Aku, dia dan mereka.

Thursday, January 16, 2014

CERPEN : GETARAN DOSA


[Ana tunggu enti kat pondok kolej pukul 11 pagi esok, enti nak datang atau tak terpulang, waalaikummussalam.]

Ringkas!

Tatkala sedang asyik mengulang hafazan seusai subuh, satu SMS masuk, jelas terpapar di skrin telefon Samsung putih kesayangan itu.

Allahuakbar! Apa yang harus dilakukan?

Lantaran fikiran kelaut memikirkan kisah semalam. Al-Quran ditangan entah bila tertutup tidak disedari, ulangan hafazan Surah Al-Maidah tadi tidak tahu dimana hentinya.

……………………………………

Hampir sebulan ikatan itu diakui keduanya. Istilah sayang, cinta, kasih dan sewaktu dengannya sengaja dipendamkan, namun hati masing-masing tidak dapat menipu dalam mengakuinya. Allah saja yang arif dan a’lam.  Sengaja sama-sama bertekad untuk  tidak mengungkapkan kata-kata itu sehingga sah menjadi yang halal.

Semalam, tidak tahu kenapa dan mengapa si Mujahid seakan memaksa meminta untuk bertemu. Pertemuan hanya berdua. Katanya andai berteman segan pula untuk berbicara. Agak lama membahaskan tentang itu, akhir dia bersetuju untuk dibawa teman. Namun, siapa yang harus dibawa untuk menemani? Yang mengetahui hubungan ini selain keluarga cuma dua orang, sahabat baik si Mujahid mungkin bisa datang menemani namun sahabat baik si Mujahidah baru semalam sudah pulang ke kampung usai peperiksaan akhir di siangnya. Sungguh lagi bergunung malu itu andai seorang wanita didepankan dengan dua lelaki. Logik di akal, fitrahnya sang muslimah, malu itu sebati umpama ruh dan jasad. Lantas si Mujahidah menolak sekerasnya untuk dibawa teman baik si Mujahid itu.

Malu bertandang itu satu hal, akan tetapi lagi merisaukan dan pandangan orang ramai andai dua insan bertemu seumpama itu. Memanglah pertemuan itu ditempat awam dan terbuka, suasananya tidak sunyi dengan manusia, akan tetapi fitnah itu datang tidak mengenal tempat dan ketika. Maklum akan keduanya mereka antara insan ma’ruf di kampus, boleh dikatakan dikenali umum, si Mujahid kerap kali menjadi pengajar kitab-kitab ugama di surau, sedang si Mujahidah giat menjalankan usrah di rata-rata kolej. Keduanya membawa satu entity yang dipanggil ‘agama’. Sangat membimbangkan agama yang dijulang kan terfitnah dek kerana pertemuan berdua itu.

Lama memikirkan si Mujahidah menjadi semakin serabut, ikutkan nafsu siapa yang tidak mahu bertemu si buah hati, namun memikirkan perbagai mudharat yang lebih banyak dari manfaat dia tidak lansung mahu pertemuan itu berlaku. Namun, si Mujahid kian mendesak dan memujuk.

Khali.

Perbincangan di alam maya terhenti disitu. Keduanya larut dibuai kelam malam.

Sepertiga malam si Mujahidah tersedar, desakan semalam menerjah fikiran. Sungguh serabut memikirkannya, menjadikan hati semakin tawar dan ragu. Lantas tatkala membetulkan bangun tidur, tidak tahu dari mana datangnya kekuatan, si Mujahidah bertekad untuk memutuskan hubungan itu. 

Telefon tangan pantas dicapainya, jejari menari di skrin menaip sesuatu.

[Ok lah ustaz, serius ana tak nak teruskan hubungan ini, sangat pedih menahan air mata, sebak dan sakit di hati. Semua perancangan dan perbincangan kita akan cuba dilupakan. Assalamualaikum wbt]

Send.

Dengan bertemankan linangan air mata.

