-apa diskusi, liqa, mesyuarat dan sebagainya. Ditenung dan direnung, semacam tidak ada, yang pasti setiap pertemuan dengan mana-mana lelaki pasti ada sahabat muslimah yang turut menemani.

Lagi beberapa minit ke pukul sebelas. Al-Quran hitam kesayangan dicapai. Dilekapkan kedada, berdoa padaNya.

“Ya Allah, aku mohon petunjukMu”

Lalu dibuka Al-Quran tersebut lantas mata terpaku pada ayat 87 Surah Al-Maidah. Allahuakbar, Allah seolah berbicara dengannya.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."

‘Benar, Allah halalkan hubungan persahabatan antara dua insan. Tapi jika melampaui batasnya akan membawa kepada haram, dan aku nampak seakan pertemuan ini sudah malampaui batas normalnya hubungan antara lelaki dan wanita. Ya, mungkin ini jawapan Allah, aku dapat simpulkan sendiri, itulah petunjuknya!’ si Mujahidah lantas bermonolog.

Dan iman pantas berbisik! Nyah kau nafsu yang licik!

Dalam keterpaksaan mengakui petunjuk itu. Si Mujahidah menghempaskan diri ke tempat beradu. Akalnya memaksa diri untuk tidur, mengharapkan masa pantas berlalu.

[Ana kat pondok kolej ni, enti nak turun ke tak?]

Mesej terpapar di skrin menyedarkan si Mujahidah yang lena dibuat-buat itu. Allahuakbar, jam menunjukkan lebih pukul 12 tengahari. Dan dia masih menunggu. Apa harus dilakukan? Hampir luluh jiwa tatkala itu, manakan tidak kekasih hati menunggu di bawah. Namun dikuatkan imannya. Pakaian yang bergosok dilihat sepintas lalu. Terus sambung tidur-tidur ayamnya sekadar memujuk hati.

Setengah jam kemudiannya SMS yang hampir serupa bertandang lagi.

[Ana kat pondok kolej ni, nak turun ke tak? Kalau tak ana balik]

Allahuakbar, Dia saja mengetahui resahnya ketika itu. Air mata usah dikata sememangnya menghujan, setia menemani seawal tadi.

Lantas, pakaian yang tersedia dicapainya, diganti dan bersiap. Bersiap untuk turun, bertemu si Mujahid. Namun jantung berdebar semakin kencang. Melangkah keluar dari pintu bilik menyapa anak tangga. Bangunan 4 tingkat itu satu persatu dituntun turun kebawah. Sesampainya di aras dua, dari kejauhan nampak pondok itu, dalam kerabunan mata tanpa kuasa cermin mata, samar-samar kelihatan si Mujahid duduk di bangku pondok tersebut. Allah, degupan jantung semakin kencang. Sampai di tingkat bawah sekali, si Mujahidah lansung tidak segera menuju ke pondok itu, tetapi melencong  ke bangku berdekatan tangga yang ada disitu. Duduk. Jantung semakin mengepam kencang. Apa harus dilakukan? Sungguh, dia tak mampu dalam keadaan begini.

Sedang berusaha menenangkan diri, satu SMS masuk menyentak si Mujahidah.

[Akak, saya on the way ke kolej ni, akak ada tak?]

Rupanya mesej dari adik junior. Beberapa hari lepas si Mujahidah ada membeli buku ilmiah darinya tapi masih belum berbayar. Jadi adik junior itu sukarela menawarkan diri untuk datang ke kolej untuk si Mujahidah membuat pembayaran.

Apakah ini lagi satu petanda, sememangya dia tidak sewajarnya bertemu si Mujahid? Jejari disentuh pada skrin, membalas SMS adik junior itu, namun Allahuakbar terketar-ketar jari sewaktu menaip mesej tersebut. Sejuknya tangan usah dikata. Debarnya masih belum henti. Perasaan apakah ini? Tetap diteruskan juga menaip.

[Ada, datang je dik]

Mesej adik junior itu dibalas.

[Ok, lagi 15 minit saya sampai]

Dibalas kembali.

