Aku, dia dan mereka.

Thursday, December 29, 2011

Bila Hati Diguris

Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya.
Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.
Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, melakukan perkara nista,menceroboh kesangsian manusia,menujah khilaf dan dosa serta mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.
Aku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Aku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.

Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.
Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia.
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai'e.

Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai'e.
Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada-Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.
Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.
Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya."

Saturday, December 24, 2011

Tika Cintamu Diuji

✿Belajarlah BERSYUKUR walau KEKURANGAN
✿Belajarlah IKHLAS walau TAK RELA
✿Belajarlah TAAT walau BERAT
✿Belajarlah MEMAHAMI walau TAK SEHATI
✿Belajarlah SETIA walau BANYAK GODAAN
✿Belajarlah MEMBERI walau TAK SEBERAPA
✿Belajarlah MENGASIHI walau kau DISAKITI
✿Belajarlah TENANG walau kau sedang GELISAH
✿Belajarlah PERCAYA walaupun SUSAH
✿Percaya bahawa Allah SWT masih sanggup menolongmu

Berjalanlah…
teruskan perjalananmu…

Redahlah onak duri dihadapanmu
usah kau hirau pada sakit yang menyentap jiwamu
usah kau peduli pada susahnya jalan yang kautempuhi
kerana itu memang jalanmu
kerana itu memang pilihanmu
sakit itu hanya di dunia fana
sakit itu hanya sekelumit cuma

engkau punya matlamat
engkau punya prinsip
maka bawalah ia walau susah mana sekalipun
engkau yakin bukan, bahawa jalan yang kaupilih
merupakan jalan yang benar?
engkau yakin bukan , bahawa engkau di pihak yang benar?
engkau juga yakin bukan, bahawa hidupmu adalah untuk mencari redha-NYA?
Duhai hati berjiwa mujahidah,
luruskan hatimu
bulatkan tekadmu
kuatkan azammu
yakinkan dirimu
bahawa Allah itu ada bersamamu

Ya! ALLAH ITU ADA..
Semaikan rasa sabar
pasakkan tiang ikhlas
kuatkan semangat jihad
insyaAllah, moga dikau istiqamah
pada jalan ini

Wednesday, December 21, 2011

PESANAN IMAM SYAFI'E



1. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat
kamu cemerlang di dunia dan akhirat.

2. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.

3. Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan
menyebabkan syaitan gerun.

4. Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar
itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi- tinggi erti syukur.

5. Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.

6. Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

7. Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.

8. Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letih dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah
keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.

9. Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.

10. Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berkat, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.

11. Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima perkara, yakin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.

12. Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.

13. Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.

14. Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al- haq yang tidak berbelah bagi.

15. Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya denganmengucapkan "A'uzubillahiminassaitathanirrajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah
perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.

16. Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.

17. Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu,lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan- iringan pasukan kebatilan.

18. Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar iblis di istana kerajaannya.

19. Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.

20. Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana Umar bin al-Khattab menyiasati dirinya dengan pelbagai
soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.

21. Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan
membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul
dan orang soleh.

22. Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu
mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

23. Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu
juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.

24. Sesiapa yang menjalin ukhuwah dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.

25. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.

26. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat
pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah ar-Rom ayat 47 yang bermaksud; dan adalah menjadi hak(tanggungjawab) kami untuk menolong orang yang beriman.

27. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat
pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat
38 yang bermaksud, Allah membela orang yang beriman.

28. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al- Baqarah ayat 257 yang bermaksud, Allah penolong (wali) bagi orang yang beriman. 

29. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud " Allah akan memberi petunjuk bagi orang yang beriman kepada jalan yang lurus."

30. Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud, sekiranya penduduk kota beriman dan bertakwa pasti kami akan melimpahkan mereka berkat dari langit dan bumi tetapi sekiranya mereka mendustakan ayat-ayat kami, kami akan seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.


Semoga bermanfaat.

Tuesday, December 13, 2011

Kuasa Zikir..Pergilah Kesedihan

Assalamualaikum w.b.t

Salam sejahtera salam kasih sayang salam mesra abadi buat jundi-jundiyah..sahabat sohabiah teman sejalan..Syukran jazilan sudi lg menjenguk lembaran "Soul of Syahidah"..selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah kekasih Allah,allahummasholli a'la saidina Muhammad wa a'lihi wabarik wasallim..


Imam Ali pernah berkata, “Allah menyayangi orang-orang yang mengetahui kadar dirinya dan tidak melewati batas perjalanannya; menjaga lisannya dan tidak mensia-siakan umurnya”.