Allah! Ya! Allah tempat yang sepatunya dituju untuk mencari ketenangan . Lantas segera dihalakan langkah menuju ke kamar mandi. Siraman wudu’ menyegarkan jasad. Sujud padaNya menyegarkan ruh. Pada DIA dicerita, dirintih dan diadukan segala-galanya. Hati yang fitrahnya berbolak balik itu diserahkan sepenuhNya pada Allah.

“Ya Allah, Engkau yang satu tiada selainMu, dan ku yakini Engkau yang Maha Mengetahui keadaan hatiku tatkala ini, tenangkanlah ia ya Allah”

“Ya Rahman, pemurahnya Engkau mengurniakan rasa cinta dihati ini, namun ku takut murkaMu, bawakanlah aku kejalan yang Engkau redhai”

“Ya Rahman, penyayangnya Engkau pada hamba yang menduakanMu, pulihkanlah hati yang parah ini melepaskan cinta manusiawi pergi, semata demi meragut cintaMu”

Tahajud cinta, cinta padaNya, Dia yang utama.

Pengabdian itu larut hingga Subuh menjengah. Usai Subuh, sedikit wirid, ma’thurat dan doa, Al-Quran hitam peneman setia dicapainya lantas memulakan ulangan hafazan. Dan tatkala itulah telefon disapa mesej si Mujahid.

………………………………………………….

Dhuha membuka pintu rezeki penghuni bumi. Usai membersihkan diri dihamparkan sejadah turut sama memohon keluasan pintu rezeki dan rahmat. Namun biasa dhuhanya 2 rakaat, akan tetapi hari itu 2 rakaat solat hajat ditambahnya memohon dibuka simpulan resah yang terbuku. Allah tempat memohon jawapan dan petunjuk. Apakah harus dia menyahut ajakan pertemuan si Mujahid? Apakah dia tega membirkan si Mujahid menanti? Apakah dia sedia berhadapan dengan si Mujahid? Dan! Adakah dia bersedia menjadi punca fitnah agama? Allah, sungguh dia keliru. Apa harus diputuskan.

“Ya Allah, Engkau mengetahui kekusutan hati ini, simpulan yang membuku entah dimana hujungnya? Aku keliru, apa yang harus aku lakukan ya Allah?”

“Ya Allah, aku yakini kekuasaanMu melebihi segala yang ada di cerakewala ini, bukakanlah simpulan ini, leraikanlah kekusutan ini, berilah aku petunjuk, walau dengan cara apa sekalipun.”

“Ya Allah, benar aku meletakkan harapan pada hambamu itu Rabb, namun aku tidak sanggup berharap apa sekalipun tanpa dengan keredhaanMu.”

“Ya Allah, andai pertemuanku dengannya sudah tertulis restuMu di Arasy, Engakau berilah petunjuk walau dengan cara apa sekalipun, namun juga andai pertemuanku dengannya tertulis murkaMu di Arasy sana, berikanlah jua aku petunjuk dengan cara apa sekalipun. Sungguh, aku samar dalam membuat keputusan ini.”

“Perkenankanlah Ya Allah”


Jam menunjukkan kira-kira pukul 10 pagi, lagi sejam angka 11 itu bakalan menjengah. Namun si Mujahidah masih dibayangi kesamaran. Apa harus dilakukannya.

Entah bagaimana laju rentaknya menghala ke almari, mengambil sepasang baju dan tudung dibawa ke tempat sterika. Dihilangkan kedut-kedut yang beribu pada pakaian itu.

‘Iron je lah dulu, nak turun tak nak turun lain cerita’ monolog hatinya.

Sedang menyetarika pakaian itu, satu panggilan telefon masuk, dilihat di skrin.

Incall : Ummi Habibati

Mak telefon! Riang sedikit rasa dihati. Macam-macam topik dibualkan dengan bonda tercinta padahal baru dua hari lepas menelefon. Mak bertanyakan bila kan balik kerumah, kerana maklum mak mengetahui peperiksaan akhir sudah selesai dua hari yang lalu. Si Mujahidah mengkhabarkan insyaAllah tiada aral melintang lagi empat hari akan pulang kerana perlu menghadiri satu majlis sambutan hari keluarga beberapa hari lagi.

“Ok tak pe lah lagu tu, duk sana jaga diri molek, jangan sibuk nak bercinta bergewe pulok.” Pesan bonda dengan loghat pantai timurnya.

Allah! Tersentak si Mujahidah mendengarkan kalam itu. Sungguh umpama menusuk ke hati. Mak semacam mengetahui galau hati si anak. Apakah ini jawapannya ya Allah? Apakah ini alamat pada persoalan?

Namun keliru, keliru dan masih keliru, tetap juga bertamu.

Si Mujahidah ini, hampir 22 tahun dipinjamkan hayat oleh Allah. Selama jangka masa itulah dia tegar bermujahadah menjaga diri. Tidak pernah dia membenarkan mana-mana ajnabi menyentuh hatinya, sungguh dia bertegas dalam hal itu. Namun, pertemuannya dengan si Mujahid itu membuka ruang hati untuk diterima kehadirannya sebagai insan yang sedikit istimewa berbanding sahabat yang lain. Namun, untuk hal bertemu secara berdua sebegini sungguh mengelirukan jiwa.

Di pusing pengalaman sekian lama dalam bermuamalah, difikirkan apakah pernah dia berdua dengan mana-mana ajnabi secara bersendirian samada dalam apa-apa diskusi, liqa, mesyuarat dan sebagainya. Ditenung dan direnung, semacam tidak ada, yang pasti setiap pertemuan dengan mana-mana lelaki pasti ada sahabat muslimah yang turut menemani.

Lagi beberapa minit ke pukul sebelas. Al-Quran hitam kesayangan dicapai. Dilekapkan kedada, berdoa padaNya.

“Ya Allah, aku mohon petunjukMu”

Lalu dibuka Al-Quran tersebut lantas mata terpaku pada ayat 87 Surah Al-Maidah. Allahuakbar, Allah seolah berbicara dengannya.

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas."

‘Benar, Allah halalkan hubungan persahabatan antara dua insan. Tapi jika melampaui batasnya akan membawa kepada haram, dan aku nampak seakan pertemuan ini sudah malampaui batas normalnya hubungan antara lelaki dan wanita. Ya, mungkin ini jawapan Allah, aku dapat simpulkan sendiri, itulah petunjuknya!’ si Mujahidah lantas bermonolog.

Dan iman pantas berbisik! Nyah kau nafsu yang licik!

Dalam keterpaksaan mengakui petunjuk itu. Si Mujahidah menghempaskan diri ke tempat beradu. Akalnya memaksa diri untuk tidur, mengharapkan masa pantas berlalu.

[Ana kat pondok kolej ni, enti nak turun ke tak?]

Mesej terpapar di skrin menyedarkan si Mujahidah yang lena dibuat-buat itu. Allahuakbar, jam menunjukkan lebih pukul 12 tengahari. Dan dia masih menunggu. Apa harus dilakukan? Hampir luluh jiwa tatkala itu, manakan tidak kekasih hati menunggu di bawah. Namun dikuatkan imannya. Pakaian yang bergosok dilihat sepintas lalu. Terus sambung tidur-tidur ayamnya sekadar memujuk hati.

Setengah jam kemudiannya SMS yang hampir serupa bertandang lagi.

[Ana kat pondok kolej ni, nak turun ke tak? Kalau tak ana balik]

Allahuakbar, Dia saja mengetahui resahnya ketika itu. Air mata usah dikata sememangnya menghujan, setia menemani seawal tadi.

Lantas, pakaian yang tersedia dicapainya, diganti dan bersiap. Bersiap untuk turun, bertemu si Mujahid. Namun jantung berdebar semakin kencang. Melangkah keluar dari pintu bilik menyapa anak tangga. Bangunan 4 tingkat itu satu persatu dituntun turun kebawah. Sesampainya di aras dua, dari kejauhan nampak pondok itu, dalam kerabunan mata tanpa kuasa cermin mata, samar-samar kelihatan si Mujahid duduk di bangku pondok tersebut. Allah, degupan jantung semakin kencang. Sampai di tingkat bawah sekali, si Mujahidah lansung tidak segera menuju ke pondok itu, tetapi melencong  ke bangku berdekatan tangga yang ada disitu. Duduk. Jantung semakin mengepam kencang. Apa harus dilakukan? Sungguh, dia tak mampu dalam keadaan begini.

Sedang berusaha menenangkan diri, satu SMS masuk menyentak si Mujahidah.

[Akak, saya on the way ke kolej ni, akak ada tak?]

Rupanya mesej dari adik junior. Beberapa hari lepas si Mujahidah ada membeli buku ilmiah darinya tapi masih belum berbayar. Jadi adik junior itu sukarela menawarkan diri untuk datang ke kolej untuk si Mujahidah membuat pembayaran.

Apakah ini lagi satu petanda, sememangya dia tidak sewajarnya bertemu si Mujahid? Jejari disentuh pada skrin, membalas SMS adik junior itu, namun Allahuakbar terketar-ketar jari sewaktu menaip mesej tersebut. Sejuknya tangan usah dikata. Debarnya masih belum henti. Perasaan apakah ini? Tetap diteruskan juga menaip.

[Ada, datang je dik]

Mesej adik junior itu dibalas.

[Ok, lagi 15 minit saya sampai]

Dibalas kembali.

Si Mujahidah teringat, dia lansung tidak membawa duit turun ketika itu lantas kembali memanjat tangga kembali kebiliknya di aras paling atas itu untuk mengambil duit. Dan kemudiannya berpatah balik turun semula. Sampai di aras dua, melalui surau. Hatinya terdetik untuk masuk kesitu. Menunggu saja disitu. Tatkala simpuh sempurna diletakkan satu lagi SMS masuk.

[Susah sangat ke nak balas mesej?]

Si Mujahid! Masih menunggu. Allah apa harus dilakukan?? Tidak henti si Mujahidah menyebut asma Allah, berzikir di dalam surau itu, mohon pada Allah ditenangkan hati. Jam menunjukkan hampir ke pukul 1 tengahari. Ini bermakna dari pukul sebelas tadi hampir dua jam telah berlalu. Hampir sepuluh minit bertapa disurau itu, lagi mesej diterima dari si Mujahid.

[Last ana tanya, nak turun ke tak? Kalau tak ana balik]

 Khali. Dibiarkan lagi mesej itu tanpa berbalas. Tidak lama sejurus itu berganti mesej adik junior.

[Akak, saya dah sampai, saya tunggu kat bawah]

Si Mujahidah melangkah keluar dari surau menyantun turun anak tangga. Terus berjumpa si junior. Membuka dompet dan segera melunaskan hutang.

“Akak dah makan? Jom makan dengan kita.” si junior mempelawa.

“Err, belum lagi dik, boleh juga, jom!”

Kemudian si Mujahidah bersama si junior beriringan ke kafe kolej untuk memberi hak pada perut yang kelaparan.

‘Ini pertolongan Allah, benar aku yakin Dia masih belum izinkan lagi pertemuan kami berlaku. Bukan ini masanya. Jika tidak masakan Allah hantarkan si junior ini bertandang. Aku yakin ketentuan Ilahi. Maafkanku Mujahid. Aku bukanlah sesiapa, kamu berhak untuk menentukan apa yang bakalan berlaku seterusnya. Namun tetap juga kuasa Allah itu tiada tandingnya. Mungkin getaran yang kurasakan dari tadi itulah getaran dosa. Astaghfirullahal ‘adzim.’ monolog akhir si Mujahidah..................... THE END



AnaFaqirah Indallah
2345
15012014


2 comments: