Aku, dia dan mereka.

Showing posts with label Mujahadah Lillah. Show all posts
Showing posts with label Mujahadah Lillah. Show all posts

Sunday, May 17, 2015

Jangan Menyentuh Jika Tidak Berniat Memetik


Tahukah kamu wahai kaum adam, wanita solehah yang kamu inginkan bukan sekadar inginkan kejelasan kamu, tapi mereka juga mengharapkan kamu serius untuk taaruf yang menuju baitul muslim. Sememangnya benar taaruf itu tidak semestinya menerima dan bukan jaminan tanda setuju untuk ke baitul muslim, tapi entahkan apa tujuannya bagi kamu jika hanya bertaaruf, menyatakan minat kepadanya tapi kamu lantas habis di situ. Mengapa ‘menyentuh’ andai tidak berniat mahu memetik? Sedangkan bagi wanita yang solehah itu, mereka tidak mengerti makna hubungan suka-suka atau ‘sekadar kawan’. Hubungan ‘sekadar kawan’ bagi mereka hanyalah pada ketika perlu.

Sungguh silap jika kamu mengandaikan mereka ‘reti’ untuk berkawan suka-suka dengan lawan jenis. Apatah lagi setelah kamu menunjukkan dan menyatakan minat kamu terhadap mereka dan ingin bertaaruf, maka sewajarnya bagi mereka mempertimbangkan maksud kamu, kerana mereka juga dalam penantian! Namun lembutnya hati mereka disalah ertikan, dan diambil mudah hingga begitu mudah kamu hadir dalam hidup mereka dan menyentuh hati mereka dan begitu pula kamu mudah untuk pergi sesuka hati kamu dan mengandaikan segalanya ‘tersilap’ dan tidak berniat untuk ke tahap seterusnya. Jika benar kamu tidak berminat untuk serius, maka mengapa kamu menyentuh hatinya pada awalnya? Tidakkah itu kejam untuk mereka?

Bukan mereka tidak faham konsep taaruf dan berkawan dalam Islam, bukan mereka tidak faham taaruf tidak semestinya diikuti dengan khitbah, tapi di mana kesungguhan kamu dalam bertaaruf untuk mengenali hati budi masing-masing untuk maksud yang lebih besar dari itu? Jika benar setelah taaruf dirasakan tidak sesuai, maka wajar taaruf itu terhenti setakat itu dan masing-masing menerima dengan terbuka. Tapi bagaimana jika dalam proses taaruf pun kamu seolah bermain tarik tali dan seolah tidak serius untuk itu? Atau sebenarnya kamu keliru dan sekadar-kadar untuk berkawan sesuka hati tanpa adanya perancangan yang serius? Malulah kamu wahai adam yang ‘belum matang’ (walaupun zahirnya kamu kelihatan matang). Tahniah buat kamu wahai adam yang sudah matang dan memikirkan natijah di atas setiap perbuatan kamu kepada orang lain.

Kerana soal jodoh dan rumah tangga itu bukan isu enteng dalam Islam. Kerana ia adalah soal yang besar dan bukan perkara main-main. Terbinanya ia adalah di atas dasar yang kukuh (individu muslim yang benar-benar muslim)  lantas berkembang dengan baiknya hingga akhirnya menaiki tangga seterusnya dalam maratib amal kita. Kerana Islam juga tidak mengajarkan persahabatan antara lawan jenis sesuka hati tanpa adanya tujuan sahih yang diterima di sisi syarak. Bukan wanita-wanita solehah itu terlalu syadid dalam bersosial, tapi kerana menjaga diri dan bakal zuriat yang lahir, dan kerana mengimpikan suasana rumah tangga didasari roh dan acuan Islam, maka sewajarnya mereka mengambil serius dalam setiap perkara bermula dari proses taaruf itu lagi. Kerana ia permulaan untuk proses seterusnya. Andai dalam proses bertaaruf pun kamu seolah bermain tarik tali, tahukah kamu itu saja sudah cukup menyinggung perasaan mereka? Mungkin mereka tidak tersinggung andai mereka adalah wanita yang sudah terlalu biasa berhubung sana sini dengan lawan jenis dan membuka peluang kepada ramai lelaki siapa saja yang berminat, namun yang jelas sejelas-jelasnya, Mereka bukan begitu!.

