Aku, dia dan mereka.

Tuesday, February 7, 2012

Aku Terima Lamaran Pemilik Tudung Labuh

Assalamualaikum wbt.
Teman-teman yang dicintai kerana Allah
Allahummasholli a'la saididina wa habibina Muhammad..

Masa tengah mengusha-usha blog ,tetiba tertarik dengan cerpen yang dijumpai disini (pemilik blog mohon copy ya)...  Amat menarik untuk dikongsikan,tersentuh membacanya..

Selamat membaca... =)


“Assalamualaikum umi.”
Wajah ceria umi dilihat dalam alam maya dengan sayunya. Skype menjadi penghubung Hasanah dan ibunya yang berada jauh di mata tapi dekat di hatinya sepanjang masa. Raut wajah ibunya ditatap dengan penuh syahdu. Ingin disentuh wajah itu namun jarak memisahkan mereka.
Kini telah masuk tahun keempat Hasanah melanjutkan pelajaran di bumi Mesir. Kesibukan menimba ilmu membuatkan Hasanah tidak sedar masa berlalu dengan pantasnya. Ilmu perubatan yang dipelajari semakin hari semakin bertambah. Sudah menjadi cita-cita Hasanah sejak tingkatan empat lagi hendak melanjutkan pelajaran dalam bidang kedoktoran ini. Jika dihitung gaji yang agak lumayan, berbaloilah dengan kesibukan seorang doktor. Namun, bukanlah wang ringgit yang dipandang tetapi matlamat berbakti kepada orang ramai tersenarai dalam 100 impiannya. Walaupun pada awalnya masalah kesihatan menjadi punca dia teragak-agak untuk menceburi bidang ini, namun Allah sebaik-baik perancang. Hasanah lebih suka berserah kepada Allah setelah berusaha dan berdoa.
“Waalaikumussalam. Adik sihat? Belajar macam mana sekarang?”
Tahulah Hasanah soalan itu memang akan keluar daripada mulut seorang ibu. Bimbang tentang keadaan yang jauh di mata walaupun telah sekian lama merantau. Ibunya lebih suka bertanya tentang pelajarannya terlebih dahulu. Mungkin kerana hati ibu sudah memahami, pelajaran adalah kunci utama tahap kesihatan anaknya itu. Apabila Hasanah tertekan dalam pelajaran, mulalah kesihatan diabaikan. Sikap yang dikatakan agak tidak matang ini memang menguasai dirinya sejak sekolah rendah lagi. Pantang keputusan peperiksaannya menurun, pasti akan ditingkatkan ulangkajinya. Dirinya terasa tercabar jika tanggungjawab sebagai seorang pelajar diabaikan dengan mudahnya.
“Alhamdulillah, baik-baik semuanya. Baru lepas habis test. InsyaAllah dah buat yang terbaik, serah dekat Allah sajalah. Orang rumah semua okay? Kak Long dengan Kak Ngah ada balik?”
“Semua okay. Kak Long baru balik hari tu. Dia ambil cuti seminggu sebab nak rehat. Dah mengandung tiga bulan katanya. Kak Ngah balik minggu depan. Nak bincang mengenai perkahwinannya terus.”
“Wah, lepas ni dah ada yang panggil Mak Su. Seronok, seronok. Tahniah lah. Kak Ngah pilih ke umi abah pilih? Hehe. 
“Dia pilih sendiri lah. Zaman sekarang orang cari sendiri lah adik. Adik dah ada calon belum?”
“Aik, pilih sendiri? Adik nak suruh umi abah carikan. Malas lah nak cari. Banyak lagi kerja lain nak buat.”
Senyuman manis terukir di bibir Hasanah. Siapa sangka disebalik kesibukan menimba ilmu, hatinya tetap dimiliki oleh hamba Allah yang telah lama tidak dihubungi. Hasanah lebih memilih untuk menjauhkan diri daripada buah hatinya itu kerana tidak ingin mengganggu tahap keimanan seorang hamba yang sedang bermujahadah. Jauh di sudut hatinya, sudah mengalah mengharapkan insan yang telah bergelar seorang hafiz al-Quran itu. Dia bukanlah perempuan yang baik-baik sebaik seorang hafizah al-Quran. Dia juga bukanlah sepintar hafizah yang dapat menghafal kalam-kalam Allah yang Teragung itu. Walaubagaimanapun, Hasanah tetap nekad untuk menjaga diri sebaiknya. Mungkin bukan layak baginya untuk mendapat jodoh seorang hafiz, tetapi mungkin lebih baik dia mengharapkan dipertemukan dengan insan yang masih mampu menjadi ketua keluarga yang boleh mengimamkan solatnya kelak. Mengharapkan jodohnya itu adalah orang yang dapat mengubahnya menjadi seorang hamba Allah yang melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Perbualan di Skype tidak dapat dipanjangkan. 15 minit yang diperuntukkan dirasakan seperti 5 minit. Tidak sempat berbual panjang berkongsi suka manis seorang perantau.
“Umi, adik ada kelas 30 minit lagi. Adik nak bersiap dulu ni. Nanti sampaikan salam dekat semua okay. Kirim salam sayang”
“Okay. Adik balik Ramadhan tahun ni kan?”
“Insya-Allah umi. Doakan segalanya lancar di sini.”
…………………
Masa berlalu dibawa angin. Kesibukan membuat persiapan perkahwinan Husnina sepanjang bulan Ramadhan membuatkan kepulangan Hasanah ke tanah air lebih diperuntukkan bersama keluarga. Bukan niatnya ingin melupakan sahabat-sahabat yang telah banyak membentuk dirinya, tatapi akalnya perlu bijak membahagikan masa antara keperluan rohani dan keperluan jasmani. Cukuplah sekadar chatting di muka buku, sudah menenangkan hati Hasanah.
Ukhti, enti dah berpunya belum? – Fatimah 
Belum tiba waktunya :) – Hasanah
Enti setia dengan dia lagi ke? Enti ada dapat khabar dari dia? Ana dengar tak lama lagi dia nak bertunang. Ana stalker facebook dia. Melalui komen dan post dekat wall dia, itulah yang ana faham. –Fatimah
Alhamdulillah. Akhirnya sampai juga jodoh dia. Ana dah lama tak hubungi dia ukhti. Sebab ana dah buat persiapan awal-awal, Allah Maha Perancang kan. Mungkin ana memang suka dia, tapi Allah tahu sukanya bakal isterinya terhadap dia berlipat kali ganda hebat. –Hasanah
Insya-Allah. Enti jaga diri baik-baik okay. Selalu berdoa dijauhkan daripada bisikan nafsu :) –Fatimah
Terima kasih sahabat. –Hasanah
Sayunya hati hanya dipendamkan. Istighfar mula bermain di bibirnya. Air mata tidak dapat disekat untuk membasahi pipi. Patahnya hati apabila kesetiaan berakhir sebegitu rupa. Teringat kali pertama perkenalannya dengan hamba Allah yang sudah lama berada di carta hatinya. Hasanah akur dengan kesetiaannya. Barulah dia sedar, dia hanya bertepuk sebelah tangan. Cinta itu bukanlah kejam di matanya kerana cinta itu yang telah mengubah arah hidupnya. Dia akur dengan aura cinta. Seorang perempuan yang mencintai seorang lelaki akan merasakan apa yang dikatakan oleh si kekasih adalah benar belaka. Hanya diangguk, tiada digeleng. Bersyukur juga Hasanah kerana Allah memberi peluang dia menyimpan perasaan kepada insan yang melabuhkan cinta kepada Allah.
“Enti tak perlu balik kepada cara hidup lama enti. Ana mohon, teruskanlah bersahabat dengan orang yang soleh. 
Kiriman SMS Akif lima tahun yang lalu masih segar di ingatan. Berdamping dengan orang soleh telah banyak mengubah dirinya sedikit demi sedikit. Kini berakhir sudah kesetiaan hati. Hasanah sudah lama menantikan saat ini kerana kesetiaan itu sedikit sebanyak memberi harapan palsu buat dirinya. Solat tahajjud kali ini diselubungi kesedihan. Kegembiraan kakaknya yang akan melansungkan perkahwinan esok hari sedikit sebanyak meremukkan lagi hatinya. Mungkin kerana terlintas juga di hatinya ingin memiliki kekasih halal pilihannya sendiri. Tetapi segalanya telah dilupakan apabila lelaki pilihannya akan menjadi milik wanita lain. Sudah pasrah.
…………………………
Jam menunjukkan pukul 10 malam. Majlis berjalan dengan lancar. Semakin bertambah ahli keluarga, semakin meriah rasanya. Sepanjang hari, tetamu sibuk menilik rumah banglo itu. Cantik indah dengan bertemakan White Garden. Mustahillah seorang pengurus butik perkahwinan membuat serba ringkas. Sering saja terlintas di fikiran Hasanah apabila ramai yang memuji. Hasanah juga tidak kurang sibuk. Sibuk ditemuduga, bila mahu melansungkan perkahwinan. Tidak kurang juga ada yang menawarkan khidmat pencarian jodoh. Semuanya dianggap lawak jenaka sahaja. Tidak terlintas lagi di fikirannya untuk ke arah membina masjid. Hatinya baru terubat luka, dibiarkan dahulu untuk pulih sepenuhnya.
“Mampu tak aku dapat suami yang soleh? 
“Allah izinkan tak aku dapat suami yang memahami aku?”
Lamunan dimatikan. Sekotak hadiah dihulurkan kepada Hasanah.
“Hadiah ni ada yang bagi untuk adik tadi.”
Abah berlalu pergi, kepenatan terpancar di wajah abahnya.
“Thanks dad! Selamat malam,” ceria suaranya.
“Orang lain bina masjid, orang lain dapat hadiah.”
Sempat lagi mengomel sendiri sebelum masuk ke bilik. Hadiah diletakkan di sisi katil, masih ada urusan yang belum diselesaikan. Setelah berwuduk, bacaan al-Mulk dimulakan. Sudah menjadi runtinnya sejak mendapat ilham daripada Allah. Bacaan ini diharap sedikit sebanyak dapat mebantunya menghadapi seksaan di akhirat kelak. Nauzubillah, hikmah pembacaan al-Mulk terlalu besar baginya. Badan dibetulkan menghadap ke arah kanan. Sunnah Rasulullah sedikit sebanyak mengingatkannya kepada Rasul terakhir utusan Allah. Hadiah. Matanya memerhati lagi, tidak sempat dilelapkan. Sekeping kad disertakan.
Assalamualaikum doktor,
Terimalah hadiah ini seadanya.
Selamat mencari kemanisan Islam,
Saya tunggu awak habis belajar.
Semoga Allah menjaga awak untuk saya (:

……………………….
Tarikh 27 Jun menjadi pilihan pasangan termuda dalam keluarga Encik Anwar ini. Anak bongsu perempuannya memilih untuk menamatkan zaman bujang seawal usia 24 tahun. Bukan kerana sudah tidak sabar, bukankah lebih baik mendirikan masjid lebih awal apabila tiba masanya adalah yang terbaik bagi menjaga hatinya yang sudah lama bersabar untuk menatap wajah bakal zaujnya.
Seperti yang diceritakan abah, pemilik hadiah adalah lelaki yang baik. Cukuplah bagi Hasanah menerima lamaran lelaki itu apabila mengetahui bahawa lelaki itu bertemu abah di masjid. Bertambah yakin lagi hati Hasanah apabila hadiahnya itu adalah tudung labuh. Hasanah beranggapan, tudung labuh itu menunjukkan lelaki itu mampu mengubah dirinya kelak. Semestinya ke arah kebaikan.
Perkahwinan Hasanah banyak menimbulkan kontroversi dalam kalangan keluarga besarnya. Tidak pernah terjadi dalam keturunan itu, berkahwin tanpa bertunang. Ditambah kekesalan lagi apabila Hasanah menerima lelaki itu tanpa mengenalinya terlebih dahulu. Dibiarkan sahaja orang berkata-kata. Hasanah sudah menjangkakan keluarga besarnya yang mempunyai darah perniagaan itu akan mencemuh dirinya. Pilihan ayahnya pasti yang terbaik buatnya. Mustahil ayahnya mencari yang tidak sekufu buatnya. 
“Kenapa budak tu tak siasat dulu latar belakang laki tu. Nanti dapat tukang sapu baru tahu. Buat malu keluarga je.”
“Hasanah tak takut ke laki tu gemuk ke, tak sesuai dengan Hasanah.”
Dirinya sendiri selama ini dianggap asing kerana tidak mengikut perkembangan berfashion. Namun jalan manakah yang benar. Berlandaskan Islam atau berlandaskan masa? Akur dengan tazkirah yang pernah dibaca. Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara. Persaudaraan kerana Islam lebih mahal nilainya berbanding persaudaraan kerana pertalian darah. Keluarga kandung boleh sahaja bergaduh kerana gilakan harta, tetapi orang mukmin tetap menghormati sesama mereka dalam pembahagian harta.
….

