Aku, dia dan mereka.

Wednesday, December 7, 2011

Laskar Dakwah....(versi ikhwan)



"Akh, ana dah tak tahan lagi. Ana rasa tak ada guna lagi kita teruskan buat kerja ni. Dakwah kita tak mungkin boleh hidup!"

"Astaghfirullah..Akhi, istighfar akhi. Tak elok cakap macam tu."


"Afwan, ana terlalu mengikut perasaan. Tapi ana dah tak tahan. Berapa tahun dah kita meneruskan perjuangan ni. Kita tetap berteguh dengan prinsip kita, tidak punya nama, tidak punya platform khas. Kita terus dengan cara dakwah kita, dengan tarbiyah. Kita tidak pernah memperkenalkan jemaah, tetapi memperkenalkan Islam kepada mad'u-mad'u kita. Namun apa masyarakat kampus ni buat pada kita? Kita dituduh sesat, siapa yang ikut kita scholar akan ditarik, kita underground, kita memecahbelahkan jemaah, dan macam-macam lagi, ana tak laratlah nak sebut. Kalau setakat fitnah-fitnah liar tu saja ana tak kesah, tapi tengok, anak halaqoh ana dah taknak ikut halaqoh lagi. Daripada 35 orang yang kita kumpul, habis semua lari. Adalah yang tinggal 5 orang je. Penat kita tarbiyah mereka, sekarang hilang entah ke mana."



"......"



"Bukan tu je. Sekolah-sekolah yang kita masuk untuk pelajar-pelajarnya kita tarbiyah, pun tak guna juga. Kita turun sekolah tiap-tiap minggu, tapi ada saja alasan mereka tak mahu turun halaqoh. Nak basuh baju lah, nak outing la, balik rumah la. Akh, ana dah tak larat akh. Boleh ke dakwah kita ni maju suatu hari nanti? Macam tak mungkin je. Ana dah putus harap."



"Akhi, bawa bertenang. Jangan ikutkan perasaan tu. Memang lumrah berdakwah, kita akan ditimpa kesusahan dan kemelaratan. Mengharapkan senang dalam berjuang tu kan bagai mengharapkan bulan di siang hari. Antum tak ingat ke lagu kumpulan Hijjaz yang antum selalu nyanyi tu?"



"Ye la, kita memang tak mengharap senang, tapi bukanlah susah macam ni yang kita minta."



"Akh, rileks dulu akh. Ini semua kan ujian daripada Allah. Jangan mengeluh, tapi anggap ni semua tarbiyah daripada Allah untuk kita semakin tabah dan kreatif!"



"Kreatif?"



"Kreatif, ya kreatif! Kita perlu sabar dan seterusnya menganggap segala kesusahan yang kita alami ini adalah cabaran yang perlu kita atasi bagi mewujudkan dakwah yang jauh lebih baik. Mungkin sekarang ni kita masih belum menemukan rentak. Dakwah kita masih belum dapat diterima oleh semua lapisan. Makanya kita perlu merangka strategi-strategi yang lebih kemas dan cantik untuk mengatasi segala masalah yang ada. Baik di kampus ini mahupun di sekolah-sekolah yang kita masuk."



"Erm..."



"Akhi, ana kagum dengan pelajar-pelajar susah dalam Filem Laskar Pelangi. Antum dah tengok filem tu?"



"Belum, cerita apa tu?"



"Antum kena tengok akh. Filem tu menceritakan tentang kesusahan 10 orang anak-anak Pulau Belitung, sebuah pulau miskin yang berjuang untuk meneruskan persekolahan. Sekolah mereka adalah satu-satunya sekolah percuma untuk orang miskin yang ada di pulau itu dan keadaan sekolahnya amatlah uzur. Atapnya zink berkarat yang berlubang-lubang di sana sini. Bila hujan lebat, habis lumpur masuk dan mereka terpaksa bergotong-royang membersihkan kelas mereka bersama-sama. Kalau kapur habis, mereka sendiri yang perlu bebasikal pergi ke bandar yang jauhnya berbelas kilometer dari sekolah. Guru yang mengajarnya pun 3 orang sahaja. Namun mereka tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu. Kalau antum tonton filem tu, tentu semangat antum akan tebakar melihat keteguhan dan kegigihan guru-guru dan anak muridnya untuk terus memastikan mereka tetap mempunyai impian. Impian untuk berjaya."