Jadi usah ambil mudah andai seorang wanita solehah sudah memberikan ‘lampu hijau’ untuk proses taaruf yang terkawal kerana bukan sesuka hati mereka menerima dan bukan sesuka hati mereka ingin memulakan proses itu. Malah sudah selebihnya dari itu yang mereka fikirkan. Jika mereka tidak nampak kamu ada potensi untuk mereka pertimbangkan sebagai calon imam mereka, maka untuk apa mereka menyatakan ‘ya’ untuk taaruf itu? Andai yang datang itu adalah seseorang yang mereka tidak rasa ingin pertimbangkan sebagai calon imamnya pun, (contohnya yang sangat sosial, yang nampak bermain-main, suka mengorat, tak berakhlak, etc)  maka dari awal lagi pastinya mereka tidak akan membuka peluang untuk taaruf sebegitu.

Maka mengapa kamu, wahai adam, easy come and easy go as u wish? Menyatakan minat dan ingin bertaaruf,tapi bila berubah fikiran atau datangnya pilihan lain, maka kamu bertindak seolah semuanya tiada apa-apa? Sungguh kami Hawa ini tidak mengerti apa yang ada di dalam kepala kamu, Adam. Terus terang kami nyatakan, andai tiada niat untuk memetik, maka usahlah kamu ‘menyentuh’ akan hati si perempuan itu. Sememangnya laki-laki yang baik untuk wanita yang baik, dan begitu sebaliknya. Sememangnya jodoh setiap orang sudah ditentukan, jika bukan kamu, pasti yang lain yang lebih baik ditakdirkan untuk wanita-wanita itu. Namun kita diberikan kemampuan untuk ikhtiar. Maka ikhtiarlah sehabis baik dan sehabis matang. Usah bertindak kebudak-budakan kerana kamu bukan budak-budak lagi malah selayaknya jadi bapa budak. Fikirlah, istikharahlah, baru nyatakan hasrat untuk bertaaruf.

Moga Allah permudahkan.


Saturday, September 27, 2014

Perubahan Itu Satu Keinginan.

Assalamualaikum wbt..
Lama rasanya tidak mencorak sesuatu pada kanvas blog ini.
Acapkali ada yang datang bertanya dan meminta pandangan tentang 'perubahan'. Perubahan ke arah lebih baik, menjadi ummat Muhammad dan hamba yang terbaik buat Al-Khaliq.

Sedikit coretan ringkas dari saya,
yang juga masih mencari dan pasti akan terus mencari titik perubahan.


Perubahan itu memang payah pada awalnya. Diri ini juga sedang bertatih meniti perubahan itu. Berjuanglah wahai saudara seislamku, perjuangan itu memang pahit namun Dia menjanjikan Syurga yang manis. Andai ada detik hitam semalam, tinggalkan saja di belakang. Jangan jadikan ia sebagai sesuatu yang melemahkan kita sebaliknya jadikan ianya sebagai penguat semangat kita untuk terus maju ke depan. Buang semua karat jahiliyah yang masih ada dalam diri. Berniatlah, kerana Allah akan gagahi diri untuk meneruskan sisa hidup ini. Biar ditebus segala dosa selagi jasad bernyawa.

Perubahan itu pula susah untuk istiqamah. Ini kerana manusia itu mudah lalai. Perlu sentiasa ditazkirah setiap hari. Perlu sentiasa saling mengingati. Ini kerana jika tidak ada yang mengingatkan, manusia itu akan mudah hanyut dalam arus kegelapan. Jangan biarkan diri kita masih terumbang-ambing dengan hiburan semata-mata. Ayuh bangkitlah wahai manusia!

Carilah ilmu-ilmu positif yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Tidak memadai hanya mendengar satu ceramah dan memegang satu buku sahaja untuk melakukan anjakan paradigma yang berterusan. Hargai setiap detik yang ada menimba ilmu Allah kerana ilmu Allah itu sangat luas.

Bukan tidak boleh berhibur tetapi ada batasannya. Dunia penuh godaan dan dugaan. Iman sahajalah penyelamat sekeping hati milik diri. Oleh itu binalah kekuatan itu dari sekarang. Usah ditunggu wahai manusia. Pastikan hati sentiasa hidup dengan petunjukNya. Alangkah bahagianya hidup ini..percayalah 

Berubahlah sementara masih ada keinginan itu. Berubahlah sementara masih ada hidayah Allah. Kerana orang yang tidak mendapat hidayah itu, akan kekal berada dalam kegelapan jika Allah mengkehendakinya.

(Kenangan : Menjadi ahli panel bersama selebriti Catriona Ross dalam seminar 'Hijrah Bidadari' anjuran NGO Indahnya Berpurdah di Masjid Asy-Syakirin KLCC)

Saturday, June 21, 2014

JODOH ITU RAHSIA ALLAH



Ada yang sudah dekat tiba-tiba menjauh,
ada yang jauh tiba-tiba mendekat,
ada yang sudah sayang tiba-tiba membenci,
ada yang belum kenal tiba-tiba menyayangi,
ada yang sudah dijadualkan tarikh nikah tiba-tiba bergaduh,
ada yang tidak dikenali tiba-tiba datang mengajak nikah,
ada yang sudah dijodohkan tiba-tiba dibatalkan,
ada yang tidak dikenal sebelumnya tiba-tiba menjadi jodohnya.

Itulah rahsia JODOH...
hanya Dia yang tahu bila kita bertemu jodoh,
hanya Dia yang tahu dengan siapa kita akan berjodoh,
hanya Dia yang tahu dengan cara apa kita bertemu jodoh..

Tugas kita adalah berusaha dengan cara yang baik.,
tugas kita adalah berusaha dengan menjadi baik,
tugas kita adalah menerima apapun keputusan terbaik,
menurut suratan Allah.

Dan satu hal jangan kita abaikan,
jangan pernah merasa penat meminta,
terus meminta melalui DOA kepada-Nya.

Sama ada kita jodoh dgn kematian,
atau berjodoh dgn manusia,
semuanya telah ditakdirkn Ilahi.


Friday, June 20, 2014

Purdah Di Dewan Exam!


Kisah di dewan exam semalam. =)


Selesai mengisi maklumat pada kertas jawapan, tiba-tiba datang seorang wanita menuju ke meja saya. Berdebar rasa hati, terasa seakan dapat meneka tujuannya.

Sesampainya, terus diambil kad madrik saya.
Hati terus memujuk.. Be cool Syuhadiah! Nothing will happen.
Ditiliknya kad matrik saya.
Dalam masa yang sama, rakan-rakan sekeliling memandang kami, bermacam reaksi muka dipamerkan. Kuat hati mengatakan mereka bersama saya, menjadikan diri terus kuat. Yeah, insyaAllah nothing will happen!

"Kenapa semua pandang?" hampir meninggi suara akak itu, mungkin kurang selesa apabila dipandang oleh ramai pelajar. 

"Siapa pensyarah awak?" akak itu bertanya.
"Tu." Saya menunjukkan ke arah pensyarah saya yang duduk di hadapan.
"Yang pakai baju hitam tu ke?"
"Ya!" Jawab saya.

"Awak nak clarify diri awak dekat akak atau pensyarah awak?"
Dia membahasakan diri akak, terpalit rasa tenang sedikit dengan kemesraan bahasa itu. Tapi saya masih blurr, tidak faham dan berkira-kira apa yang patut dilakukan.

"Akak, lecturer saya memang kenal saya." Saya mengeluarkan kenyataan.
"Memanglah lecturer awak kenal awal, akak tak kenal awak dan kes penipuan tak mustahil boleh berlaku."

"Nak clarify dekat akak ke pensyarah awak?" Sekali lagi pertayaan itu diajukan. Dan saya bermonolog terus. Takkan nak tunjuk dekat ustaz? Mestilah dekat akak ni.

"Ok, ok.. Dekat akak lah!"
Lantas akak tadi terus mengangkat kening double jerk nya, fahamlah saya akan maknanya, diminta membuka purdah disitu. 
'Err, takkan kat sini kot?' Lantas hati terus bermonolog sendiri.

"Akak, kalau dekat luar boleh tak?" Saya membuat permintaan dengan harapan diterima baik.