Pertamanya dahulu , ini adalah peringatan untuk diri ana yang lemah ketika merasakan masih tidak layak sebenarnya untuk menitipkan ayat-ayat ini.Namun kelemahan itu sebenarnya menjadi punca untuk kita bangun mempersiapkan diri bagi mengatakan bahawa kita perlu kuat untuk berhadapan dengan apa sahaja mehnah kehidupan.

Kelemahan juga mempunyai maksud tersirat sebagai pendorong untuk kita bangkit dan adakalanya manusia tersilap mengatakan kelemahan itu adalah sifat yang tidak baik dan perlu dielakkan.Kelemahan bukanlah kehendak kita , ia hadir tanpa dijemput tetapi sebenarnya ia adalah hikmah bagi orang-orang yang mahu berfikir.

Ana mohon maaf dari awal kerana ini adalah tulisan ikhlas yang ana titipkan tanpa sempadan agar ianya menjadi hasil yang tulus tanpa terselindung oleh apa-apa maksud yang tidak ikhlas.Malah sebenarnya ia peringatan untuk diri ana sendiri.

Apa yang mengesankan jiwa kita ialah apa yang kita fikirkan dan lihat terus di dalam Qalbu kita, kerana akal dan nafsu tidak akan selari dalam membuat keputusan , kecuali Qalbu yang telah dibasuh dan dididik semahunya dengan zikrullah yang berpanjangan dan istiqamah.Untuk mencapai kata-kata sebegitu agar menjadi realiti amat payah sekali jika difikirkan ianya payah dan ianya menjadi mudah apabila dipermudahkan.

Zikir memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa yang lemah.Kita merasakan makanan kepada makhluk selain manusia dan jin adalah apa yang kita belajar dari buku sains , namun jika dirujuk kepada firman Allah.

“Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al Hadid : Ayat 1

“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah
Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” Surah Al Israa’ : Ayat 44
Zikir membuatkan makhluk itu terus hidup.... , photosynthesis , Cahaya matahari , rantaian karnivor atau herbivor dan lain2 yang di rujuk sebagai sains adalah sekadar pengetahuan dan kajian. Namun hikmah zikir sebenarnya bagaikan nyawa dan makanan kepada makhluk2 itu.

Firman Allah,

“Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa), sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” Surah An Nuur : Ayat 41

Sehinggakan guruh dan petir juga adalah memuji Allah;

“Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya.” Surah Ar Ra’d : Ayat 13

Bayangkan makhluk yang tidak dikurniakan akal , hanya berzikir setiap saat tanpa jemu kepada Allah S.W.T . Apatah kita sebagai manusia , bukan sahaja beroleh pahala tetapi ia mampu mengubat jiwa yang laqha dan lara.

Hati buat orang-orang yang beriman adalah ladang yang harus dirawat dan disiram dengan zikir. Dari zikirlah, ladang hati menjadi hijau segar dan tumbuh subur. Akan banyak buah yang akan dihasilkan. Sebaliknya, jika hati jauh dari zikir; ia akan tumbuh liar. Jangankan buah, ladang hati seperti itu akan menjadi sarang ular, semak samun dan tidak terurus.

Hamba-hamba Allah yang beriman akan selalu menjaga kesegaran hatinya dengan lantunan zikrullah. Seperti itulah firman Allah swt. dalam surah Ar-Ra’d ayat 28. “(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.“


Firman Allah...

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (ingat Allah)”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Ar Ra’d : Ayat 28

Kesimpulan kepada keresahan jiwa ialah : Zikrullah.

Rasulullah saw. pernah memberi nasihat, “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Rabbnya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati.” (Bukhari dan Muslim)

Sahabatku ,

Menjadi sifat manusia seperti kita membalikkan pemikiran duka kepada suka , walau apapun caranya agar dapat kita merasakan kebahagian yang kita inginkan.Kita merasakan ada cara lain yang kita sendiri ciptakan untuk mencapai cita-cita kebahagiaan.Kita mencipta sesuatu keadaan agar orang lain juga boleh memberikan kebahagiaan kepada kita , sahabat-sahabat dikatakan dapat memberikan kebahagiaan.Pujian , dorongan , motivasi dalam pelbagai bentuk dikatakan dapat memberi kebahagiaan

Sesungguhnya kebahagiaan selalunya datang secara kebetulan saja. Kebahagiaan bukan seperti sebuah rumah yang dapat dibangunkan dengan tangan. Kebahagiaan itu . laksana lagu merdu yang didengari ketika sedang memanjat tanah tinggi dan apabila turun dari sebelah sana bunyi itu akan lenyap dari telinga kita. Dan hidup bahagia yang abadi ialah hidup yang diredai Allah dan Rasul-Nya serta disenangi semua manusia.


Kalau kebahagiaan bukan terletak pada harta yang banyak, anak, pangkat, dan kebendaan lainnya, maka kalau begitu ia adalah sesuatu yang maknawi (abstrak) tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Kebahagiaan yang sebenarnya ialah sesuatu yang muncul dari dalam diri insan karena keimanannya kepada Allah SWT. Tidak seorangpun mampu mencabutnya dari seseorang jika Allah berkehendak memberikan kepadanya.

Sahabatku...

Allah tidak membebani seseorang di luar batas kemampuannya. sebagaiman dikatakan Al-Qur’an,
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya…” (Al-Baqarah: 286)

Setiap dari kita mahukan yang terbaik untuk memenuhi kehendak diri sendiri , tanpa kita memikirkan adakah kita telah melakukan yang terbaik untuk taat kepada yang maha pencipta?dan siapa kita untuk mengatakan bahawa inilah yang telah kulakukan yang terbaik?

Wallahu a'lam

Monday, December 12, 2011

SANGKA BAIK lah Wahai Sahabat!


Manusia hari ini suka bersangka-sangka
Ada sangkaan baik
Ada sangkaan buruk
Orang beribadah, disangka riak
Orang yang relax, disangka malas
Orang yang pakai baju baru, disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk, disangka zuhud (hina)
Orang makan banyak, disangka pelahap
Orang makan sikit, disangka kedekut


Orang baik, disangka buruk
Orang buruk, disangka baik
Orang senyum, disangka mengejek
Orang masam, disangka merajuk
Orang bermuzakarah, disangka mengumpat

Orang diam, disangka sombong
Orang menawan, disangka pakai susuk
Orang nampak ceria, disangka berlakon saja

mana tahu, yang diam itu kerana berzikir kepada Allah?
mana tahu, yang senyum itu kerana bersedekah?
mana tahu, yang masam itu kerana mengenangkan dosa?
mana tahu, yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya?
mana tahu, yang ceria itu kerana cergas cerdasnya?

Jauhi sikap suka bersangka-sangka
kerana ia bakal memusnahkan ukhwah
seperti musnah nya kayu dimakan api.

Satu benda yang kita lihat,
macam-macam kesimpulan yang boleh kita buat.
Apabila memandang keluar tingkap,
Ada orang melihat pokok,
Ada orang melihat awan,
Ada orang melihat jalan,
Ada orang melihat burung berterbangan dan macam-macam lagi,
Sedangkan semua orang melihat melalui tingkap yang sama.

Kesimpulannya,
semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya.
Positif yang dilihat, maka positif yang kita dapat.
Sebaliknya, kalau negatif yang ditengok, maka negatif lah jadinya.

Mari kita sama-sama betulkan penglihatan kita.
Berbaik sangka lah dengan sesama kita. 


Saturday, December 10, 2011

Aku Cemburu Ya Allah


Di hening pagi,
Ketika sang suria masih lagi samar-samar memancarkan sinarnya,
Ketika dedaunan masih basah disirami embun,
Ketika seluruh alam masih lagi sunyi,
Diriku hanya bertemankan sepi.

Aku melihat alam ciptaan Allah,
Langit yang membiru dan terbentang luas,
Pokok-pokok hijau yang tidak henti berzikir kepada Allah,
Kerdil aku rasakan ketika berada di hadapanMu, ya Allah,
Aku tertunduk,
Tubir mata mula digenangi air jernih,
Aku hanyut dibawa bayangan minda.

Peristiwa-peristiwa semalam,
Seringkali menerjah minda,
Biarpun cuba dipadam dan dilupa,
Namun parut tidak akan pergi begitu sahaja,
Pengalaman hidup jauh dari jalan redha-Nya,
Membuatkanku benar-benar derita,
Tidak mahu aku kembali melalui jalan yang sama.

Ya Allah, aku cemburu!
Aku cemburu kepada mereka,
Mereka yang mempunyai hati yang dipenuhi dengan cinta,
Cinta kepada siapa?
Cinta kepada-Mu wahai Tuhan yang menciptakanku,
Jiwa mereka dihiasi dengan semangat jihad,
Hati mereka diterangi dengan nur cinta yang abadi,
Iman memenuhi kamar sanubari,
Jalan perjuangan sedia mereka tempuhi,
Walaupun mmpunyai ranjau yang melukai.


Segala dugaan yang mendatang,
Dengan tabah mereka lalui,
Setiap tohmahan dan cacian,
Tidak pula mereka peduli,
Kerana hati mereka begitu asyik,
Terleka dan tenggelam oleh manisnya cinta.

Sedang aku di sini,
Dalam kesamaran masih tercari-cari,
Ke manakah hala tuju diri,
Setiap kelemahan berdikit-dikit ku cuba baiki,
Membersihkan kembali segumpal darah yang bernama hati,
Iman yang baru mula untuk berbuah,
Aku rasa begitu payah untuk dipertahankan.

Betapa hebatnya peperangan,
Yang terjadi antara iman dan nafsu,
Terkadang aku berasa ingin berhenti,
Berhenti daripada meneruskan langkah ini,
Tetapi aku tahu,
Bukan mudah untuk menggapai cinta hakiki,
Pengorbanan dan kesakitan harus aku lalui,
Demi sebuah pengakhiran yang bahagia,
Iaitu sebuah tempat di syurga yang ku damba.

Hembusan bayu menyedarkanku kembali,
Ya Allahu Ya Rabbi,
CintaMu menjadi dambaanku,
Dalam keheningan pagi ini,
Aku menadahkan tangan,
Bemohon dan merayu kepada-Mu,
Ampunkan segala dosa-dosaku,
Walaupun amat berat dugaan yang Engkau berikan,
Demi setitis cinta aku relakan,
Ya Allah berikanku kekuatan,
Amin ya Rabbal 'Alamin...



Wednesday, December 7, 2011

Laskar Dakwah....(versi ikhwan)



"Akh, ana dah tak tahan lagi. Ana rasa tak ada guna lagi kita teruskan buat kerja ni. Dakwah kita tak mungkin boleh hidup!"

"Astaghfirullah..Akhi, istighfar akhi. Tak elok cakap macam tu."


"Afwan, ana terlalu mengikut perasaan. Tapi ana dah tak tahan. Berapa tahun dah kita meneruskan perjuangan ni. Kita tetap berteguh dengan prinsip kita, tidak punya nama, tidak punya platform khas. Kita terus dengan cara dakwah kita, dengan tarbiyah. Kita tidak pernah memperkenalkan jemaah, tetapi memperkenalkan Islam kepada mad'u-mad'u kita. Namun apa masyarakat kampus ni buat pada kita? Kita dituduh sesat, siapa yang ikut kita scholar akan ditarik, kita underground, kita memecahbelahkan jemaah, dan macam-macam lagi, ana tak laratlah nak sebut. Kalau setakat fitnah-fitnah liar tu saja ana tak kesah, tapi tengok, anak halaqoh ana dah taknak ikut halaqoh lagi. Daripada 35 orang yang kita kumpul, habis semua lari. Adalah yang tinggal 5 orang je. Penat kita tarbiyah mereka, sekarang hilang entah ke mana."



"......"



"Bukan tu je. Sekolah-sekolah yang kita masuk untuk pelajar-pelajarnya kita tarbiyah, pun tak guna juga. Kita turun sekolah tiap-tiap minggu, tapi ada saja alasan mereka tak mahu turun halaqoh. Nak basuh baju lah, nak outing la, balik rumah la. Akh, ana dah tak larat akh. Boleh ke dakwah kita ni maju suatu hari nanti? Macam tak mungkin je. Ana dah putus harap."



"Akhi, bawa bertenang. Jangan ikutkan perasaan tu. Memang lumrah berdakwah, kita akan ditimpa kesusahan dan kemelaratan. Mengharapkan senang dalam berjuang tu kan bagai mengharapkan bulan di siang hari. Antum tak ingat ke lagu kumpulan Hijjaz yang antum selalu nyanyi tu?"



"Ye la, kita memang tak mengharap senang, tapi bukanlah susah macam ni yang kita minta."



"Akh, rileks dulu akh. Ini semua kan ujian daripada Allah. Jangan mengeluh, tapi anggap ni semua tarbiyah daripada Allah untuk kita semakin tabah dan kreatif!"



"Kreatif?"



"Kreatif, ya kreatif! Kita perlu sabar dan seterusnya menganggap segala kesusahan yang kita alami ini adalah cabaran yang perlu kita atasi bagi mewujudkan dakwah yang jauh lebih baik. Mungkin sekarang ni kita masih belum menemukan rentak. Dakwah kita masih belum dapat diterima oleh semua lapisan. Makanya kita perlu merangka strategi-strategi yang lebih kemas dan cantik untuk mengatasi segala masalah yang ada. Baik di kampus ini mahupun di sekolah-sekolah yang kita masuk."



"Erm..."



"Akhi, ana kagum dengan pelajar-pelajar susah dalam Filem Laskar Pelangi. Antum dah tengok filem tu?"



"Belum, cerita apa tu?"



"Antum kena tengok akh. Filem tu menceritakan tentang kesusahan 10 orang anak-anak Pulau Belitung, sebuah pulau miskin yang berjuang untuk meneruskan persekolahan. Sekolah mereka adalah satu-satunya sekolah percuma untuk orang miskin yang ada di pulau itu dan keadaan sekolahnya amatlah uzur. Atapnya zink berkarat yang berlubang-lubang di sana sini. Bila hujan lebat, habis lumpur masuk dan mereka terpaksa bergotong-royang membersihkan kelas mereka bersama-sama. Kalau kapur habis, mereka sendiri yang perlu bebasikal pergi ke bandar yang jauhnya berbelas kilometer dari sekolah. Guru yang mengajarnya pun 3 orang sahaja. Namun mereka tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu. Kalau antum tonton filem tu, tentu semangat antum akan tebakar melihat keteguhan dan kegigihan guru-guru dan anak muridnya untuk terus memastikan mereka tetap mempunyai impian. Impian untuk berjaya."




"Macam best je, cerita lah lagi."



"Bab cerita-cerita ni memang antum suka kan? Tapi kalau ana cerita jadi tak best la. Antum kena tengok sendiri cerita tu, baru best. Apa orang melanau kata..baru ada umph!"



"Haha..kelakarla antum ni. Alah, nak tengok cerita tu bila, kita dahla nak dekat exam. Nak study lagi. Antum ceritala sikit, part-part yang syok."



"Yelah...dah buat muka sposen dia. Ok. Asalnya 3 orang mengajar di sekolah tu, tapi seorang telah menarik diri sebab tak tahan dengan gaji yang sedikit dan telah mendapat tawaran daripada sekolah lain. Cikgu lelaki tu namanya Bakri. Bu Muslimah, yang satu-satunya guru perempuan di situ, berkata,




"Jadi kau tega untuk meninggalkan sekolah ini?" Cikgu Bakri terdiam, lalu Bu Muslimah menyambung.
"Bakri, tugas kita memanglah berat. Murid kita pun sedikit. Tapi kita punya kewajiban untuk memberi pendidikan kepada anak-anak yang tidak mampu ni."


Cikgu Bakri pun bersuara,



"Mus, orang-orang sudah tidak ada lagi yang mahu menyekolahkan anak-anaknya di sekolah ini. Mereka fikir lebih anaknya jadi kuli, untuk menafkahi keluarganya."



"Tapi ini satu-satunya sekolah Islam yang ada di Belitung."

"Pernah kauterfikir mengapa satu-satunya Mus? Kerana tidak ada lagi yang peduli Mus. Dah 5 tahun sekolah ini tidak dapat membuka kelas baru kerana apa Mus? Tidak ada lagi murid yang mendaftar. Mengapa Mus? Apa lagi yang perlu dibanggakan, selain namanya SD Muhammadiah? Apa perestasi sekolah ni Mus? Tiada lagi yang kisah. Tiada lagi yang percaya. Tiada lagi yang bermimpi anaknya boleh mencapai impian untuk berjaya. Tiada gunanya kita terus mempertahankan sekolah ini."



Pak Harfan, seorang guru tua merangkap Guru Besar SD Muhammadiah yang semenjak tadi berdiam diri pun bersuara,



"Bakri, Muslimah tidak mungkin mampu mengajarkan semua matapelajaran itu sendirian. Anak-anak itu sebentar lagi sudah masuk darjah enam. Tidak mahukah kau bersabar dan menemani mereka hingga mereka lulus. Tunggulah sebentar saja lagi."



"Ya, tapi tawaran ke sekolah itu pun tidak bisa tunggu pak."



Bu Muslimah terdiam, dan menangis lalu keluar daripada bilik guru meninggalkan Cikgu Bakar dan . Pak Harfan pun pergi mendapatkan Bu Muslimah dan memujuknya,



"Mus, jangan marah. Bersabarlah dulu."



"Tak pak, aku tak marah. Aku merasa ada benarnya apa yang disebut Bakri. Tiada orang yang peduli dengan sekolah kita pak. Semua orang tidak percaya bahawa anak-anak miskin pun punya hak untuk belajar."



"Bukan semua Mus. Masih ada kita berdua. Kita tidak boleh putus asa. Tugas kita adalah terus menyakini anak-anak ini bahawa mereka harus berani mempunyai cita-cita. Berani mempunyai impian."



"Ya pak, benar. Kita harus berusaha lebih keras lagi pak. Kita perlu membuktikan kepada semua orang. Biar semua orang percaya, bahawa sekolah ini ada, dan sekolah ini layak untuk dipertahankan. Kita berdua perlu bekerja lebih keras lagi pak. Lebih keras lagi."



"Hah, itulah keteguhan dua orang guru mereka. Mereka tidak pernah putus asa. Biarpun tiada lagi yang percaya bahawa sekolah itu tidak mampu bertahan, tetapi mereka tetap terus berteguh."



"Erm, best betul antum cerita. Macam dengar drama dari radio! Siap ingat dialog lagi."



"Hahaha, tengoklah berapa kali ana khatam tengok cerita tu. Ramai lagi ikhwah yang hafal dialog cerita tu. Kalau orang ramai hafal dialog cerita P. Ramlee, kita pula hafal dialog cerita islamik macam ni. Barulah terserlah aura tarbiyah!"



"Hmm, ada lagi ke part best?"



"Ada. Kesusahan mereka bukan setakat itu sahaja. Tidak lama kemudian, Pak Harfan meninggal dunia. Tinggallah Bu Muslimah sahaja yang mengajar di sana. Pada awalnya Bu Muslimah sudah berputus asa. Seminggu dia tidak pergi mengajar."



"Habis tu macam mana dengan 10 orang anak-anak miskin tu?"



"Cuba jangan menyampuk. Bagilah ana habis dulu. Ha..ini yang ana kagum ni. Dalam seminggu tu, semua pelajar-pelajar tu tetap hadir ke sekolah. Mereka tetap setia menunggu kehadiran guru mereka yang tercinta, Bu Muslimah. Namun mereka akhirnya tidak lagi ke sekolah kerana menyangka sekolah tidak akan diteruskan lagi. Tinggallah dua orang pelajar sahaja yang masih tetap ke sekolah. Lintang, si anak nelayan dan kawannya Ikal. Mereka tetap ke sekolah walaupun cuma berdua, mengharapkan kembalinya Bu Muslimah. Suatu hari, Ketika Lintang sedang asyik membaca, tiba-tiba Ikal mendengus lalu meluru keluar. Lintang menahannya.




"Mahu ke mana kau Kal?


"Apa lagi nak ditunggu Lintang? Bu Mus tak ada. Kawan-kawan mana? Sekolah apa ini tak ada guru tak ada murid?"



Lintang pun bangun menghampiri Ikal lalu berkata,



"Ayuh, ikut aku."



Mereka berjalan keluar daripada bilik darjah. Lintang bersuara,



"Kal, ayah aku ada empat orang anak. 3 perempuan, aku satu-satunya anak lelaki paling tua. Sepatutnya aku diajak jadi nelayan bersamanya, agar dapat ikan lebih banyak. Tapi, dia malah mengirim aku ke sini. Dia ingin aku mengejar cita-cita yang tinggi Kal. Kita semua harus punya cita-cita. Dan di sekolah inilah perjalanan itu kita mulai. Kita harus terus sekolah."



Lalu mereka berdua pun bersama-sama berbasikal keliling kampung mencari rakan-rakan sekelas untuk belajar bersama-sama. Lalu mereka berkumpul di dalam kelas usang itu tanpa Bu Muslimah. Lintang yang mengajar. Lintang merupakan anak yang cerdas. Lintang mengingatkan mereka supaya tidak berputus asa.



"Soekarno ditahan di Penjara Sukamiskin pada tanggal 29 Disember 1929, kerana menubuhkan parti Nasional Indonesia dengan tujuan Indonesia merdeka. Ruangannya sempit, dikelilingi tembok-tembok tebal yang seram, tinggi, gelap dan berjeriji. Lebih buruk daripada kelas kita yang sering bocor. Tetapi di situlah beliau menjalani hukuman. Setiap hari belajar. Setiap hari baca buku. Beliau adalah salah satu orang tercerdas yang pernah dimiliki oleh negeri ini."



Lalu ketika sedang sibuk mengajar, tiba-tiba Bu Muslimah muncul. Dia amat terharu dengan kesungguhan anak-anak murid kesayangannya yang masih mahu belajar. Ketika dia masuk ke kelas, semua anak-anak muridnya menyerbu dan memeluknya dengan penuh kasih sayang. Mereka semua menangis keharuan."



"Wa...bestnye..ana nak tengok gakla. Banyak pengajaran daripada cerita tu.."