Telah sah sudah Nurul Hasanah binti Hassan menjadi bidadari dunia Abdul Hakim bin Razman dengan sekali lafaz. Hasanah melihat sekilas wajah Hakim ketika sesi pembatalan air sembahyang. Perasaan malu masih menebal. Sejak awal pagi lagi, sesuatu bermain di fikiran Hasanah. Wajah ibu mertuanya dan kakak iparnya seperti pernah dilihat. Pandangan sekilas wajah suaminya juga membuatkan Hasanah panik. 
Akhirnya, saat yang dinantikan Hasanah untuk memakai blaus pengantin menjadi kenyataan. Cantik mempesonakan. Tetamu yang hadir seakan-akan tidak percaya Hasanah tampil secomel bidadari. Mungkin kerana sikap Hasanah yang sangat bersederhana selama ini, tidak berminat untuk make up dan berpakaian secantik itu walaupun berkerjaya. Hari ini Hasanah tampil dengan kelainan untuk menjaga hati kekasih halalnya.
“Akif”
Hasanah sentap melihat wajah Akif di majlis itu. Agak kehairanan kerana majlis itu hanyalah untuk ahli keluarganya terdekat kedua belah pihak sahaja. Matanya tajam memerhatikan pergerakan Akif. Menghampiri meja santapan keluarga pihak lelaki. 
“Awak, jom teman saya jumpa keluarga saya.”
Tangan Hasanah dipimpin Hakim. Akur tanpa sebarang kata-kata.
“Hakim, mama nak balik dah,”
“Mama terus balik rumah? Kalau mama nak bercuti dekat sini Hakim boleh minta pekerja Hakim simpankan hotel untuk Mama,” 
Terdiam Hasanah. Dia tidak pernah mengenali Hakim. Jadi, tidak dapat disampuk perbualan itu. Hanya senyuman yang terukir.
“Boleh juga. Bukan selalu datang sini.” 
“Okay mama. Nanti Hakim dengan Nurul datang tengok Mama esok okay. Boleh Nurul?” 
Mata Hakim bertentangan dengan mata Hasanah. Berdegup kencang jantung insan yang baru bergelar isteri itu. 
“Boleh saja. Tapi Nurul kurang tahulah tempat yang best dekat sini. Tak sempat menjelajah negeri sendiri. Banyak merantau negeri orang.”
“Itu no hal lah, sayang. Pemandu pelancong kan ada.” 
Senyum sahaja dibalasnya. Hasanah sudah mula tidak senang duduk. Masih kekok dengan kaum lelaki. Terasa masih asing. Kegelisahan itu membuatkan lupa akan bayangan Akif tadi.
……………………….
Kereta BMW milik Hakim meluncur laju menuju ke tempat penginapan ibunya. Hasanah hanya diam. Suasana dalam kereta hanya diriuhkan dengan radio.
“Kenapa awak terima saya?” Hakim memulakan perbualan.
Sepi. Tiada jawapan.
“Nurul. Awak di sini kah?”
“Eh, apa awak tanya?”
“Saya tanya kenapa awak sudi terima saya walaupun tak pernah kenal,” 
“Kenapa awak bagi saya tudung labuh?” 
“Kenapa awak tak jawab soalan saya dulu?”
“Kenapa awak nak tahu?” 
“Sebab saya suami awak.”
Hasanah terdiam. Menarik nafas, tenang. 
“Saya terima awak sebab pemberian awak. Kenapa awak hadiahkan saya?”
“Saya nak isteri pakai tudung labuh. Cantik macam awak.”
Dicuit pipi Hasanah tanpa meminta izin.
“Eh, senangnye dia.”
Dibalas cubitan di paha Hakim. Kemesraan mula diperoleh.
“Kenapa dengan tudung labuh yang saya hadiahkan dekat awak tu?”
“Saya yakin awak boleh ubah saya ke arah kebaikan.”
“Tapi saya ni bukan budak sekolah agama macam awak dulu.”
“Siapa cakap budak sekolah agama saja mampu bimbing orang lain. Eh, awak kenal saya dari mana erk?”
Telefon bimbit Hakim berbunyi. ‘Mama’.
“Sayang, angkatkan. Saya tengah drive. 
“Eh, tak biasa lah.”
“Mama awak jugak.” 
Diikuti sahaja arahan Hakim. Walaupun Hakim banyak mengarahnya tetapi dianggap sahaja sebagai senda gurau. 
“Assalamualaikum abang. Akif ni. Abang, mama cakap lama tunggu dekat restoran bawah hotel. Jangan lupa bawak kakak ipar Akif yang abang sayang sangat-sangat tu yeah. Jumpa nanti, okay.” 
Talian diputuskan. Wajah Hasanah mula berubah. Apa lagi yang Allah aturkan untuk hamba-Mu ini Ya Allah. 
“Nurul, kenapa?” 
“Oh, Akif call bukan mama. Dia cakap mama tunggu dekat restoran bawah hotel.” 
“Dah agak dah,” 
“Apa yang dah agak?” 
“Akif yang telefon. Kalau dia cakap memang tak ada noktah. Lansung tak bagi peluang dekat orang lain. No wonder lah awak tergamam.” 
Hakim ketawa kecil. Hasanah makin terkesima.
“Akif tu siapa?”
“Orang yang kenalkan awak pada saya,”
…………………………..
“Kenapa mesti kau buat aku camni?” 
“Buat apa?” 
“Kau jangan pura-pura tak tahulah. Kau memang nak hancurkan hidup aku kan?” 
“Weh, aku tak bermaksud apa-apa pun. Hakim tu…” 
“Hakim apa? Kau kalau tak nak dekat aku pun janganlah sampai jual aku dekat kaum kerabat kau.”
“Hasanah, tak ada niat pun. Sebenarnya Hakim tertarik dengan kau waktu dia nampak kau dekat sekolah waktu ambil result SPM lagi.”
Hasanah berlalu pergi ke arah meja utama restoran, meninggalkan bilik air di belakang dapur restoran.
“Hasanah, Allah aturkan segalanya cantik. Mungkin dah tiba masa awak gunakan cinta terhadap manusia mendekati cinta kepada Allah pula.”
Berhenti seketika. Menarik nafas. Tidak sanggup kelihatan sayu di hadapan ahli keluarga yang lain.
…………………….
Tempoh seminggu bercuti telah tamat. Hasanah terpaksa kembali bekerja. Seminggu bersama Hakim sepenuh masa seperti masih belum habis taaruf. Hati Hasanah mula terbuka kepada Hakim. Pasangannya itu sangat pandai membuka pintu hatinya. Mungkin kerana sudah halal, terasa lebih bersemangat menjalin kasih. 
“Sayang, terima kasih.”
“Erm?”
“Sebab awak selalu ajak saya Qiam. Waktu bujang dulu, saya malas tahu nak Qiam.”
“Kenapa malas?” 
“Balik lewat malam lah sayang. Banyak kerja dekat pejabat.Nanti tak cukup rehat.”
“Aik? Alasan.”
Hasanah sudah mengerti sekarang apa yang dikatakan oleh Akif. Bimbinglah orang untuk mencintai Allah. Tiada salahnya dikorbankan cinta, asalkan ikhlas kerana Allah. Kasih pada manusia hanya sementara, tetapi kasih pada Allah akan kekal abadi. Berkorban di jalan Allah pasti ada baiknya. Sesungguhnya Allah Maha Perancang. 
“Nurul pun nak cakap terima kasih dekat abang. Sebab sekarang bila Nurul Qiam dah ada yang teman. Biasanya suruh Allah sampaikan salam rindu dekat bakal suami Nurul. Sekarang dah ada depan mata.”
“Patutlah abang rindu Nurul sepanjang masa.”
………………..
Pagi itu Hakim menghantar Hasanah ke hospital. Hari pertama menjejakkan langkah ke tempat kerja setelah seminggu bercuti membuatkan Hasanah sedikit berat hati. Tetapi masih ramai pesakit yang memerlukan dia. Rindu pada suasana hospital, membuatkan Hasanah bergegas melangkah masuk. Terlupa untuknya meminta nombor telefon bimbit suaminya itu. Manakan tidak, selama ini hanya berkepit. Tidak pernah berpisah jadi tiada keperluan meminta nombor telefon. Buntu Hasanah, bagaimana cara untuk menghubungi Hakim untuk menjemputnya. Buntu.
Abang tunggu Nurul dekat luar. 
Pengirim, “weird”.
Hasanah terduduk sebentar. Terasa lemah. Siapa sangka mesej tazkirah yang tidak putus-putus dihantar oleh orang yang tidak dikenalinya selama ini telah menjadi suaminya. Siapa lagi yang akan memanggilnya dengan gelaran Nurul melainkan Hakim. Pernah juga Hasanah bertanya kepada insan yang dipanggil weird itu siapakah gerangan empunya badan. Tetapi mesejnya tidak terbalas.
Menuju ke kereta milik suaminya. Dihulurkan tangan untuk bersalam dengan Hakim. Kali ini senyuman tidak terukir sejelas biasa.
“Kenapa?”
“Abang yang hantar mesej tazkirah dekat Nurul selama ni?”
Hakim hanya mengangguk.
“Kenapa tak pernah cakap siapa abang dekat Nurul?”
“Sebab abang tak nak kacau Nurul. Nurul kan budak baik.”
“Terima kasih abang sebab jaga Nurul dari dulu.”
Hasanah rasa sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang sangat menyayanginya. Dirinya terasa dihargai. Perancangan Allah penuh dengan rahsia. Allah pisahkan Hasanah dengan Akif kerana Allah tahu Hakim lebih memerlukan dia. Kasih sayang Allah kepada hamba-Nya tidak pernah putus. Cuma manusia yang tidak pandai menghargai. Kebanyakan manusia tidak pernah bersyukur dengan kurniaan Allah. Yang dilihat ialah apa yang dia mahu, harus diperoleh! Pengalaman hidup Hasanah sangat manis setelah diduga oleh Allah. Dugaan itu adalah tanda kasih Allah pada hamba-Nya.

Monday, February 6, 2012

Andai Bukan Masanya

Ya Allah,
Andai masanya belum tiba,
Jangan izinkan aku untuk jatuh cinta,
Aku memohon agar Kau tunjukkan jalan,
Agar Kau tunjukkan aku tuntutun yang perlu aku lakukan,
Jauhkanlah aku daripada kemaksiatan,
Jauhkanlah aku daripada perkara yang tidak dapat memberi manfaat,
Dan jauhkan aku daripada perkara yang Engkau murkai,
Agar aku dapat menjaga diri.


Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut pada-Mu,
Jadikanlah aku yang mencintainya kerana agama yang ada padanya,
Jika dia hilangkan agama yang ada dalam dirinya,
Maka hilanglah cintaku padanya,
Sesungguhnya, cinta yang suci itu tidak buta.

Ya Allah,
Dan jika dia mencintai aku,
Biarkanlah dia mencintai aku kerana agama itu juga,
Asalkan dia tidak lebihkan cinta kepadaku melebihi cinta kepadaMu,
Supaya cinta itu bersemi di lembayung keredhaan-Mu,
Kerna dari situ lahirlah rahmah dan mawaddah dalam rumahtangga..


Ya Allah,
Jika ini bukan masanya,
Jika ini belum saatnya,
Dan jika Kau tahu kami belum bersedia,
Selamatkan kami,
Jarakkan kami,
Pisahkan kami,
Agar kami jauh dari khilaf yang merosak izzah dan iffah,
Agar kami tak mengundang murka-MU,
Agar kami dapat lebih menjaga hati,
Agar hati menjadi yang diredhai ilahi.

Ya Allah,
Andai dia bukan untuk ku,
Andai dia bukan jodohku,
Maka berilah ganti yang lebih baik buatnya,
Berikanlah dia insan yang benar benar terbaik buat kehidupannya,
Insan yang benar-benar mampu memimpinnya ke syurga-Mu,
Dan bantulah aku untuk memperbaiki diriku,
Agar aku kukuh dalam mencari cinta-Mu.

Ameen..

Saturday, February 4, 2012

Ku Rindukan Kegemilangan Ummah

Bismillahiirrahmanirrahim,
Hanya namaMu ya Allah,ku agungkan selagi kekal nyawa bersemadi dengan jasad milikMu ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Allahummasolli a'la Muhammad..
Salam 12 Rabiul Awal buat musafir-musafir blog "Soul of Syahidah".. Tarikh yang cukup indah bermakna,melakarkan seribu satu erti buat sejarah ummat Islam..Tarikh inilah,tarikh sebuah kelahiran,kelahiran sebuah cahaya,cahaya yang menerangi kegelapan,kegelapan yang suatu ketika dulu pernah menenggelamkan dunia .Hadirnya sang cahaya ini buat ummah yang sentiasa dirindui dan dicintai,kekasih yang Agung,Muhammad ya Rasulillah,Allahummasholli a'la saidina wahabibina Muhammad,shollu a'laih..