"Macam best je, cerita lah lagi."



"Bab cerita-cerita ni memang antum suka kan? Tapi kalau ana cerita jadi tak best la. Antum kena tengok sendiri cerita tu, baru best. Apa orang melanau kata..baru ada umph!"



"Haha..kelakarla antum ni. Alah, nak tengok cerita tu bila, kita dahla nak dekat exam. Nak study lagi. Antum ceritala sikit, part-part yang syok."



"Yelah...dah buat muka sposen dia. Ok. Asalnya 3 orang mengajar di sekolah tu, tapi seorang telah menarik diri sebab tak tahan dengan gaji yang sedikit dan telah mendapat tawaran daripada sekolah lain. Cikgu lelaki tu namanya Bakri. Bu Muslimah, yang satu-satunya guru perempuan di situ, berkata,




"Jadi kau tega untuk meninggalkan sekolah ini?" Cikgu Bakri terdiam, lalu Bu Muslimah menyambung.
"Bakri, tugas kita memanglah berat. Murid kita pun sedikit. Tapi kita punya kewajiban untuk memberi pendidikan kepada anak-anak yang tidak mampu ni."


Cikgu Bakri pun bersuara,



"Mus, orang-orang sudah tidak ada lagi yang mahu menyekolahkan anak-anaknya di sekolah ini. Mereka fikir lebih anaknya jadi kuli, untuk menafkahi keluarganya."



"Tapi ini satu-satunya sekolah Islam yang ada di Belitung."

"Pernah kauterfikir mengapa satu-satunya Mus? Kerana tidak ada lagi yang peduli Mus. Dah 5 tahun sekolah ini tidak dapat membuka kelas baru kerana apa Mus? Tidak ada lagi murid yang mendaftar. Mengapa Mus? Apa lagi yang perlu dibanggakan, selain namanya SD Muhammadiah? Apa perestasi sekolah ni Mus? Tiada lagi yang kisah. Tiada lagi yang percaya. Tiada lagi yang bermimpi anaknya boleh mencapai impian untuk berjaya. Tiada gunanya kita terus mempertahankan sekolah ini."



Pak Harfan, seorang guru tua merangkap Guru Besar SD Muhammadiah yang semenjak tadi berdiam diri pun bersuara,



"Bakri, Muslimah tidak mungkin mampu mengajarkan semua matapelajaran itu sendirian. Anak-anak itu sebentar lagi sudah masuk darjah enam. Tidak mahukah kau bersabar dan menemani mereka hingga mereka lulus. Tunggulah sebentar saja lagi."



"Ya, tapi tawaran ke sekolah itu pun tidak bisa tunggu pak."



Bu Muslimah terdiam, dan menangis lalu keluar daripada bilik guru meninggalkan Cikgu Bakar dan . Pak Harfan pun pergi mendapatkan Bu Muslimah dan memujuknya,



"Mus, jangan marah. Bersabarlah dulu."



"Tak pak, aku tak marah. Aku merasa ada benarnya apa yang disebut Bakri. Tiada orang yang peduli dengan sekolah kita pak. Semua orang tidak percaya bahawa anak-anak miskin pun punya hak untuk belajar."



"Bukan semua Mus. Masih ada kita berdua. Kita tidak boleh putus asa. Tugas kita adalah terus menyakini anak-anak ini bahawa mereka harus berani mempunyai cita-cita. Berani mempunyai impian."



"Ya pak, benar. Kita harus berusaha lebih keras lagi pak. Kita perlu membuktikan kepada semua orang. Biar semua orang percaya, bahawa sekolah ini ada, dan sekolah ini layak untuk dipertahankan. Kita berdua perlu bekerja lebih keras lagi pak. Lebih keras lagi."



"Hah, itulah keteguhan dua orang guru mereka. Mereka tidak pernah putus asa. Biarpun tiada lagi yang percaya bahawa sekolah itu tidak mampu bertahan, tetapi mereka tetap terus berteguh."



"Erm, best betul antum cerita. Macam dengar drama dari radio! Siap ingat dialog lagi."



"Hahaha, tengoklah berapa kali ana khatam tengok cerita tu. Ramai lagi ikhwah yang hafal dialog cerita tu. Kalau orang ramai hafal dialog cerita P. Ramlee, kita pula hafal dialog cerita islamik macam ni. Barulah terserlah aura tarbiyah!"



"Hmm, ada lagi ke part best?"



"Ada. Kesusahan mereka bukan setakat itu sahaja. Tidak lama kemudian, Pak Harfan meninggal dunia. Tinggallah Bu Muslimah sahaja yang mengajar di sana. Pada awalnya Bu Muslimah sudah berputus asa. Seminggu dia tidak pergi mengajar."



"Habis tu macam mana dengan 10 orang anak-anak miskin tu?"



"Cuba jangan menyampuk. Bagilah ana habis dulu. Ha..ini yang ana kagum ni. Dalam seminggu tu, semua pelajar-pelajar tu tetap hadir ke sekolah. Mereka tetap setia menunggu kehadiran guru mereka yang tercinta, Bu Muslimah. Namun mereka akhirnya tidak lagi ke sekolah kerana menyangka sekolah tidak akan diteruskan lagi. Tinggallah dua orang pelajar sahaja yang masih tetap ke sekolah. Lintang, si anak nelayan dan kawannya Ikal. Mereka tetap ke sekolah walaupun cuma berdua, mengharapkan kembalinya Bu Muslimah. Suatu hari, Ketika Lintang sedang asyik membaca, tiba-tiba Ikal mendengus lalu meluru keluar. Lintang menahannya.




"Mahu ke mana kau Kal?


"Apa lagi nak ditunggu Lintang? Bu Mus tak ada. Kawan-kawan mana? Sekolah apa ini tak ada guru tak ada murid?"



Lintang pun bangun menghampiri Ikal lalu berkata,



"Ayuh, ikut aku."



Mereka berjalan keluar daripada bilik darjah. Lintang bersuara,



"Kal, ayah aku ada empat orang anak. 3 perempuan, aku satu-satunya anak lelaki paling tua. Sepatutnya aku diajak jadi nelayan bersamanya, agar dapat ikan lebih banyak. Tapi, dia malah mengirim aku ke sini. Dia ingin aku mengejar cita-cita yang tinggi Kal. Kita semua harus punya cita-cita. Dan di sekolah inilah perjalanan itu kita mulai. Kita harus terus sekolah."



Lalu mereka berdua pun bersama-sama berbasikal keliling kampung mencari rakan-rakan sekelas untuk belajar bersama-sama. Lalu mereka berkumpul di dalam kelas usang itu tanpa Bu Muslimah. Lintang yang mengajar. Lintang merupakan anak yang cerdas. Lintang mengingatkan mereka supaya tidak berputus asa.



"Soekarno ditahan di Penjara Sukamiskin pada tanggal 29 Disember 1929, kerana menubuhkan parti Nasional Indonesia dengan tujuan Indonesia merdeka. Ruangannya sempit, dikelilingi tembok-tembok tebal yang seram, tinggi, gelap dan berjeriji. Lebih buruk daripada kelas kita yang sering bocor. Tetapi di situlah beliau menjalani hukuman. Setiap hari belajar. Setiap hari baca buku. Beliau adalah salah satu orang tercerdas yang pernah dimiliki oleh negeri ini."



Lalu ketika sedang sibuk mengajar, tiba-tiba Bu Muslimah muncul. Dia amat terharu dengan kesungguhan anak-anak murid kesayangannya yang masih mahu belajar. Ketika dia masuk ke kelas, semua anak-anak muridnya menyerbu dan memeluknya dengan penuh kasih sayang. Mereka semua menangis keharuan."



"Wa...bestnye..ana nak tengok gakla. Banyak pengajaran daripada cerita tu.."



