Aku, dia dan mereka.

Saturday, September 27, 2014

Perubahan Itu Satu Keinginan.

Assalamualaikum wbt..
Lama rasanya tidak mencorak sesuatu pada kanvas blog ini.
Acapkali ada yang datang bertanya dan meminta pandangan tentang 'perubahan'. Perubahan ke arah lebih baik, menjadi ummat Muhammad dan hamba yang terbaik buat Al-Khaliq.

Sedikit coretan ringkas dari saya,
yang juga masih mencari dan pasti akan terus mencari titik perubahan.


Perubahan itu memang payah pada awalnya. Diri ini juga sedang bertatih meniti perubahan itu. Berjuanglah wahai saudara seislamku, perjuangan itu memang pahit namun Dia menjanjikan Syurga yang manis. Andai ada detik hitam semalam, tinggalkan saja di belakang. Jangan jadikan ia sebagai sesuatu yang melemahkan kita sebaliknya jadikan ianya sebagai penguat semangat kita untuk terus maju ke depan. Buang semua karat jahiliyah yang masih ada dalam diri. Berniatlah, kerana Allah akan gagahi diri untuk meneruskan sisa hidup ini. Biar ditebus segala dosa selagi jasad bernyawa.

Perubahan itu pula susah untuk istiqamah. Ini kerana manusia itu mudah lalai. Perlu sentiasa ditazkirah setiap hari. Perlu sentiasa saling mengingati. Ini kerana jika tidak ada yang mengingatkan, manusia itu akan mudah hanyut dalam arus kegelapan. Jangan biarkan diri kita masih terumbang-ambing dengan hiburan semata-mata. Ayuh bangkitlah wahai manusia!

Carilah ilmu-ilmu positif yang dapat mendekatkan diri kepada Allah. Tidak memadai hanya mendengar satu ceramah dan memegang satu buku sahaja untuk melakukan anjakan paradigma yang berterusan. Hargai setiap detik yang ada menimba ilmu Allah kerana ilmu Allah itu sangat luas.

Bukan tidak boleh berhibur tetapi ada batasannya. Dunia penuh godaan dan dugaan. Iman sahajalah penyelamat sekeping hati milik diri. Oleh itu binalah kekuatan itu dari sekarang. Usah ditunggu wahai manusia. Pastikan hati sentiasa hidup dengan petunjukNya. Alangkah bahagianya hidup ini..percayalah 

Berubahlah sementara masih ada keinginan itu. Berubahlah sementara masih ada hidayah Allah. Kerana orang yang tidak mendapat hidayah itu, akan kekal berada dalam kegelapan jika Allah mengkehendakinya.

(Kenangan : Menjadi ahli panel bersama selebriti Catriona Ross dalam seminar 'Hijrah Bidadari' anjuran NGO Indahnya Berpurdah di Masjid Asy-Syakirin KLCC)

Niqabis Story ^^,


Tersenyum sendirian apabila teringatkan satu peristiwa sewaktu makan malam bersama keluarga di sebuah kedai makan di Wakaf Che Yeh. Ada salah seorang pekerja kedai makan disitu begitu khusyu' melihat cara saya makan. Sehinggakan usai melaksanakan kerjanya, dia lantas menarik salah sebuah kerusi dan duduk berhadapan meja kami semata-mata untuk menyaksikan cara saya makan. Hihi.. malu pun ada rasanya apabila dilihat sebegitu rupa. Seawalnya saya tidak perasan sehinggalah adik saya memberitahu saya "tengok dia tu dari tadi tengok kak ngah, bila kak ngah makan dia gelak."
Saya turut tergelak di sebalik cebisan kain kecil itu.
Acap kali diajukan soalan oleh sahabat-sahabat, baik di alam nyata mahupun di alam maya bagaimana cara saya makan di hadapan orang ramai dengan pakaian sebegini?
Jawapan saya. "Makan macam orang ramai makan, ikut mulut.  "
Pernah satu ketika dalam satu program, sedang waktu rehat makan petang, mungkin kelihatan saya khusyu' menyentuh skrin telefon, tiba-tiba ada seorang sahabat datang menyapa.
"Syu tak makan?"
Saya pun lantas mengeluarkan tangan disebalik niqab yang memegang separuh karipap. Separuhnya lagi selamat dikunyah dan ditelan. Hampir semua yang ada disitu tergelak.
"Laaa tengah makan ke? Nampak khusyu' sangat dengan telefon."
Benar, seawal memakai niqab, sememangnya agak sukar untuk saya makan dengan secebis kain di wajah. Apa yang saya lakukan, cari tempat yang tersorok dari pandangan ramai, selak sedikit niqab dan makan. Kadang-kadang ada sahabat yang prihatin sudi menjadi penghadang sewaktu saya makan. Mereka sangat memahami.
Alah bisa, tegal biasa. Lama kelamaan rasa kekok itu semakin hilang dan saya dengan senang boleh makan dengan selesa beserta kain diwajah tanpa mengotorkan kain niqab mahupun menumpahkan makanan.
Namun apa yang ingin saya perkatakan, buat niqabis, ikutilah mana yang menjadi keselesaan buat kamu, mengikut apa yang di'itiqadkan oleh kamu. Buat yang bukan niqabis, janganlah kamu terlalu arif menjadi juri pada seseorang niqabis tatkala ada saat mereka menanggalkan 'si kecil itu'. Adalah sebabnya.
Bersangka baik itu lebih baik.
Allah Maha Tahu ^^,