Si Mujahidah teringat, dia lansung tidak membawa duit turun ketika itu lantas kembali memanjat tangga kembali kebiliknya di aras paling atas itu untuk mengambil duit. Dan kemudiannya berpatah balik turun semula. Sampai di aras dua, melalui surau. Hatinya terdetik untuk masuk kesitu. Menunggu saja disitu. Tatkala simpuh sempurna diletakkan satu lagi SMS masuk.

[Susah sangat ke nak balas mesej?]

Si Mujahid! Masih menunggu. Allah apa harus dilakukan?? Tidak henti si Mujahidah menyebut asma Allah, berzikir di dalam surau itu, mohon pada Allah ditenangkan hati. Jam menunjukkan hampir ke pukul 1 tengahari. Ini bermakna dari pukul sebelas tadi hampir dua jam telah berlalu. Hampir sepuluh minit bertapa disurau itu, lagi mesej diterima dari si Mujahid.

[Last ana tanya, nak turun ke tak? Kalau tak ana balik]

 Khali. Dibiarkan lagi mesej itu tanpa berbalas. Tidak lama sejurus itu berganti mesej adik junior.

[Akak, saya dah sampai, saya tunggu kat bawah]

Si Mujahidah melangkah keluar dari surau menyantun turun anak tangga. Terus berjumpa si junior. Membuka dompet dan segera melunaskan hutang.

“Akak dah makan? Jom makan dengan kita.” si junior mempelawa.

“Err, belum lagi dik, boleh juga, jom!”

Kemudian si Mujahidah bersama si junior beriringan ke kafe kolej untuk memberi hak pada perut yang kelaparan.

‘Ini pertolongan Allah, benar aku yakin Dia masih belum izinkan lagi pertemuan kami berlaku. Bukan ini masanya. Jika tidak masakan Allah hantarkan si junior ini bertandang. Aku yakin ketentuan Ilahi. Maafkanku Mujahid. Aku bukanlah sesiapa, kamu berhak untuk menentukan apa yang bakalan berlaku seterusnya. Namun tetap juga kuasa Allah itu tiada tandingnya. Mungkin getaran yang kurasakan dari tadi itulah getaran dosa. Astaghfirullahal ‘adzim.’ monolog akhir si Mujahidah..................... THE END



AnaFaqirah Indallah
2345
15012014


Tuesday, January 14, 2014

Cinta Kita Cinta Perjuangan



“Enti menangis..?” “Untuk apa ana menangis, bukankah akhi selalu pesan, jangan menangis kerana manusia.”“Habis, mata enti berair?” “Mata ana masuk habuk. Kebelakangan ni, selalu sangat mata ana ni berair.” Aku tersenyum.

Alasan ni dah lapuk sebenarnya, seingat aku semasa aku berumur 7 tahun. Aku sudah tidak percaya alasan ‘masuk habuk’ yang menyebabkan mata seseorang berair. Filem-filem Melayu yang mengajar aku.“Ana tahu enti menangis..” “Tidak…!! Tak faham-faham ke?!” Dia tiba-tiba membentak. “Oklah.. oklah.. mata enti masuk habuk. Ginilah, kapal terbang akan bertolak besok pukul 7.00 petang. Kalau enti nak hantar pun hantarlah. Kalau tak nak pun, kapal terbang tu tetap akan bertolak. Ana pergi cuma 2 tahun, tak lama..” “Insya-Allah ana akan hantar. Tapi kalau ana tak hantar pun, ana harap akhi tidak kecil hati. Ana takut berlalu fitnah. Maklumlah, kita bukannya diikat dengan ikatan yang sah lagi. Sekadar pertunangan…” “Pertunangan bukannya ikatan yang sahkah..?” “Bukan itu maksud ana, namun setidak-tidaknya ia kan boleh putus bila-bila masa sahaja. Sekali dihempas ombak, sekali pantai berubah..” “Pantai berubah kerana ombaklah tunangnya. Cuba jika bulan menjadi gerhana, atau matahari hilang sinarnya, berubahkah pantai?” Aku berfalsafah. Dan memang dia akan selalu kalah kalau beradu bahasa denganku. Temannya yang sering dibawa apabila berjumpa denganku tergelak kecil. Satu sokongan moral untukku. “akhi punya pasallah. Ana nak pergi. Jumpa lagi besok. Assalamualaikum..” Aku tidak menjawab salamnya. Bukankah menjawab salam dari seorang wanita yang bukan mahram hukumnya makruh?

*** “Ana tak setuju dengan pandangan ustaz!!” Seorang muslimah bangun membentak. Aii.. ada juga yang berani rupanya. “Bukankah demokrasi telah lama memperdayakan kita? Adakah Rasulullah SAW berjuang untuk mendapatkan kuasa baru dilaksanakan syariah seperti yang terdapat dalam hukum demokrasi..?” Dia berhenti seketika. Mengambil nafas rasanya. Ini baru kali pertama aku melihat dia bangun berucap di khalayak. “Kalaulah demokrasi boleh gagal di Turki, boleh gagal di Algeria, Kenapa tidak di negara kita? Ustaz bercakap terlalu yakin dengan demokrasi. Di mana pula komitmen ustaz terhadap pembinaan tanzim seperti yang diajar oleh Hassan Al-Banna dan Syed Qutb?”

Suasana semakin bising. Apabila seorang pembentang kertas kerja seperti aku ditentang di khalayak ramai, ia satu kejanggalan yang ketara. Sekalipun Dewan Badar ini sudah cukup sejuk, namun ia tetap ‘hangat’ pada malam ini. “Ana rasa ustazah sudah silap faham terhadap pandangan ana. Ana cuma ingin menyatakan, kadang-kadang demokrasi boleh digunakan untuk mendapatkan kuasa selagi mana diizinkan. Ciri demokrasi yang paling ketara ialah pemilihan pemimpin melelaui majoriti. Bukankah Abu Bakar sendiri dipilih melalui majoriti dan bye’ah? Bezanya, bye’ah dahulu dengan tangan, manakala sekarang dengan menggunakan kertas undi. Yang penting, kerelaaan!” “Baiklah. Cuma ana ingin bertanya, adakah ustaz berpandangan bahawa demokrasi ialah satu-satunya cara untuk memastikan kedaulatan Islam di bumi kita?” “Hmmm.. sehingga sekarang, ya. Kita masih boleh bergerak bebas, gunakanlah ruang yang ada sekadar yang termampu.” “Maaflah ustaz. Ana tidak mampu untuk bersetuju dengan pandangan ustaz.” Dia menamatkan ‘soalannya’ lalu mengambil tempatnya kembali. Aku terkasima sendirian.

***“Kau kenal dia Abdullah?” Aku memulakan pertanyaan yang sekian lama tertanam di dalam benakku. Abdullah berhenti menyuap nasi, memaku matanya ke wajahku. Sekarang aku nekad, sekurang-kurangnya aku harus mengenali orang yang begitu berani menongkah pendapatku di tengah khalayak. Suasana di restoran sup tulang yang biasanya sibuk dengan pelanggan malam ini nampaknya begitu lengang seolah-olah memberikan ruang yang cukup untukku berbicara dari hati ke hati dengan Abdullah. “Ini kali pertama kau bertanyakan soalan kepadaku tentang perempuan. Hai, sudah kau jualkah prinsip kau selama ini. Kau kan tak mahu menjadi hamba cinta?!” Memang hebat Abdullah kalau diberikan peluang untuk menyindir. Mungkin dia terlupa bahawa dia hanya menumpang keretaku untuk datang ke sini atau dia sudah bersedia untuk balik dengan hanya berjalan kaki. “Jawab soalan aku dulu..” “Rupa-rupanya, manusia berhati batu macam kau pun tahu erti cinta…” Abdullah belum puas lagi menyindir nampaknya. “Jawab soalan aku dulu..” Aku memohon untuk kali kedua. “Baiklah Muhammad. Aku tahu sejak malam tu kau sebenarnya ingin mengenali dia. Orang seperti kau ni Muhammad hanya akan ‘kalah’ dengan kaum yang spesis dengan kau saja. Maksud aku, yang boleh diajak berbincang tentang perkara-perkara yang kau minati yang kebanyakannya adalah membosankan!” “Jawab soalan aku dulu..” Aku ulangi permintaanku untuk kali seterusnya. “Ok.. dia, namanya kau sudah tahu. Seorang yang pendiam dan suka menulis. Menurut kakakku yang sebilik dengannya, dia ni sering bangun awal. Sebelum pukul 5 sudah di atas tikar sejadah. Bukan macam… “ “Aku? Hai.. kau ni silap tuju. Kau yang bangun lewat Abdullah.. ok, teruskan.” “Kalau kat asrama, dia ni suka baca Al-Quran, tak suka bersembang kosong, tak suka jalan-jalan dan banyak lagi yang dia tak suka..” Abdullah dengan selamba menceritakan segala-galanya. ‘Lagi.. negatifnya?” “Negatifnya.. banyak..” Abdullah tersenyum sejenak. Lalu menyambung, “Negatifnya.. pelajaran dia agak sederhana. Tapi bagi aku, itu tidak menjadi masalah. Cuma.. aku tak pasti adakah kau akan setuju dengannya jika aku menyatakan sesuatu.” “Apa dia..? Negatifkah.” “Tidaklah negatif sangat, namun bertentang dengan aliranmu. Dia terlibat dengan satu pergerakan… rahsia! Maksud aku, pergerakan yang memperjuangkan sesuatu yang tidak selari dengan undang-undang demokrasi.” “Gerakan militankah?” “Mungkin, namun aku tak pasti. Sebab aktiviti mereka terlalu rahsia. Kau mungkin maklum, manhaj mereka berasaskan semangat ‘hazar’ yang dididik oleh gerakan Ikhwanul-Muslimin. Ketaatan mereka kepada amir mereka melebihi ketaatan mereka kepada sesiapa saja.. termasuklah ibubapa mereka sendiri!!” “Sampai begitu sekali.. matlamat mereka?” “Sama macam kau, memperjuangkan Islam! Tapi mereka lebih praktikal. Mereka dilatih dengan marhalah-marhalah tarbiyyah mereka sendiri. Dan mereka menyintai syahid. Tidak macam kita rasanya, kita bercakap tentang Islam, tapi kita berehat lebih banyak dari bekerja! Dan kau jangan terkejut kalau mereka sebenarnya mempunyai hubungan dengan rangkaian peringkat nasional malah antarabangsa termasuk gerakan Hamas dan Briged Aqsa di Palestin!”
“Kalaulah.. aku memilihnya menjadi teman hidupku, adakah ketaatannya kepada jemaahnya melebihi ketaatan kepadaku sebagai suami?” Aku mengutarakan soalan bonus untuk Abdullah. “Aku pasti, dia akan memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Namun kalau kau harap dia akan memecahkan rahsia gerakannya dan menderhakai bye’ahnya kepada jemaah, lebih baik kau bercinta dengan bulan sahaja!”

***Aku tidak tahu Kenapa aku harus memilih dia. Dia bukanlah yang tercantik di bumi ini. Aku pasti. Tidak juga yang terkaya. Jauh sekali dari yang terbijak di dalam pelajaran. Namun aku yakin, dia yang terbaik untukku. Ciri-ciri muslimah sejati terserlah ketara pada dirinya yang membuatkan diriku terasa tenang sekali apabila memandangnya. Langkahnya yang teratur dan pandangannya yang dijaga adalah benih-benih keimanan yang terserlah dari hati yang dididik dengan ketaqwaan. Tapi persoalan yang dibangkitkan oleh Abdullah membuatkan aku termenung sejenak. Bolehkah aku hidup dengan orang yang berlainan aliran perjuangannya denganku. Bahagiakah aku? “Ustaz sudah fikirkan masak-masak..?” “Bukan setakat masak, ana rasa sudahpun rentung. Cuma bagi pihak ustazah, adakah ustazah setuju menerima ana. Maksud ana, dengan segala kekurangan yang ana miliki.?” “Ustaz orang famous. Siapalah ana. Ana rasa tak layak sebenarnya.” Dia merendahkan diri namun dalam intonasi suara yang masih terkawal. “Ini bukan soal famous atau tidak. Sekurang-kurangnya, sebelum ana ke bumi ambiya’ ana sudah mempunyai ‘ikatan’ di sini. Dan ana memilih ustazah yang ana yakini boleh menjadi ibu kepada anak-anak ana nanti.” Aku berterus-terang. Dari mana datangnya kekuatan untuk berbuat demikianpun aku tidak tahu. “Ustaz tidak main-mainkan ana?” “Hanya orang yang tidak ada perasaan sahaja yang sanggup main-mainkan perasaan orang lain.” “Jemputlah ke rumah, jumpa dengan ibu ayah ana..” Dia terus mematikan talian telefon. Pantas dan cepat. Kak Yang yang aku tugaskan untuk menjadi ‘perisik’ku memang sudah memberikan amaran kepadaku, orang ini jarang sekali bergayut di telefon apatah lagi dengan lelaki bukan mahramnya.

***Sudah lima bulan aku di bumi ambiya’, suasana pembelajaran di sini jauh lebih mencabar dari yang kuperolehi di bumi Malaysia. Benarlah kata orang, bumi ambiya’ ini mengajar kita berdikari. Hilang seketika soal cinta dari benak fikiranku. Namun kekadang bayangannya tetap mendatangi ruang mata terutama ketika aku merebahkan badan. Namun seperti yang sering kutegaskan padanya.. “Mungkin cinta ana pada enti sudah cukup besar, namun cinta ana pada ilmu dan juga kepada Allah jauh lebih besar..” dan dia akan terus menyambung, “Mungkin ketaatan ana pada akhi cukup dituntut, namun ketaatan ana pada perjuangan dan jemaah lebih-lebih lagi dituntut..” Dan biasanya aku akan ‘cemburu’ dengan kata-katanya. Namun akan terus kubisikkan kepada diriku, bukankah dia taat kepada perjuangan dan Kenapa aku harus cemburu. Dia juga berjuang dan perjuangannya juga kerana Allah. Cuma, apa yang menjadi rahsia ialah langkah-langkah pergerakannya yang sehingga kini masih menjadi misteri bagiku. Hari itu, selepas menadah kitab Al-Umm dengan seorang senior di Rumah Melayu. Aku bergegas ke Cyber CafĂ© yang menjadi rumah ‘kedua’ku. Ku buka laman web Utusan o­nline, satu tajuk berita yang cukup menarik perhatianku, “SEORANG WANITA MALAYSIA TERLIBAT DALAM SERANGAN BERANI MATI DI TEL AVIV’ Ku tinggalkan seketika pelayar web tersebut apabila satu lagi pelayar web menunjukkan mesej : “you have 1 unread message’ namun jangkaanku meleset apabila inboxku hanya dihiasi dengan e-mail dari Abdullah dan bukan dari si dia yang kunanti-nantikan. “Muhammad, kau apa khabar? Muhammad. Aku ada satu khabar penting. Aku harap kau tidak terkejut. ‘Dia’ yang kau amanahkan padaku untuk ‘tengok-tengok’ telah diperintahkan bersama-sama kawan-kawannya untuk ke Palestin membantu Gerakan Briged Aqsa melakukan serangan istisyhadiah ke atas Israel. Ini kerana rakyat Malaysia yang memasuki Israel tidak akan diysaki apa-apa kerana dianggap sebagai pelancong. Muhammad, kau lihat tajuk berita hari ini, wanita yang terkorban dalam serangan istisyadiah itu ialah ‘dia’, tunang kau yang kau perintahkan untukku menjaganya. Maafkan aku Muhammad..!!” Serta merta ku teringat panggilan telefon darinya beberapa hari yang lepas, “akhi, kalaupun cinta kita tidak bertaut di dunia, biarlah ia bertaut di syurga. Kerana cinta kita ialah cinta perjuangan..!!” Seterusnya. Aku rebah dari kerusi dan kudapati alam di sekelilingku gelap gelita! - TAMAT –


Inilah cinta kita...cinta mereka yang inginkan cinta Allah..cinta yang tida taranya..cinta yang mengatasi segala apa di dunia..cinta syahid yang membara..cinta bertemu di syurgaNya...inikah cinta kita?...tepuk selera tanya iman di dada..