Aku, dia dan mereka.

Saturday, September 27, 2014

Perubahan Itu Satu Keinginan.

Assalamualaikum wbt..
Lama rasanya tidak mencorak sesuatu pada kanvas blog ini.
Acapkali ada yang datang bertanya dan meminta pandangan tentang 'perubahan'. Perubahan ke arah lebih baik, menjadi ummat Muhammad dan hamba yang terbaik buat Al-Khaliq.

Sedikit coretan ringkas dari saya,
yang juga masih mencari dan pasti akan terus mencari titik perubahan.


Perubahan itu memang payah pada awalnya. Diri ini juga sedang bertatih meniti perubahan itu. Berjuanglah wahai saudara seislamku, perjuangan itu memang pahit namun Dia menjanjikan Syurga yang manis. Andai ada detik hitam semalam, tinggalkan saja di belakang. Jangan jadikan ia sebagai sesuatu yang melemahkan kita sebaliknya jadikan ianya sebagai penguat semangat kita untuk terus maju ke depan. Buang semua karat jahiliyah yang masih ada dalam diri. Berniatlah, kerana Allah akan gagahi diri untuk meneruskan sisa hidup ini. Biar ditebus segala dosa selagi jasad bernyawa.

Perubahan itu pula susah untuk istiqamah. Ini kerana manusia itu mudah lalai. Perlu sentiasa ditazkirah setiap hari. Perlu sentiasa saling mengingati. Ini kerana jika tidak ada yang mengingatkan, manusia itu akan mudah hanyut dalam arus kegelapan. Jangan biarkan diri kita masih terumbang-ambing dengan hiburan semata-mata. Ayuh bangkitlah wahai manusia!

Carilah ilmu-ilmu positif yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Tidak memadai hanya mendengar satu ceramah dan memegang satu buku sahaja untuk melakukan anjakan paradigma yang berterusan. Hargai setiap detik yang ada menimba ilmu Allah kerana ilmu Allah itu sangat luas.

Bukan tidak boleh berhibur tetapi ada batasannya. Dunia penuh godaan dan dugaan. Iman sahajalah penyelamat sekeping hati milik diri. Oleh itu binalah kekuatan itu dari sekarang. Usah ditunggu wahai manusia. Pastikan hati sentiasa hidup dengan petunjukNya. Alangkah bahagianya hidup ini..percayalah 

Berubahlah sementara masih ada keinginan itu. Berubahlah sementara masih ada hidayah Allah. Kerana orang yang tidak mendapat hidayah itu, akan kekal berada dalam kegelapan jika Allah mengkehendakinya.

(Kenangan : Menjadi ahli panel bersama selebriti Catriona Ross dalam seminar 'Hijrah Bidadari' anjuran NGO Indahnya Berpurdah di Masjid Asy-Syakirin KLCC)

1 comment: