Aku, dia dan mereka.

Sunday, May 17, 2015

Jangan Menyentuh Jika Tidak Berniat Memetik


Tahukah kamu wahai kaum adam, wanita solehah yang kamu inginkan bukan sekadar inginkan kejelasan kamu, tapi mereka juga mengharapkan kamu serius untuk taaruf yang menuju baitul muslim. Sememangnya benar taaruf itu tidak semestinya menerima dan bukan jaminan tanda setuju untuk ke baitul muslim, tapi entahkan apa tujuannya bagi kamu jika hanya bertaaruf, menyatakan minat kepadanya tapi kamu lantas habis di situ. Mengapa ‘menyentuh’ andai tidak berniat mahu memetik? Sedangkan bagi wanita yang solehah itu, mereka tidak mengerti makna hubungan suka-suka atau ‘sekadar kawan’. Hubungan ‘sekadar kawan’ bagi mereka hanyalah pada ketika perlu.

Sungguh silap jika kamu mengandaikan mereka ‘reti’ untuk berkawan suka-suka dengan lawan jenis. Apatah lagi setelah kamu menunjukkan dan menyatakan minat kamu terhadap mereka dan ingin bertaaruf, maka sewajarnya bagi mereka mempertimbangkan maksud kamu, kerana mereka juga dalam penantian! Namun lembutnya hati mereka disalah ertikan, dan diambil mudah hingga begitu mudah kamu hadir dalam hidup mereka dan menyentuh hati mereka dan begitu pula kamu mudah untuk pergi sesuka hati kamu dan mengandaikan segalanya ‘tersilap’ dan tidak berniat untuk ke tahap seterusnya. Jika benar kamu tidak berminat untuk serius, maka mengapa kamu menyentuh hatinya pada awalnya? Tidakkah itu kejam untuk mereka?

Bukan mereka tidak faham konsep taaruf dan berkawan dalam Islam, bukan mereka tidak faham taaruf tidak semestinya diikuti dengan khitbah, tapi di mana kesungguhan kamu dalam bertaaruf untuk mengenali hati budi masing-masing untuk maksud yang lebih besar dari itu? Jika benar setelah taaruf dirasakan tidak sesuai, maka wajar taaruf itu terhenti setakat itu dan masing-masing menerima dengan terbuka. Tapi bagaimana jika dalam proses taaruf pun kamu seolah bermain tarik tali dan seolah tidak serius untuk itu? Atau sebenarnya kamu keliru dan sekadar-kadar untuk berkawan sesuka hati tanpa adanya perancangan yang serius? Malulah kamu wahai adam yang ‘belum matang’ (walaupun zahirnya kamu kelihatan matang). Tahniah buat kamu wahai adam yang sudah matang dan memikirkan natijah di atas setiap perbuatan kamu kepada orang lain.

Kerana soal jodoh dan rumah tangga itu bukan isu enteng dalam Islam. Kerana ia adalah soal yang besar dan bukan perkara main-main. Terbinanya ia adalah di atas dasar yang kukuh (individu muslim yang benar-benar muslim)  lantas berkembang dengan baiknya hingga akhirnya menaiki tangga seterusnya dalam maratib amal kita. Kerana Islam juga tidak mengajarkan persahabatan antara lawan jenis sesuka hati tanpa adanya tujuan sahih yang diterima di sisi syarak. Bukan wanita-wanita solehah itu terlalu syadid dalam bersosial, tapi kerana menjaga diri dan bakal zuriat yang lahir, dan kerana mengimpikan suasana rumah tangga didasari roh dan acuan Islam, maka sewajarnya mereka mengambil serius dalam setiap perkara bermula dari proses taaruf itu lagi. Kerana ia permulaan untuk proses seterusnya. Andai dalam proses bertaaruf pun kamu seolah bermain tarik tali, tahukah kamu itu saja sudah cukup menyinggung perasaan mereka? Mungkin mereka tidak tersinggung andai mereka adalah wanita yang sudah terlalu biasa berhubung sana sini dengan lawan jenis dan membuka peluang kepada ramai lelaki siapa saja yang berminat, namun yang jelas sejelas-jelasnya, Mereka bukan begitu!.

Jadi usah ambil mudah andai seorang wanita solehah sudah memberikan ‘lampu hijau’ untuk proses taaruf yang terkawal kerana bukan sesuka hati mereka menerima dan bukan sesuka hati mereka ingin memulakan proses itu. Malah sudah selebihnya dari itu yang mereka fikirkan. Jika mereka tidak nampak kamu ada potensi untuk mereka pertimbangkan sebagai calon imam mereka, maka untuk apa mereka menyatakan ‘ya’ untuk taaruf itu? Andai yang datang itu adalah seseorang yang mereka tidak rasa ingin pertimbangkan sebagai calon imamnya pun, (contohnya yang sangat sosial, yang nampak bermain-main, suka mengorat, tak berakhlak, etc)  maka dari awal lagi pastinya mereka tidak akan membuka peluang untuk taaruf sebegitu.

Maka mengapa kamu, wahai adam, easy come and easy go as u wish? Menyatakan minat dan ingin bertaaruf,tapi bila berubah fikiran atau datangnya pilihan lain, maka kamu bertindak seolah semuanya tiada apa-apa? Sungguh kami Hawa ini tidak mengerti apa yang ada di dalam kepala kamu, Adam. Terus terang kami nyatakan, andai tiada niat untuk memetik, maka usahlah kamu ‘menyentuh’ akan hati si perempuan itu. Sememangnya laki-laki yang baik untuk wanita yang baik, dan begitu sebaliknya. Sememangnya jodoh setiap orang sudah ditentukan, jika bukan kamu, pasti yang lain yang lebih baik ditakdirkan untuk wanita-wanita itu. Namun kita diberikan kemampuan untuk ikhtiar. Maka ikhtiarlah sehabis baik dan sehabis matang. Usah bertindak kebudak-budakan kerana kamu bukan budak-budak lagi malah selayaknya jadi bapa budak. Fikirlah, istikharahlah, baru nyatakan hasrat untuk bertaaruf.

Moga Allah permudahkan.