"Jadi, kita perlu mencontohi semangat mereka. Biar semua orang tidak percaya dengan dakwah kita. Biar semua orang lari meninggalkan kita, biar apa alasan yang mereka semua beri, kita ni 'illegal'lah, kita ni 'underground'lah, kita ni 'tak ada ulama' lah, kita ni 'sikit'lah dan apa-apa pun. Biar. Tetapi kita akan tetap yakin akh, intanshurullah, yanshurkum! Jika kamu membantu Allah, Allah akan membantumu. Itulah yang Allah firmankan dalam Surah Muhammad, ayat ke 7. Itu janji Allah, kepada mereka yang membantu agamanya. Ya, sekarang memang kita underground, kita sedikit, sebab kita pun masih baru, masih muda. Tetapi ingat, tidak selamanya kita begini. Tidak selamanya kita akan terus berdakwah tanpa platform seperti ini. Suatu masa nanti kita akan jadi besar, semakin ramai ikhwah yang akan ditarbiyah semakin banyak sekolah yang akan kita masuk dan semakin ramai orang akan menerima dakwah kita. Masa tu lihatlah, kita akan membawa perubahan dalam masyarakat. Kita akan suburkan Malaysia tercinta ini dengan dakwah dan jihad. Kita akan lihat di mana-mana, Islam akan dijulang tinggi dan menjadi cara hidup. Nanti antum akan lihat, ikhwah-ikhwah kita yang sekarang berada di Mesir yang ambil medic, akan balik, buka klinik dan farmasi, lepas itu mereka akan buka rangkaian klinik dan kita akan ada sebuah hospital kita sendiri. Kita akan pastikan semuanya berjalan dengan cukup islamik, tetapi amat professional. Kita akan asingkan lelaki dan perempuannya. Para ibu yang akan bersalin, anaknya tidak lagi akan disambut oleh doktor bukan Islam, tetapi oleh seorang doktor perempuan yang bertudung labuh, seorang akhwat!"



"Haha, betul tu. Kemudian kita yang ambil engineering ni pula akan bantu untuk menjadikan hospital kita adalah yang terbaik dan tercanggih kemudahannya. Kita tidak akan meminta bayaran yang mahal kepada mereka yang tidak mampu. Kita akan memberi kepada masyarakat kita yang terbaik. Macam tu kan akh?"



"Ya, macam tu lah. Kita perlu bercita-cita besar dan berimpian tinggi melangit. Kita perlu berfikir 10-20 tahun ke hadapan. Kita tidak hanya berimpian, tetapi kita susuli dengan strategi-strategi yang mantap dan kemas. Kita mulakan dengan kampus ini. Kita susun rancangan, bagaimana kita nak memastikan lebih ramai mad'u yang dapat kita halaqohkan dan tarbiyah dengan baik. Kita juga akan merancang macam mana agar semua mad'u-mad'u kita di kampus ini akan boleh menjadi da'i yang hebat, lebih hebat dari kita. Sehingga nanti semua orang dapat merasakan nikmat tarbiyah. Semua orang akan berislam dan beriman dengan baik. Sampai masanya nanti, semua kelab dan persatuan serta jabatan-jabatan yang ada di kampus ini akan dipenuhi oleh ikhwah dan akhwat. Ketika itu kita tidak lagi underground. Kita tidak lagi illegal. Kitalah yang akan merubah semuanya. Pergi mana-mana, semuanya ikhwah dan akhwat. Sampaikan pakcik yang tengah potong rumput tu pun nanti, tengah rehat-rehat, tiba-tiba akan keluarkan Al-Quran membacanya. Tengok makcik cleaning servis.."



"Hah, ana tahu, yang tengah mop lantai tu, semuanya nanti bertudung labuh dan berjubah!"



"Hahaha...boleh tahan gak imaginasi antum ni ye. Ana ingat ana seorang je yang suka berimaginasi macam ni."



"Dah jadi roomate antum, tersibghahlah ana! Haha... Tapi kan akh, macam tinggi sangat je cita-cita kita ni, mampu ke nak capai?"



"Akh, nabi pun dulu berdakwah mula dengan underground. Tiada siapa tahu dakwah nabi dan para sahabat. Fitnah yang mereka alami pun jauh lebih dahsyat. Orang ramai hampir tiada yang mengenali baginda, tetapi hampir semua orang dah dengar yang nabi tu gilalah, sesatlah, memecah-belahkan keluargalah, menghina tuhan-tuhan masyarakat arablah. Sampaikan semua orang memusuhi nabi. Tapi dengan berkat kesabaran baginda, akhirnya Negara Islam pertama dapat tertegak di Madinah. Dan para sahabat serta tabi'in meneruskan perjuangan baginda sehingga dua pertiga dunia ini dikuasai mereka. Alah, lihatlah contoh terdekat kita, ikhwah-ikhwah di Indonesia. Kan dahulunya mereka juga underground dan tiada nama? Berdakwah macam kita juga. Tetapi mereka tetap teguh, bersabar dan terus bersabar. Sekarang mereka dah mula menguasai politik. Kita doakan mereka akan terus membawa perubahan di sana."



"Amiin, insya-Allah. Betul tu akh. Ana jadi bersemangat dengar cerita antum ni."



"Tapi akh, kita kena ingat. Niat mesti terus diikhlaskan, usaha mesti terus dicurahkan, tidak kira apapun yang berlaku."



"Maksud antum?"



"Memang impian-impian kita itu indah, tapi kita perlu bersiap sedia andai kita ditaqdirkan Allah untuk tidak sempat melihat kejayaan dakwah. Mungkin kita berusaha bersungguh-sungguh tapi hasinya hanya dapat dilihat 30-40 tahun lagi, atau dalam masa yang lebih panjang daripada itu. Kita mungkin tidak dapat menikmatinya, tetapi tetaplah teguh, agar generasi kita di masa hadapan akan bangga dengan apa yang kita wariskan. Ana teringat pesan Pak Harfan yang selalu diulang-ulang kepada anak-anak miskin tu,




"Jangan mudah berputus asa. Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya."

Kerana Allah membalas pahala atas sebanyak mana yang kita berikan, bukan atas sebanyak mana yang kita dapatkan."


"Bunyi macam Ustaz Hasrizal je, 'Erti hidup pada memberi'. Tapi memang betul akh. Jazakallah atas cerita antum. Dari dulu ana memang suka dengar cerita-cerita antum."



"Ana kan memang pandai bercerita, sebab tu lah ana dapat ajak antum ikut halaqoh dulu, ingat tak? Hahaha..saje je ungkit kisah lama sikit. Bukan nak membangga diri, cuma nak mengenang zaman awal tarbiyah."



"Em, ingat lagi, dulu antum yang selalu ajak ana pergi liqo' Al-Mulk. Ana pula asyik rimas je, sebab liqo' tu lama sangat. Antumlah, banyak sangat cerita. Tapi bila dah dengar, tak jadi nak balik bilik study. Sampailah sekarang ni,ana dah banyak berubah. Jazakallah akh."



"Wa-iyya-kum. Bukan ana yang patut antum berikan terima kasih ini. Tetapi kepada Allah. Dialah yang telah mengaturkan pertemuan kita. Dialah yang telah membuka hati kita semua untuk tertarik kepada Islam. Dialah yang kemudiannya telah menetapkan kita untuk bersaudara dalam satu satu saf, untuk saling kuat-menguatkan dan saling berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran."



"Akh, seorang sahabat pernah berkata kepada nabi yang dia menyintai seseorang sahabatnya kan? Lalu antum ingat apa yang Baginda katakan pada sahabat itu?"



"Ingat, nabi suruh dia menyatakan cintanya kepada sahabat tersebut. Kenapa?"



"Oleh itu, dengarkan ini, ana dah lama nak sebut. Antum dah banyak tolong ana untuk ubah diri. Dulu ana ni teruk, banyak buat dosa. Couple. Hisap rokok. Belasah orang. Tapi antum tetap dekati ana. Antum kenalkan ana dengan tarbiyah. Antum selalu kuatkan semangat ana bila ana lemah. Antum selalu nasihatkan ana bila ana silap. Antum tetap tak pernah putus asa. Ana terharu..."



"Akh..."



"Nanti, ana belum habis. Oleh itu saksikanlah..Akhi, ana cintakan antum kerana Allah! Uhibbukumfillah ya Akhi!"



"Ya, akhi, ana pun cintakan Antum kerana Allah. Semoga Allah juga turut mencintai antum kerana antum mencintai ana keranaNya. Semoga kita terus tabah dan tsabat dalam perjuangan ini. Kita akan terus yakin yang kita akan mengubah segalanya."



"Ya akh, insya-Allah"



Kedua ikhwah itupun berpelukan dalam linangan air mata. Air mata cinta dan syukur. Mereka akan bersama mengejar pelangi dakwah, di bawah naungan redha dan cinta Ilahi. Semoga Laskar-Laskar Dakwah ini akan mekar di mana-mana sahaja suatu hari nanti. Insya-Allah…



'Ya-Allah, aku cintakan hambaMu ini Ya-Allah. Satukanlah hati-hati kami dalam jalan mencari redhaMu. Jadikanlah dia mujahid yang berjuang di jalanMu. Cintailah dia sebagaimana Kaumencintai para rasulmu. Jadikanlah dia mencintaiMu sebagaimana aku mencintaiMu, malah lebih lagi Ya-Allah. Ya-Allah...perkenankanlah...'


No comments:

Post a Comment