"Jadi, kita perlu mencontohi semangat mereka. Biar semua orang tidak percaya dengan dakwah kita. Biar semua orang lari meninggalkan kita, biar apa alasan yang mereka semua beri, kita ni 'illegal'lah, kita ni 'underground'lah, kita ni 'tak ada ulama' lah, kita ni 'sikit'lah dan apa-apa pun. Biar. Tetapi kita akan tetap yakin akh, intanshurullah, yanshurkum! Jika kamu membantu Allah, Allah akan membantumu. Itulah yang Allah firmankan dalam Surah Muhammad, ayat ke 7. Itu janji Allah, kepada mereka yang membantu agamanya. Ya, sekarang memang kita underground, kita sedikit, sebab kita pun masih baru, masih muda. Tetapi ingat, tidak selamanya kita begini. Tidak selamanya kita akan terus berdakwah tanpa platform seperti ini. Suatu masa nanti kita akan jadi besar, semakin ramai ikhwah yang akan ditarbiyah semakin banyak sekolah yang akan kita masuk dan semakin ramai orang akan menerima dakwah kita. Masa tu lihatlah, kita akan membawa perubahan dalam masyarakat. Kita akan suburkan Malaysia tercinta ini dengan dakwah dan jihad. Kita akan lihat di mana-mana, Islam akan dijulang tinggi dan menjadi cara hidup. Nanti antum akan lihat, ikhwah-ikhwah kita yang sekarang berada di Mesir yang ambil medic, akan balik, buka klinik dan farmasi, lepas itu mereka akan buka rangkaian klinik dan kita akan ada sebuah hospital kita sendiri. Kita akan pastikan semuanya berjalan dengan cukup islamik, tetapi amat professional. Kita akan asingkan lelaki dan perempuannya. Para ibu yang akan bersalin, anaknya tidak lagi akan disambut oleh doktor bukan Islam, tetapi oleh seorang doktor perempuan yang bertudung labuh, seorang akhwat!"



"Haha, betul tu. Kemudian kita yang ambil engineering ni pula akan bantu untuk menjadikan hospital kita adalah yang terbaik dan tercanggih kemudahannya. Kita tidak akan meminta bayaran yang mahal kepada mereka yang tidak mampu. Kita akan memberi kepada masyarakat kita yang terbaik. Macam tu kan akh?"



"Ya, macam tu lah. Kita perlu bercita-cita besar dan berimpian tinggi melangit. Kita perlu berfikir 10-20 tahun ke hadapan. Kita tidak hanya berimpian, tetapi kita susuli dengan strategi-strategi yang mantap dan kemas. Kita mulakan dengan kampus ini. Kita susun rancangan, bagaimana kita nak memastikan lebih ramai mad'u yang dapat kita halaqohkan dan tarbiyah dengan baik. Kita juga akan merancang macam mana agar semua mad'u-mad'u kita di kampus ini akan boleh menjadi da'i yang hebat, lebih hebat dari kita. Sehingga nanti semua orang dapat merasakan nikmat tarbiyah. Semua orang akan berislam dan beriman dengan baik. Sampai masanya nanti, semua kelab dan persatuan serta jabatan-jabatan yang ada di kampus ini akan dipenuhi oleh ikhwah dan akhwat. Ketika itu kita tidak lagi underground. Kita tidak lagi illegal. Kitalah yang akan merubah semuanya. Pergi mana-mana, semuanya ikhwah dan akhwat. Sampaikan pakcik yang tengah potong rumput tu pun nanti, tengah rehat-rehat, tiba-tiba akan keluarkan Al-Quran membacanya. Tengok makcik cleaning servis.."



"Hah, ana tahu, yang tengah mop lantai tu, semuanya nanti bertudung labuh dan berjubah!"



"Hahaha...boleh tahan gak imaginasi antum ni ye. Ana ingat ana seorang je yang suka berimaginasi macam ni."



"Dah jadi roomate antum, tersibghahlah ana! Haha... Tapi kan akh, macam tinggi sangat je cita-cita kita ni, mampu ke nak capai?"



"Akh, nabi pun dulu berdakwah mula dengan underground. Tiada siapa tahu dakwah nabi dan para sahabat. Fitnah yang mereka alami pun jauh lebih dahsyat. Orang ramai hampir tiada yang mengenali baginda, tetapi hampir semua orang dah dengar yang nabi tu gilalah, sesatlah, memecah-belahkan keluargalah, menghina tuhan-tuhan masyarakat arablah. Sampaikan semua orang memusuhi nabi. Tapi dengan berkat kesabaran baginda, akhirnya Negara Islam pertama dapat tertegak di Madinah. Dan para sahabat serta tabi'in meneruskan perjuangan baginda sehingga dua pertiga dunia ini dikuasai mereka. Alah, lihatlah contoh terdekat kita, ikhwah-ikhwah di Indonesia. Kan dahulunya mereka juga underground dan tiada nama? Berdakwah macam kita juga. Tetapi mereka tetap teguh, bersabar dan terus bersabar. Sekarang mereka dah mula menguasai politik. Kita doakan mereka akan terus membawa perubahan di sana."