Kalian pembaca yang disayangi kerana Allah,
tiada ungkapan yang mampu ana lafazkan buat ketika ini, melainkan kata2 tahmid,takbir dan tahlil padaNya yang Esa,Allahu Akbar,Alhamdulillah Lailahaillah..Kesyukuran yang layak hanya padaNya dipatrikan di ruangan tinta ini kerana diberi nusrah olehNya,ruangan sedetik masa untuk mengotakan janji yang hampir sebulan lalu telan ana ungkapkan. MasyaAllah,dalam sedar sebenarnya agak lama ana membiarkan laman ini bersawang tanpa qalam buat tatapan pemusafir yang dihargai

Kalau ada yang masih ingat,entry terakhir ana sebelum ini,pernah menyatakan janji untuk menceritakan pengalaman menyertai XPDC dakwah tahun baru di Dataran Merdeka.(serba salah untuk mengepost entry lain selagi mana janji tidak dikotakan) .Hmm,rasanya agak lapuk untuk ana ceritakan ,maka rasanya lebih elok ana mengolah peristiwa tersebut melalui sebuah sajak,luahan dari hati mengungkapkan rasa dan perasaan...(diilhamkan seusai pulang dari xpdc tersebut tapi hanya sekarang diberi ruang untuk dikongsikan)


Atma ini berbisik dan mengalunkan irama...

Aku lahir atas dunia dengan izinMu,
Lahirku disaat Rasul dan sahabat telah tiada,
Para tabi' dan tabi'in yang telah meninggalkanku.
Zamanku adalah zaman pemerintahan islam yang berkuasa,
dan aku..
terbit ditengah masyarakat islam,
Namun Islam itu seqadar nama
tiada lagi dalam hati dan hidup mereka.

Namun aku bersyukur,
kerana masih ada lagi yang mahu melihat,
Islam bersinar semula..

Aku kuatkan azam untuk menyertai mereka,
Cuba sedaya upaya menggerakkan generasiku yang telah lumpuh ini,
Generasi seusiaku yang sakit,
Alpa dengan hiburan yang mengasyikkn,leka memuaskan nafsu,
sibuk dengan cinta yang penuh noda..

Aku takut aku lemah untuk membimbing mereka,
kerna aku juga tak sempurna.
Namun aku sedar bahawa tugas besar ini adalah wajib,
dan tidak memerlukan insan yang sempurna,
kerana tiada manusia yang terlepas dari dosa..

Dan..tugasku adalah berusaha,
gagal jatuh,dicela tidak diterima,itu perkara biasa.
Aku terus berdoa,agar ditetapkan hati,
bukan nilaian harta yang aku cari,
bukan juga kerana nama ingin dikenal sebagai insan yang baik dan mulia.
Cukuplah RedhaMu sebagai harga..

Ya Ilahi..
bantulah hambaMu ini,
sedarkanlah semula generasiku ya Rabbi,
bangunkanlah semula ummat ini,
Aku yakin Islam pasti kembali,
dan aku..
takkan berhenti...


"Katakanlah inilah jalanku,aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah dengan yakin,MAha Suci Allah dan aku tidak termasuk dorang-orang yang musyrik"
(Surah Yusuf :108)






Wednesday, January 4, 2012

Where Are Us in 2012??

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t sahabat-sahabat blogger yg disayangi kerana Allah,moga dalam qaseh,rahmat dan redhaNya..selawat dan salam kepada rasul junjungan mulia suluruh ummat,kekasih Allah..Allahummasholli a'la saidina Muhammad wa'ala alihi wasohbihi wasallam...

Hmm,tanpa sedar hampir dua minggu laman "Soul of Syahidah" ini bersawang tanpa tinta dan qalam buat tatapan para pemusafirnya..Bukan disengajakan,tetapi tuntutan taklifan yang lebih aula memanggil-manggil untuk lebih diberi perhatian dan disempurnakan. Namun bersyukur sekali rasanya dikurniakan kesempatan walau sesaat cuma untuk mencurahkan sedikit coretan ketika ini,Allahmdulillahi rabbil a'lamin...


Dan sedar tak sedar juga,dah empat hari angka 2011 melabuhkan tirai dan keramat 2012 mengganti takhta sejarah tahun masihi..Selautan muhasabah dan segunung renungan adalah yang selayaknya tatkala melangkah ke tahun baru,apakah kesudahan yang kita tinggalkan pada penghujung 2011?berpuas hatikah kita dengan penghidupan kita sepanjang 2011?apakah semua azam tertunai dan terlaksana?Bagaimana pula dengan mutabaah a'mal tahun lalu?dan pastinya apakah khabarnya iman bilamana mengetuk pintu 2012 ini? Persoalan ini diterjah bukan bermakna kesudahan 2011 ana berlalu dengan baik,bukan bermakna azam yag terpatri semuanya terealisasi,bukan juga mutabaah a'mal ditahap membanggakan..tetapi,tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar untuk mengajak  bersama-sama kita koreksi diri dan hayati peribadi..maka,ayuh bertafakur dan berfikir sejenak..imbau kembara 2011 yang lepas,bagaimana,macammana,bila,dimana,apakah dan semacam jenis persoalan kita timbulkan..maka,tepuk dada bertanya dan diri sendiri menjawab..

Teruskan bermuhasabah,dan ana tinggalkannya disitu..


Where am I in 2012?

Inilah yang nak diceritakannya..


Yea,ana disini sehari sebelum tahun baru dan pada malam tahun baru,baru-baru ini (brapa bnyak baru daa).
Dimaklumkan bahawa lebih 7 program ilmiah berlansung di sekitar kota Kuala Lumpur menjelangnya tahun baru masihi pada kali ini..Antaranya yang paling mendapat sambutan hangat kira-kira lebih 70ribu orang yang hadir ke program countdown 2012 bertemakan Jauhi Zina bersama Ustaz Azhar Idrus di Shah Alam,tidak kurangnya program 1000 jiwa 1 hati di Masjid negara(ada kump.nasyid shoutul harokah~bestnye),Program Indahnya Islam di Masjid As-Syakirin KLCC(ada Ustazah Fatimah Syarha~suke sgt dgr ceramah dan baca novel bliau),dan banyak lagi..Sungguh membanggakan bilamana melihat banyak program-program berbentuk islamik dan mengisi jiwa dilaksanakan bersempena tahun baru ini.Nampaknya masyarakat mulai sedar dan bangkit membuka mata,betapa pentingnya program-program ilmu dan kerohanian dijalankan.

Dan ana?Alhamdulillah sempat bersama sahabat-sahabat dan adik-adik usrah memilih untuk menyertai program Karnival Dakwah Indahnya Islam @ Masjd Jamek bandaraya Kuala Lumpur...Program yang amat menarik dan sangat-sangat berbeza dari program-program lain ana kira..

Jom tengok gambaq.... =)

we're here!!!

p.cik yang misteri...

madu dari timur tengah

xpdc bermula...... i love solat

tv al-hijrah membuat liputan

sedang menjalankan misi

i'm watch basking band??

sembang-sembang anak muda

dan malamnya...

misi utama kami bermula..disini!!!

Apa program ni sebenarnya?benarkah di dataran merdeka?tempat konsert para artis berjoget menari..apa yang ana buat disitu?mesti ada yang tertanya-tanya kan...Dan mengapa  Masjid Jamek dan Dataran Merdeka menjadi lokasi pilihan ana menyambut tahun baru masihi ini?walhal majoriti sahabat-sahabat lain berduyun-duyun ke ceramah Ustaz Azhar Idrus bersama Zizan Raja Lawak di Dataran Shah Alam?

InsyaAllah akan ana ceritakan pada entry akan datang,memandangkan waktu dan taklifan seakan teramat mencemburui dan memanggil-manggil..Tapi serius,sambutan tahun baru 2012 di dataran merdeka paling menarik dan sangat-sangat berbeza dari yang lain..

Sekian dari ana untuk ketika ini,insyaAllah jika tiada aral dan diberi nusrah waktu dan peluang akan ana ceritakan pengalaman "XPDC DAKWAH" di kotaraya KL,yang penuh suka duka,kesedaran,kealpaan,kegembiraan keseronokan yang menggamit perasaan dan sanubari,pengalaman yang sangat beerti dan penuh kesedaran..Biiznillah

Wallahuta'ala a'lam..Assalamualaikum 

Thursday, December 29, 2011

Bila Hati Diguris

Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya.
Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.
Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, melakukan perkara nista,menceroboh kesangsian manusia,menujah khilaf dan dosa serta mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.
Aku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Aku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.

Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.
Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia.
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai'e.

Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai'e.
Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada-Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.
Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.
Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya."