Assalamualaikum.salam kasih dan sayang...
Rindu bertaut cinta berbuah..lama sudah tidak mencoretkan sesuatu dilaman sesawang penuh cereka ini,memang benar-benar dah bersawang rasanya..Dek kerana kesibukakan yang menghambat diri.
Alhamdulillah sudah lebih 3 bulan ana bergelar mahasiswi tahun pertama Universiti Malaya. Menjadi pelajar universiti begitu banyak cabaran dan dugaannya.
Tidak sempat rasanya untuk bercerita dan menukilkan qalam yang panjang kali ini,cuma ingin berkongsi tentang assingment pertama yang telah ana submit. Sebagai pelajar Sarjana Muda Usuluddin-Dakwah dan Pembangunan Insan kursus teras jabatan, Dakwah dan Masyarakat Majmuk, kami ditugaskan menyelesaikan satu tugasan yang diberikan oleh pensyarah..tajuknya! Pengalaman sebagai seorang Da'ie.
Disini ana kongsikan assingment yang telah anasubmit beberapa minggu yang lalu...
SECEBIS TENTANG
SERIKANDI
Bismillahirrahmanirrahim......
Al-kisah...
Tatkala mentari
makin meninggi menyumbangkan vitamin D pada seluruh makhluk dimuka bumi
Ilahi,tepat jam berdetik 9.20 pagi tanggal 21 Ogos 1992 bersamaan 21 Safar 1413
Hijrah waktu Malaysia,kenyaringan tangisan memecah kekalutan seluruh warga
Hospital Daerah Machang letaknya di negeri Serambi Mekah,Kelantan Darul
Naim.Disaat itulah lahirnya seorang serikandi comel mula mengenal dunia.
Pasangan bahagia En.Abdul Halim b Ali dan Puan Che Azah binti Yakob tersenyum
bangga menatap anakanda tercinta setelah 9 purnama menantikan kelahiran permata
ketiga ini. Lantas sang ayah meggendong terus mengiqamatkan si anak,dengan
harapan cahaya baru ini kan menjadi anak solehah yang taat pada Sang Pencipta,ibubapa
serta tegar berbakti pada agama,bangsa dan negara. Itulah sebuah kelahiran
seorang insan bernama, aku!!!
aku seorang pejuang!
Diberi nama Nur
Syuhadiah binti Abdul Halim yang membawa maksud "Cahaya Penyaksian".Penuh
harapan dari kedua ibubapa mengharapkan anaknya memberi cahaya dan saksi
kebaikan kedua orang tua yang menatang anakandanya bagai minyak yang penuh di
akhirat kelak. Mak,abah..sesungguhnya diri ini menjadi saksi kebaikan dan
jasamu di dunia ini menyempurnakan kewajipan pada anakmu.
Saya dibesarkan
dalam kehidupan yang penuh kesederhanaan. Abah menyumbangkan kudratnya sebagai
'pilot' bas SKMK,berulang alik dari Kuala Krai ke Kota Bharu mengangkut
penumpang menyara keluargaku. Mak seorang serikandi penyeri kehidupan rumah
kami. Membesar bersama 3 adik beradik yang lain,abang,kakak dan adik. Abang
sulung bernama Muhammad Syakiran Wafil bin Abdul Halim penuntut tahap
pertengahan ijazah Pembantu Perubatan di Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST).
Kekanda tersayang merupakan mahasiswi tahun 2 Pengajian Syariah di Universiti
Al-Azhar,Alexandaria,Mesir manakala adik bongsuku insyaAllah berperang dengan
Sijil Pelajaran Malaysianya di Mahaad Syamsul Maarif Lilbanat,Pulai
Chondong.Alhamdulillah kami sekeluarga menetap di istana kediaman kami di
bandar Machang,Kelantan.Sebuah keluarga yang cukup sederhana tetapi teramat
bahagia dan penuh dengan bi’ah Islami..
Berbicara soal
cita-cita,desakan minat yang mendalam terhadap bidang dakwah saya memilih
kursus ini sebagai satu wadah untuk lebih mendalami ilmu dan gerak kerja mulia
ini. Saya berhasrat bisa menjadi pakar dalam bidang dakwah yang mana paling
tidak boleh menyumbang sesuatu untuk agama tercinta. InsyaAllah moga kami dapat
melakukan sesuatu untuk Islam!
Penutup cebisan ini,tertarik dengan
kata-kata seorang pejuang dan mujaddid ,al-Imam Hassan Al-Banna,katanya “ Andai
diumpamakan ISLAM seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku
akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip
dengan ramainya bilangan mereka. Tapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk
membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah
bangunan yang tersergam indah.”
PENGEMBARAAN
SEORANG DA’IE
Firman Allah
dalam kitab agungNya :
(وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ
إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ
هُمُ الْمُفْلِحُون )
Yang bermaksud “
dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan
mereka itulah orang-orang yang beruntung”
( Surah Al-Imran : 104)
Pengalaman menjalankan gerak kerja
dakwah merupakan suatu yang amat menyeronokkan dan mengajarkanku seribu satu
pengalaman yang membawa jutaan erti. Peluang dakwah yang terbentang didepan mata pasti tidak akan
saya sia-siakan.Sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “apabila
seseorang kamu melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan kamu(kuasa) jika
tidak mampu ubahlah dengan lisan kamu ,jika tidak juga mampu maka ubahlah
dengan hati kamu,itulah selemah-lemah iman.”
Memulakan madah tentang pengalaman
berdakwah dalam episod kehidupan,suka untuk saya kongsikan legasi dakwah ini
merupakan suatu bidang yang sangat saya perhatikan dan seumpama menjadi darah
daging dalam hidup. Dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sangat
mementingkan karenah agama dan syariat pastlah medan juang dakwah antara menu
utama santapan kehidupan kami. Abah dan mak sememangnya sedari kecil teramat
menitik beratkan hal-hal agama. Semenjak dari bangku sekolah menengah saya
dijinak-jinakkan dengan program-program dakwah. Seawalnya ketika di usia
menegah rendah di Maahad Syamsul Maarif Perempuan, saya dilantik menjadi ahli
jawatankuasa Badan Dakwah dan Kepimpinan Islam (BALKIS). Di situ saya telah
dilatih dan dipertanggungjawab kan mengurus pelbagai program dan aktiviti-aktiviti berunsurkan dakwah dan islami. Penganjuran
Malam Penghayatan Islam (MPM) merupakan aktiviti wajib yang dirangka
jawatankuasa BALKIS kepada setiap tingkatan. Dari MPM ini saya diajar memupuk
minat para peserta melazimi qiamullail, tadabbur dan membaca Al-Quran, melazimi
doa-doa mathurat, solat-solat sunat, kesedaran tentang aurat, erti hidup
sebagai hamba Allah dan lain-lain asas tentang fardhu ain.
Saya juga ditaklifkan memegang usrah
yang terdiri daripada adik-adik tingkatan satu. Usrah merupakan peluang dakwah
yang sangat efektif untuk diprakatikkan. Dari situ, banyak peluang yang dapat
saya manfaatkan samada dari segi memberi mahupun menerima. Perkongsian dari
pelbagai bab dan bidang seumpama akidah, ibadah, akhlak, isu-isu semasa dan sebagainya
diperbincangkan. Kekreatifan pembimbing usrah yakni naqib dan naqibah sebagai
da’ie dalam membimbing usrah antara titik kejayaan sesebuah usrah dihadam dan
diaplikasikan oleh mad’u. Selain dari dakwah formal di sekolah, saya juga
terlibat dengan gerakan dakwah di luar sekolah. Setiap hujung minggu dan cuti
umum persekolahan saya dan beberapa orang rakan yang lain membantu Masjid Pulai
Chondong yang terletak berhampiran dengan sekolah mengajar al-Quran dan fardhu
ain kepada anak-anak kecil di kampung tersebut. Kesungguhan ahli rakan
masjid menyebarkan dakwah kepada
masyarakat setempat menerujakan saya untuk bersama mereka. Pendekatan dakwah
kepada si cilik sangat berbeza berbanding pendekatan mad’u yang lain. Layanan
yang harus diberikan dan karenah yang harus dihadapi membuka peluang kepada
saya belajar ilmu kepelbagaian mad’u secara tidak lansung memberi serba sedikit
persediaan awal untuk mendidik anak-anak. Kata orang melentur buluh biarlah
dari rebungnya maka mendidik anak-anak terutamanya tentang ilmu-ilmu agama
haruslah bermula dari kecil.
Disamping mengajar saya juga turut
terlibat dengan program-program Kerajaan Negeri Kelantan sebagai sukarelawan.
Antara program terbesar yang saya sertai dan masih segar di ingatan serta
memberi kesan yang mendalam ialah Karnival al-Quran dan Sains yang diadakan di
Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat. Hampir seminggu saya berkampung disitu
ditugaskan sebagai jawatankuasa unit penerangan. Kehebatan dan keajaiban
al-Quran yang mana wujudnya lebih 1400 tahun dahulu sangat menakjubkan saya
tatkala secara jelas dapat membuktikan keterkinian ilmu sains yang telah dikaji
para saintis abad ini. Inilah antara kalam dakwah yang sangat bermakna apabila
saya ditugaskan untuk bercerita dan memberi penerangan tentang kemukjizatan
terbesar dari Allah ini kepada para pengunjung karnival tersebut.
Menjejakkan kaki ke peringkat
menengah tinggi semakin membuka ruang dan langkahan kaki ini menuju lapangan
dakwah. Alhamdulillah saya mendapat tawaran ke Maahad Muhammadi Tumpat untuk
meneruskan pengajian dalam aliran sains tulen. Medan juang yang lebih jauh
semakin memuncakkan semangat dakwah ini dengan pertambahannya bilangan mad’u
dan karenah yang pelbagai harus dihadapi. Disekolah baru ini juga saya
mengaktifkan diri dalam Badan Dakwah dan Rohani Sekolah (BADAR) sehingga
ditaklifkan sebagai timbalan pengerusi BADAR. Aktiviti-aktiviti dakwah dari
sekolah lama dicadangkan untuk diteruskan disamping menjana idea-idea lain.
Penubuhan jabatan nuqaba makin melicinkan kegiatan usrah, silibus-silibus usrah
diperkemas dan diperbukukan semula sebagai kemudahan dan panduan para nuqaba’
menyampaikan usrah. Sesungguhnya bagi saya, usrah merupakan tunjang utama dalam
tarbiyah dan dakwah. Andai berjayanya sesebuah usrah maka tidak menjadi masalah
untuk menebar luas kegiatan dakwah yang lain. Daurah nuqaba’, rehlah tarbawi
dan tamrin-tamrin merupakan aktiviti wajib jawatankuasa BADAR rencanakan buat
seluruh warga maahad.
Tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) memberikan saya peluang rehat untuk jangka masa yang agak lama. Terkesan
dari kata-kata seorang sahabat, “tiada istilah rehat yang berpanjangan bagi
sang dai’e di dunia ini kerana kerehatan yang abadi hanyalah di syurga.” Saya memanfaatkan
sepenuhnya cuti yang hampir 4 bulan itu dengan mewakafkan diri untuk gerak
kerja dakwah. Setiap pagi anak-anak kampung akan datang kerumah untuk belajar
mengaji al-Quran. Pada hujung minggu selepas asar pula, jawatankuasa masjid
meminta bantuan saya mengajar kelas fardhu ain juga untuk anak-anak kampung di
masjid berhadapan dengan rumah saya. Seringkali juga rumah saya dikunjungi mak
cik-mak cik di kampung untuk diajarkan mengaji al-Quran dan serba sedikit ilmu
agama. Sedikit ilmu yang ada saling dikongsi dan dipelajari.
Sementara
menunggu panggilan Institut pengajian Tinggi (IPT) saya kembali ke Maahad
Syamsul Maarif mengisi masa dengan menuntut ilmu-ilmu Sijil menengah Agama
(STAM). Bergelar pelajar senior semakin memudahkan urusan saya meneruskan
agenda dakwah,memikat adik-adik junior bersama mencintai majlis-majlis ilmu dan
program-program islami,dakwah dan tarbiyah. Sekali lagi tanpa diduga taklifan
setiausaha BALKIS terpundak dibahu ini,diberi kepercayaan untuk meneruskan
perjuangan bersama sahabaat-sahabat yang lain memimpin jiwa-jiwa warga maahad
mendekati al-Khaliq.
Pada
tempoh itu juga, BALKIS dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
telah menganjurkan ekspedisi Da’ie Muda ke perkampungan orang asli di Gua
Musang, Kelantan. Ekspedisi yang menarik dan penuh cabaran ini memperkenalkan
kami dengan mad’u yang baru dan sangat istimewa. Kampung Perlug, Post Tuel letaknya
jauh dipedalaman merupakan sebuah perkampungan orang asli yang telah beberapa
kali dijejaki oleh wakil-wakil agama seperti Kristian dan Islam. Alhamdulillah
lebih separuh dari penduduk kampung telah melafazkan Syahadah . Misi utama kami
menjejakkan kaki kesana pastinya untuk menyebarkan Islam buat warga penduduk.
Sesampainya disana kami para da’ie muda diberikan keluarga angkat masing-masing.
Dan saya sungguh bertuah menjadi anak angkat kepada penghulu kampung yang
dikenali dengan tok batin. Mempunyai keluarga angkat yang cukup meriah dengan
penghuni rumah seramai 15 orang merupakan suatu yang sangat menyeronokkan. Kami
ditugaskan untuk mengajarkan asas-asas Islam dan fardhu ain kepada keluarga
angkat masing-masing. Sambutan yang sangat baik memudahkan kerja-kerja kami dan
pelbagai cara pendekatan dakwah yang digunakan untuk menyampaikan Islam kepada
warga orang asli ini termasuklah dengan belajar cara hidup mereka,memajat bukit
mengikut mereka bekerja bercucuk tanam, bersukan dan sebagainya. Dan apa yang
sangat memberi kesan yang sangat mendalam kepada kami tatkala dapat
mengislamkan beberapa warga penduduk disana. Deraian air mata tidak disedari
turun tatkala mereka melafazkan kalimah agung “lailaha illallah,Muhammadu
rasulullah”. Maha Suci Allah bertambah lagi bilangan saudara kita.
Ekspedisi
ini tidak berakhir begitu sahaja, malah kami telah meneruskan agenda ini kepada
siri-siri yang seterusnya, dan walaupun saya sudah meninggalkan maahad tersebut
namun misi ini tetap menjadi suatu perisian dalam taqwim kehidupan dan sukanya
dikatakan bahawa ekspedisi ini telah memasuki siri yang ke lima malah kami
telah mendirikan sebuah rumah di kampung tersebut dek kerana kekerapan
berkunjung ke situ.
Pengembaraan
saya sebagai da’ie semakin menyeronokkan apabila diri ini melangkah ke bumi
Universiti Malaya Kuala Lumpur. Menjejakkan kaki ke kota metropolitan ini
membawa suatu perubahan pada diri saya
tatkala purdah menjadi pakaian rasmi. Niat yang terpendam begitu lama
direalisasikan disini. Cabaran dan ujian pastinya tidak lari dalam fasa
perubahan menjadi lebih baik, itulah hakikatnya. Ramai yang menyangka muslimah
yang berniqab ini agak sukar untuk menjalankan gerak kerja dakwah dek kerana
masalah komunikasi dan pergaulan namun
saya menyangkal spekulasi dan kenyataan itu. Buktinya kerak kerja dakwah
yang biasa saya lakukan sebelum-sebelum ini seperti usrah, majlis-majlis ilmu, riadhah
dan ziarah tetap saya jalankan seperti biasa malah mendapat sambutan yang lebih
baik. Di sini saya ditempatkan di Kolej Kediaman Raja Dr.Nazrin Syah dan sekali
lagi ditaklifkan sebagai jawatankuasa Balai Islam kolej selain jawatankuasa
Asasi dibawah exco kerohanian. Taklifan ini makin melicinkan serta memudahkan
gerak kerja menyeru kemakrufan dan meninggalkan kemungkaran ini.
Setiap
kali adanya sambutan perayaan kebangsaan seperti Hari Merdeka, Hari Malaysia,
Tahun Baru dan hari memperingati kekasih (Valentine’s Day) , Gabungan Mahasiswa
Islam se-Malaysia (GAMIS) akan menganjurkan ekspedisi dakwah ke kota-kota besar
di sekitar Kuala Lumpur. Antara yang paling segar di ingatan saya adalah ketika
ekspidisi dakwah sempena sambutan malam kemerdekaan di Dataran Merdeka. Kami
ditugaskan mengedar risalah berunsurkan jauhi maksiat dan hindari gejala tidak
sihat serta sedikit makanan ringan kepada orang ramai disana. Pelbagai gelagat
dan ragam manusia dapat disaksikan semasa ekspidisi ini, anak-anak muda
berkeliaran, geng-geng black metal,.punk, golongan mak nyah, gay, dan lesbian,
pasangan-pasangan yang bercinta serta tidak kurang keluarga turut bersama
menantikan ambang merdeka.
berdakwah ditengah jutaan ummat
Kami
juga dikehendaki mencari beberapa mad’u sebagai sasaran dakwah tanpa putus.
Kejadian yang sangat menyentuh hati saya dimana berkenalan dengan seorang kakak
beberapa tahun lebih tua dari saya menjual air di kaki lima Dataran Merdeka, kakak
yang sangat cantik dan muda tapi agak menyimpang dari landasan agama. Agak lama
kami berbual dan berkongsi dan tidak disangka pertemuan yang sementara itu
menitipkan bibit-bibit kemesraan diantara kami. Sangat mennyentuh hati saya
apabila dia meluahkan rasa ingin berubah dan sangat gembira melihat insan-insan
seperti kami. Dan perpisahan kami pada malam itu diakhiri dengan pelukan dan
tangisan yang syahdu. Sedetik bersama meninggalkan kesan ukhuwwah yang sangat
mendalam. Namun hubungan kami tidak teputus disitu, saya terus menghubunginya pada hari-hari kemudiannya.
Benar kata murabbiah saya, “lihatlah setiap mad’u dihadapan kita dengan
pandangan kasih sayang” dan Alhamdulillah perubahan demi perubahan makin
dirasai dan dapat dilihat dari kak Aira Jamil, nama yang tidak lekang
dititipkan dalam doa.
Bersempena
dengan Hari Maulidurrasul, GAMIS juga menganjurkan flosh mob di sekitar KLCC.
Dan saya tidak terlepas turut serta dalam acara yang sangat menarik ini. Demi
meningkatkan kesedaran terhadap Rasulullah tentang kerasulannya, flash mob ini
diadakan. Kami dikehendaki menjadi patung disepanjang stesen LRT KLCC. Pelbagai
gelagat yang kami saksikan,ada yang memegang buku tentang sirah Rasulullah,
memegang banner sayangkan baginda rasul dan macam-macam lagi. Alhamdulillah
sedikit sebanyak aktiviti member impak kepada orang ramai. Dan flash mob kami
pada hari itu diakhiri dengan perarakan skuad kami diiringi dengan selawat ke atas junjungan mulia sepanjang
stesen LRT ke dataran KLCC. KLCC bergema dengan alunan indah selawat pada hari
itu,sungguh mendamaikan.
Selain
dari aktiviti-aktiviti dakwah anjuran pertubuhan mahasiswa,saya juga menyertai
NGO Islamic Information and Services
Foundation (IIS) dan Saba’ Islamic media berpusat di Titiwangsa. NGO ini
merupakan pertubuhan yang menjalankan kerja dakwah kepada non-muslim. Banyak
aktiviti-aktiviti dakwah yang kami jalankan dan yang utamanya adalah “Street
Dakwah” yang diadakan setiap bulan di
sekitar kawasan Kuala Lumpur. “Street Dakwah ini menampilkan kami berkongsi tentang
Islam khususnya kepada non-muslim di luar sana. Semestinyalah sebelum melakukan
agenda ini, kami diberikan didikan dan latihan untuk berhadapan dengan
mereka-mereka ini. Ilmu perbandingan agama akan diajar kepada para sukarelawan
didalam kelas untuk dipraktikkan di lapangan. Orator hebat seperti Bro Shah
Kirit, Xifu Naser dan Bro Engku Fauzi antara guru yang banyak membimbing saya
akan reality dakwah non-muslim ini. Kami juga dibawa ke rumah-rumah ibadat
agama lain seperti gereja dan kuil untuk mencari mad’u. Sangat menerujakan dan kesyukuran
tahap tertinggi tatakala ada yang melafazkan syahadah kerana biasan dakwah ini.
Dan
yang paling terkini dari IIS yang turut bersama saya turun padang ialah
Dr.Zakir Naik Malaysia Tour 2012. Saya sempat menjadi sukarelawan untuk majlis
di UITM Shah Alam dan PWTC. Pengalaman yang sangat berharga dapat bersama
dengan orator terkenal dunia. Dalam berlansungnya pengucapan oleh Dr.Zakir NAik
itu sempat saya berkongsi sedikit ilmu yang ada tentang islam dengan beberapa non-muslim
yang ada. Datangnya dari pelbagai bangsa,dari Nyammar, Bangladesh, Jepun ,
Brunei dan serata dunia. Sungguh tersentuh hati saya apabila ada yang berterus
terang dengan saya mereka sangat kagum dengan agama Islam dan berhasrat untuk
memeluk agama mulia Islam. Dan jutaan dorongan dan semangat makin saya
lontarkan kepada mereka. Secebis doa turut mengiringi semoga hidayah itu milik
mereka.
Dr.Zakir Naik Tour soo osem
Dizaman
ICT dunia serba canggih dan berteknologi ini, saya juga tidak ketinggalan
menyemarakkan dunia dakwah di alam maya. Saya meletakkan kewajipan pada diri
saya meletakkan status berunsurkan tazkirah dan dakwah di facebook. Saya juga
mempunyai blog peribadi yang dihasilkan untuk berkongsi pengalaman dan
peringatan. qalamsyuhada-musafircintailahi.blogspot.com satu medan dan astaka untuk saya menghunuskan pena
dakwah ini.
Itulah
serba sedikit cebisan pengalaman dakwah yang pernah saya alami. Pengalaman yang
sungguh bermakna yang mana kalau ingin dinukilkan di helaian kertas ini
hanyalah secebis sahaja. Saya menebarkan dakwah,namun dalam masa yang sama juga
saya belajar seribu satu perkara. Dan inilah pembelajaran tidak formal dan
tidak lansung saya miliki. Saya berharap
semoga Allah istiqomahkan saya dalam perjuangan ini. InsyaAllah.
Akhir
kalam, suka untuk saya berkongsi satu kata yang saya petik dari sebuah buku
“bila diri diwaqafkan untuk perjuangan Islam, jangan sesekali berniat untuk
meloloskan diri, sekali melangkah ke hadapan maka teruskan langkah itu, jangan
pernah terlintas untuk melepaskan ikatan rabithah perjuangan. Walau ribuan
tribulasi melanda yakinlah dengan apa yang kita lakukan nescaya kemenangan
pasti tiba. Derita kita adalah derita ummat terdahulu, penat kita hari ini
adalah untuk generasi akan datang. Kita bukanlah yang memulakan perjuangan tetapi
kita adalah rantai-rantai yang menyambung perjuangan.”
“Ya Allah.. Thabatkan hati kami dalam meniti liku
dakwah ini.. Amin “
*sedikit di edit untuk menambah perisa dan rasa.. =)
No comments:
Post a Comment