"Ok." Sejurusnya saya mengikut langkahan akak tadi menuju ke luar dewan.

Usai 'si kecil' itu dibuka dan identiti dikenal pasti, akak tadi membuat ulasan.
"Tahu kan peraturan universiti tidak membenarkan awak memakai purdah?"
Saya hanya mengangguk mengiyakan.

"Ok, make sure semester akan datang awak tak pakai purdah bila masuk dewan exam. Akak sarankan awak pakatlah dengan kawan-kawan awak, yang lelaki duduk dibahagian depan, awak duduk di belakang sekali. Kalau rasa susah sangat, ok?"

Panjang saranan dan cadangan akak itu, saya hanya mengangguk kecil.

"Ok, yelah akak." 
Sebaris ucapan terima kasih dileraikan kemudian terus kembali ke tempat duduk setelah dibenarkan.

'Alhamdulillah, everything getting OK!'

Tetapi gementar masih lagi bersisa, tangan terketar-ketar sewaktu menjawab peperiksaan, hampir setengah jam juga dapat kembali menenangkan diri. Allah, indahnya ujian ini. Moga hikmah tersingkap disebaliknya, teguhkan mutu istiqomah dijiwaku.

Kenangan menjadi panel bersama kak Catriona Ross dalam slot 'Hijrah Bidadari' anjuran Indahnya Berpurdah cawangan Selangor di Masjid Asy-Syakirin KLCC ahad lalu.
..........................................

Infinity terima kasih buat akak jaga ekzem, boleh bertoleransi dengan student langgar peraturan universiti macam saya.
Err, untuk saranan akak semester akak datang tu, saya jawab ok je, bkn insyaAllah, nanti saya pertimbangkan balik ye.

Senang kata, saya akan ikut cadangan akak tu, dengan syarat ia tidak bias pada mana-mana pihak. Kalau nak halang saya pakai purdah masa peperiksaan, halang juga yang pakai pakaian yang dilarang mengikut apa yang termaktub di dalam peraturan. Ok?

Alhamdulillah..DIA masih menjagaku.
InDaHnYa berPurdah ^^,


Thursday, June 12, 2014

Ketika Hati Seorang Muslimah Terluka!



Ketika hati seorang muslimah terluka,
Ia akan menghapus air matanya dengan imannya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,

Ia akan menguatkan hatinya dengan ilmunya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,

Hari-harinya akan ia penuhi dgn semangat perubahan lebih baik pada dirinya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Ia merayu dalam doa memohon ampun pada Rabbnya..

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Wajah kusutnya tetap terlihat indah bagi dunia.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Bibir merahnya menyimpul senyuman untuk hidupnya yg masih bersisa.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Matanya basah oleh lembutnya hatinya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Akal dan hatinya hadir untuk memimpin kesedarannya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Tidak akan ada perubahan dalam dirinya oleh hal2 yang tidak bermanfaat.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Air matanya dijadikan doa untuk keselamatan orang yang melukainya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Dia tetap meneruskan liku2 hidupnya bersama Rabb nya.. 

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Kepercayaan dirinya tetap tidak akan pudar..

Ketika hati seorang muslimah terluka,
Ia dan dirinya tetap berusaha menjadi MUSLIMAH kerana Nya..


Tabahkanlah HATIMU duhai MUSLIMAH,
Pada saat dirimu TERLUKA..
Anggaplah ujian ini sebagai ANUGERAH TERINDAH dari Nya..
kerana Dia ingin kamu sentiasa dekat dengan Nya..
InshaaAllah,
Allah sentiasa bersama denganmu..

Saturday, August 27, 2011

Monolog Seorang Hamba..

Ya Allah, sekiranya aku melakukan sesuatu
kerana takutkan neraka Engkau,
Maka Engkau campaklah aku ke dalam neraka Engkau.
Ya Allah, sekiranya aku melakukan sesuatu
kerana harapkan syurga Engkau,
Maka jauhkanlah aku dari ia.
Tetapi sekiranya aku melakukan sesuatu
kerana cinta kepada-Mu,
Maka pertemukanlah aku dengan Mu tanpa hijab.



Ya Allah, mampukah aku menjadi hamba-Mu seperti Rabiatul Adawiyah...
Budi cantik secantik rupanya...
Ya Allah, mampukah aku terus istiqamah melakukan semuanya kerana-Mu
kerana aku lemah, lemah saat dicekam oleh kata-kata manusiawi yang melemahkan aku
Ya Allah, tiap saat aku ingin melakukan sesuatu hanya kerana-Mu,
Aku umpama dihimpit atas salah dan khilaf ku sendiri.
Tiap saat ku, aku memikirkan hikmah di sebalik ujian-Mu
Kerna ku yakin tidak Engkau ciptakan segalanya sia-sia dan kebetulan
Ya Allah, aku takut andai aku tersalah tafsir hikmah dan maksud di sebalik tabir ujian dari-Mu
Pimpin aku Ya Allah...
Tiap saat aku memohon pada-Mu
"Jangan pernah ya Allah Engkau biarkan aku nasibku sendiri walau dalam kadar sesaat sekalipun"
Betulkan niat aku Ya Allah...
Kuatkan aku Ya Allah...
Tabahkan aku Ya Allah...


Saat aku melihat sekeliling, aku tertanya pada diriku
Umpama aku berdialog dengan-Mu
Aku terfikir, bagaimana tanpa sesaat pun, Engkau telah menjemput aku
Namun bekalan ku masih sedikit
Hati ku gentar saat itu ya Allah
Hidup dan matiku hanya kerna-Mu Ya Allah
Hidup mulia atau mati syahid!

Aku tidak ingin lagi bawa fitnah dalam Islam...
Bantu aku Ya Allah...


Thursday, August 4, 2011

Mujahadah Selaut Perjuangan

Keheningan pagi menitiskan embun,
 seharusnya memberikan kebahagiaan buatku, 
menikmati nikmat Illahi, 
mensyukuri nyawa yang tidak putus, 
suatu kesempatan yang bisa merubah segalanya. 


Titisan embun yang gugur menyembah bumi disalah erti,
 ketulusan pagi yang damai menyemai hati kian diragui, 
mendakwa bayu yang berpuput lembut sekadar topeng kebahagian,
 kerana kotak hati yang caca marba, 
segalanya kupersalahkan. 

Dengusku sayup-sayup kedengaran memprotes liku hidup penuh ranjau,
 keluh kesah yang terbit menyalahkan suratan takdir,
 torehan di hati,
 walau sekelumit cuma,
 kukira tiada yang peduli.

 Aku menyalahkan segalanya,
 sehingga alpa salah diri ku, 
atas kedaifan yang naif ini.


 Mengharapkan layang-layang terbang membelah awan,
 harapan ku bersisa separuh jalan, 
aku terlebih dahulu berpaling mengucup bumi,
 kononnya akur berpijak di bumi yang nyata,
 tanpa kesedaran agar bangkit dari tumbangnya jiwa.

 Tumbangnya jiwa, putusnya harapan,
 terhakisnya iman, cinta yang memudar,
 melesapkan kesetiaan. 
Barangkali aku terleka ;
 seketika cuma,
 aku masih punya Allah ; Tuhan yang Esa, 
Allah Maha-Tahu jauh di ceruk hatiku,
 Allah menyayangiku dan aku punya impian mendamba cinta Agung-Nya.
 Barangkali aku terlupa, 
 ujian Allah buat hamba-Nya yang hebat,

 Sesungguhnya,
 ujian merupakan bukti kasih Allah.

 Barangkali,
 aku ternoda dengan pelayaran emosi,
 yang cuba lari dari realiti, 
hikmah di sebalik segala yang terjadi. 
Allah suluhi aku dengan nur hidayah Mu, 
agar yang tumbang, tegap berdiri..
 dengan harapan yang putus, bersambung kembali, 
agar iman yang pergi, menghadirkan diri... 

Semoga cinta yang pudar, 
ligat mencorak hari,
 Memekarkan kesetiaan yang meresap dalam segenap sanubari.
 Bersama langkah yang pasti ,
 mencapai misi, berjuang hidup demi Islami,


 Dalam mempertahankan kesetiaan dan cinta kepada yang selayaknya,
 Mendamba cinta agung Mu, 
Ya Allah, Ya Rabbi
 Ampuhlah jiwa, biar teguh iman ku ini.