"Amiin, insya-Allah. Betul tu akh. Ana jadi bersemangat dengar cerita antum ni."



"Tapi akh, kita kena ingat. Niat mesti terus diikhlaskan, usaha mesti terus dicurahkan, tidak kira apapun yang berlaku."



"Maksud antum?"



"Memang impian-impian kita itu indah, tapi kita perlu bersiap sedia andai kita ditaqdirkan Allah untuk tidak sempat melihat kejayaan dakwah. Mungkin kita berusaha bersungguh-sungguh tapi hasinya hanya dapat dilihat 30-40 tahun lagi, atau dalam masa yang lebih panjang daripada itu. Kita mungkin tidak dapat menikmatinya, tetapi tetaplah teguh, agar generasi kita di masa hadapan akan bangga dengan apa yang kita wariskan. Ana teringat pesan Pak Harfan yang selalu diulang-ulang kepada anak-anak miskin tu,




"Jangan mudah berputus asa. Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya."

Kerana Allah membalas pahala atas sebanyak mana yang kita berikan, bukan atas sebanyak mana yang kita dapatkan."


"Bunyi macam Ustaz Hasrizal je, 'Erti hidup pada memberi'. Tapi memang betul akh. Jazakallah atas cerita antum. Dari dulu ana memang suka dengar cerita-cerita antum."



"Ana kan memang pandai bercerita, sebab tu lah ana dapat ajak antum ikut halaqoh dulu, ingat tak? Hahaha..saje je ungkit kisah lama sikit. Bukan nak membangga diri, cuma nak mengenang zaman awal tarbiyah."



"Em, ingat lagi, dulu antum yang selalu ajak ana pergi liqo' Al-Mulk. Ana pula asyik rimas je, sebab liqo' tu lama sangat. Antumlah, banyak sangat cerita. Tapi bila dah dengar, tak jadi nak balik bilik study. Sampailah sekarang ni,ana dah banyak berubah. Jazakallah akh."



"Wa-iyya-kum. Bukan ana yang patut antum berikan terima kasih ini. Tetapi kepada Allah. Dialah yang telah mengaturkan pertemuan kita. Dialah yang telah membuka hati kita semua untuk tertarik kepada Islam. Dialah yang kemudiannya telah menetapkan kita untuk bersaudara dalam satu satu saf, untuk saling kuat-menguatkan dan saling berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran."



"Akh, seorang sahabat pernah berkata kepada nabi yang dia menyintai seseorang sahabatnya kan? Lalu antum ingat apa yang Baginda katakan pada sahabat itu?"



"Ingat, nabi suruh dia menyatakan cintanya kepada sahabat tersebut. Kenapa?"



"Oleh itu, dengarkan ini, ana dah lama nak sebut. Antum dah banyak tolong ana untuk ubah diri. Dulu ana ni teruk, banyak buat dosa. Couple. Hisap rokok. Belasah orang. Tapi antum tetap dekati ana. Antum kenalkan ana dengan tarbiyah. Antum selalu kuatkan semangat ana bila ana lemah. Antum selalu nasihatkan ana bila ana silap. Antum tetap tak pernah putus asa. Ana terharu..."



"Akh..."



"Nanti, ana belum habis. Oleh itu saksikanlah..Akhi, ana cintakan antum kerana Allah! Uhibbukumfillah ya Akhi!"



"Ya, akhi, ana pun cintakan Antum kerana Allah. Semoga Allah juga turut mencintai antum kerana antum mencintai ana keranaNya. Semoga kita terus tabah dan tsabat dalam perjuangan ini. Kita akan terus yakin yang kita akan mengubah segalanya."



"Ya akh, insya-Allah"



Kedua ikhwah itupun berpelukan dalam linangan air mata. Air mata cinta dan syukur. Mereka akan bersama mengejar pelangi dakwah, di bawah naungan redha dan cinta Ilahi. Semoga Laskar-Laskar Dakwah ini akan mekar di mana-mana sahaja suatu hari nanti. Insya-Allah…



'Ya-Allah, aku cintakan hambaMu ini Ya-Allah. Satukanlah hati-hati kami dalam jalan mencari redhaMu. Jadikanlah dia mujahid yang berjuang di jalanMu. Cintailah dia sebagaimana Kaumencintai para rasulmu. Jadikanlah dia mencintaiMu sebagaimana aku mencintaiMu, malah lebih lagi Ya-Allah. Ya-Allah...perkenankanlah...'