Aku, dia dan mereka.

Sunday, December 23, 2012

Nilai Sekeping Kain Kecil Itu


Harganya tidak mahal. Saiznya juga tidak besar.

Tidak semahal baju, tidak sebesar jubah.

Ia cuma sekeping kain yang digunakan untuk menutup wajah, kecuali sepasang mata.

Namun ramai orang memandang ia sekadar sekeping kain yang murah. Ramai juga orang menilai, ia sekadar penutup kepada wajah supaya ‘tidak dikenali’.

Hakikatnya, sekeping kain itu cukup mahal. Bukan pada harganya, tapi pada nilainya yang tersendiri. Nilai yang tersurat, juga nilai yang tersirat.

Bagaikan ada suatu tarikan tersendiri kepada wanita yang mengenakan sekeping kain itu di wajah mereka. Bukan tarikan fitnah manusia, sebaliknya tarikan kepada rahmat Allah sehingga menjadikan mereka mulia.

Tidak mesti ustazah, tidak mesti guru agama. Mulia itu Allah beri kepada mereka yang mengenakannya atas nama Taqwa. Itu yang menjadikan mereka tinggi di mata manusia.

Sudah tentu, bukanlah ketinggian di mata manusia itu suatu yang dicita-cita, tetapi itulah kurniaan Allah kepada hamba-hamba yang dipilih-Nya. Allah memuliakan siapa yang Dia mahu, dan menghinakan siapa yang Dia mahu.

Muslimat yang memilih untuk menutup wajah mereka agar dirinya lebih terpelihara dari fitnah dunia, akan dikurniakan Allah akan suatu nikmat kehidupan dunia yang tidak dirasai oleh sesiapa yang tidak memakainya.

” Saya rasa lebih tenang dan selesa “

” Alhamdulillah..rasa terjaga apabila bergaul dengan manusia “

Selesa, tenang dan bahagia itu letaknya di HATI.

Manusia yang memilih untuk mendekati Allah dengan wasilah-wasilah kebaikan, umpama mereka menempah kebahagiaan khusus dengan Allah. Dan Allah berikan kebahagiaan itu khusus ke dalam hati-hati mereka.

Nampak kolot, tapi hati damai.

Nampak ‘mudah dibuli’ tetapi mendapat penuh penghormatan.

Nampak tak menarik, tapi menarik rahmat dari Tuhan.

BICARA NILAI

Benarlah, nilaian manusia tidak sama dengan nilaian Tuhan.

Sekeping kain itu hanya tinggal sekeping kain yang tiada nilai, kiranya dipakai bukan kerana Tuhan.

Dipakai kerana ikut-ikutan, atau kerana mahukan penghormatan.

Dipakai kerana mahu menjadi ustazah jadi-jadian, atau semata-mata menarik perhatian jejaka idaman.

Allah menilai hati, bukan sekeping kain.

Tetapi sekeping kain yang dipakai kerana Tuhan, impaknya sungguh agung melangkaui nilaian insan.

Justeru, keagungan dan nilai yang tinggi itu jangan dipersiakan.

” Saya nak tengok wajah awak, boleh? “

Permintaan seorang lelaki.

Beradab, jika betul kena caranya. Tetapi biadab, jika tidak kena pada caranya.

Bagaimana seorang muslimat yang begitu menjaga penampilan dirinya dan menyembunyikan wajahnya dari tatapan lelaki ajnabi, akan menyingkap sekeping kain yang sekian lama menutup wajahnya untuk ditatap oleh seorang lelaki?

Berat.

Perasaan yang tidak dirasai oleh muslimat yang tidak mengenakan sekeping kain di wajah mereka dalam kehidupan sehari-hari.

Jika memakainya hanya kerana manusia atau untuk menarik minat sang jejaka, apa masalahnya, dengan mudah saja boleh dibuka. Disingkap, dilihat dan ditatap.

Tetapi bergegar singgahsana kehormatan seorang wanita yang memakainya kerana Allah jika mudah-mudah membiarkan wajahnya ditatap oleh sang teruna.

Jadi bagaimana?

Pemuda : Bukankah untuk melamar dan menjadikan isteri itu, harus ditatap wajahnya terlebih dahulu? Nah sekarang, mengapa berdegil untuk menyingkap sekeping kain itu?

Hawa : Ah, engkau tidak akan faham betapa besar nilainya sekeping kain itu kepada aku. Sekeping kain yang telah menjaga perilaku dan tutur kataku saban waktu. Sekeping kain yang menjadikan aku lebih jujur dengan diriku dan lebih telus dengan Tuhanku.

Dilema.

Kedua-duanya ada hak dan hak tersebut perlu ditunaikan.

Islam terbukti bijak meraikan kedua-dua hak tersebut. Baik di pihak mana pun, mereka tidak akan teraniaya dengan keadilan Islam.

Wahai pemuda, jika benar dirimu berhasrat melamar dan memiliknya, mampirlah bertemu kedua orang tua yang telah mendidik dan membesarkannya. Tataplah wajahnya sekira-kira mendatangkan keinginan kepadamu untuk menikahinya, namun bukanlah menatap itu tika kamu dan dia berdua-dua.

Wahai gadis yang suci, maruahmu tetap terpelihara. Singkaplah sekeping kain itu di hadapan si pemuda, bertemankan kedua-dua ibu dan bapa. Mereka pelindungmu di dunia, selagi dirimu belum bergelar isteri kepada mana-mana pemuda. Sudah tentu, tidak ada tempat yang lebih layak untukmu menyingkap sekeping kain tersebut melainkan di hadapan ibu dan bapa.

FITNAH

” Aku melihat bagaimana lemahnya iman mereka. Sekejap menutup wajah, sekejap membukanya untuk ditatap sesiapa sahaja. Ada juga yang memakainya sebelum kahwin, tetapi selepas kahwin membukanya pula. Ada yang pakai di luar negara, tetapi tidak pula selepas pulang ke Malaysia “

Bersangka baiklah.

Itukan suatu amalan untuk melatih jiwa dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Bukanlah suatu kewajipan yang mesti untuk semua kaum hawa.

Sekeping kain itu juga adakala bertujuan mengelak fitnah dari mata-mata sang jejaka. Apatah lagi jika berada dalam suasana yang menggalak dan menyuburkan fitnah tersebut.

Tetapi tika berada di sisi suaminya, ia berbeza.

Tika berada di sisi bapanya, ia berbeza.

Tika berada dalam khalayak ramai tanpa ditemani suami atau bapa, ia juga berbeza.

Apa yang pasti, ia tidak menghilangkan nilai agung pada sekeping kain yang menutup muka.

Nilai itu tetap terpelihara, meskipun dengan cara yang berbeza.

Justeru kenalilah terlebih dahulu sekeping kain tersebut sebelum mengenakannya di wajahmu yang mulia. Jangan sampai kain tersebut tidak lekang di muka namun di hatimu cuma menganggapnya sebagai sekeping kain biasa.

Memakainya, biarlah bernilai ibadah.

Memakainya, biarlah bernilai solehah.

Moga-moga mujahadahmu di dunia meraih Syurga yang tinggi di akhirat sana. Ia pasti – insyaAllah – kiranya dirimu benar-benar telus dengan Yang Maha Esa.

Sekeping kain, seribu makna.

Moga kamu mengerti akan nilainya.

kenangan Daurah IPT'12@Pondok Pasir Tumboh

Monday, December 17, 2012

Peritnya Menahan Cinta



“Kekadang diri ini diajak kawan untuk berbicara mengenai cinta,

Bukan cinta pada-Nya tapi cinta manusia,
Inilah Adam yang perasan tak kena masa,
Tidak sedar antara sifat Hawa,
Tak kira yang ber‘title’ muslimah atau biasa,

Kadangkala terlajak juga dari garisan agama,

Pandang dan melayan kita,
Berkongsi mesej agama,
Ya selamat tidak pernah berjumpa,
Itu hanya di pandangan mata,
Tapi hakikatnya berkhalwat dalam alam maya,
Inilah perangkap halus syaitan durjana,

Bukan ingin berkata apa,

Cuma,
Terkadang rasa sia-sia,
Daripada berbicara mengenai cinta,
Teringat banyak perkara dalam kependekan masa,
Besar kecil dosa,
Dosa kini dan lama,
Yang belum pasti mendapat keampunan-Nya,
Bertambahnya pergolakan ummah,
Bencana alam yang merata-rata,
Tanda memendeknya usia dunia,
Yang menuntut perhatian kita,
Supaya banyakkan istighfar dan bersihkan fikrah,
Anggaplah soal cinta seperti garam gula,
Jangan terlebih atau terkurang dalam merencah,
Mata, telinga dan hati sebagai deria yang menjaga,
Menjaga fitrah daripada fitnah,
Agar hidup menjadi mulia,
Menjadilah seperti insan pilihan-Nya,

Bak Imam Nawawi yang syahid mengejar ilmu sehingga tidak sempat bernikah,

Dan al-Banna yang sibuk bekerja dalam dakwah,
Susah sedikit banyak bahagia,
Inilah ujian sebagai pemuda,
Inilah peritnya menahan rasa cinta.”

“…Adapun orang beriman sangat CINTA kepada Allah…” (Surah

Al-Baqarah 2:165)
...................................
study3!!
exam coming two weeks,sempat lg bermadah
doakan saya ya teman2 =)

Thursday, December 6, 2012

Tinta Indah Penguat Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim.....
Assalamualaikum wbt
buat teman-teman yang setia mengunjungi blog ana..lama sudah tidak meninggalkan jejak..Alhamdulillah jiwa-jiwa kita masih segar menerima tarbiyah dariNya,syukur kerana kita ummah terpilih menerima cebisan ujian dariNya..ujian adalah nikmat,nikmat bagi insan yang berfikir..
Selawat dan salam kepada kekasih agung Al-Khaliq,ujian yang kita hadapi tidaklah seberapa andai dibandingkan dengan ujian Rasulullah dan para sahabat memperjuangkan kalimatul a'la Lailahaillallah..
Sekalung doa buat mujahidin di bumi Gaza Palestin,
bukan ujian yang menimpa mereka,namun sebuah nikmat tarbiyah yang menjanjikan al-jannah..moga mereka terus bertabah mengejar janji Ilahi..
Allahu akbar..


Tercoret tinta ini memadahkan rahsia qalbu. 

Hati...

tidak siapa tahu. Tidak siapa mengerti, disimpan juga tidak membawa makna. Kepada yang Haq ia berbicara. Melagukan bicara yang terkadang sumbang lakunya. Bicara pada manusia juga tidak mengurang resah.



HIDUP... 
ini adalah suatu perjalanan. Penuh erti, penuh ranjau, penuh duri... Namun bukan sakit tertusuk duri itu yang penting tetapi nikmatnya apabila duri itu tercabut dari daging. Bagaimana ia dikeluarkan juga betapa ianya penting. Sakit, meraung... tetapi jangan berhenti mengeluarkannya. Kelak menjadi bisa yang tidak terawat. Dan setelah itu bersyukurlah dengan segala kehendakNya. Sakit tertusuk duri itu mungkin sahaja penyucian kifarah yang dilakukan. Mungkin juga mehnah dari Yang Esa untuk mendidik hati bertabah serta mensyukuri setiap kejadian tanpa keluhan.
UJIAN... 
 Jika ujian di bangku sekolah dapat jua dihafal formula-formula untuk melaluinya. Namun yang bernama ujian hidup adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang. Datangnya dengan kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan dengan menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah. Memanusiakan seorang manusia!
CINTA...
 Manusia dihidupkan atas cinta. Cinta itu meluas. Cinta kepada Allah, kepada Rasul, kepada ibu bapa, kepada suami, kepada isteri, kepada sahabat. Malangnya cinta yang pernah dijumpai telah disempitkan dan tersepit oleh kurangnya faqih akan hakikat cinta. Cinta itu setia, jujur, kasih sayang, rindu, doa kebahagiaan. Benihlah cinta yang meniti atas dasar iman. Akan redhalah Allah pada cinta itu. Namun sayang seribu kali sayang, cinta itu tercalar keluhurannya. Terselit pengkhianatan, ketidakjujuran... dan akhirnya perpisahan... Yang meninggalkan mencari pengganti. Segala janji terlupus begitu sahaja. Ingatlah bahawa roda kehidupan ini sentiasa berputar. Hari ini kita mengkhianati. Esok mungkin kita dikhianati. Hari ini kita mencipta luka di hati yang lain, mungkin esok hati kita pula yang terluka.
SABAR...
 Bukan mudah untuk memahami erti sabar apatah lagi untuk melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita sahajalah yang derita. Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita. Sedih itu juga milik kita, sehingga kita terlupa untuk mensyukuri nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah yang begitu melimpah ruah jarang disyukuri tetapi bila didatangkan ujian, melaralah sekeping hati. Itu sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam insani. 
REDHA...
 Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar kita untuk bangkit kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana untuk bangun?? Ya... hanya kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka yang bangun itu bukanlah diri yang lemah. Yang bangun itu adalah jiwa yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang dada biarpun tangisan menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu tidak apa-apa malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan segala urusan pada Dia.

SYUKUR...

 Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya untuk Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. hari ini yang dilalui, nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya berkejaran lah mencari yang terbaik itu dengan segala usaha dan bermacam cara yang diredhaiNya."Fastabiqul khairat" pesanNya. Jika berlari itu kemudiannya jatuh maka bangkitlah kembali. Tidak mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur bantuan kerana ada 'tangan' yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan kepada Allah SWT. Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari wangian Jannah.


Doakan ada jalan kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.
Yang didamba hanya redhoNya..
Ilahi <3

Mendamba RedhaNya..




Kamu..
maafkanku kerana kurang memberi perhatian padamu,
aku hanya memerhatikanmu dari jauh ,
maafkanku kerana jarang mengambil tahu tentangmu ,
mungkin hati ini sudah beku,
mungkin jua hati ini semakin jauh ..

Kamu yang pernah menyapa..
Bagiku mengenalimu adalah antara memoir terindah,
Allah telah temukan kita ,
semakin aku menidakkan kehadiranmu ,
semakin ruh,jasad dan bayangmu hadir dalam hidupku..
Kamu yang jauh..
Biarlah diri ini begini ,
Allah lebih tahu ,
apa sahaja yg akan terjadi ,
Hanya Allah yg tahu perasaan ini ,
Aku tahu..
mungkin diri ini tidak membawa erti padamu,
Namun,
 Doaku dirimu akan bahagia dan terus bahagia..


Kamu insan itu,
Maafkanku sekali lagi ,
Maafkanku kerana menjauhkan diri darimu,
Semoga kamu dan aku menemui cinta sejati ,

Cinta yg menuju ke jalan Allah ,
Cinta kekal Abadi ,
Cinta pada Yg Maha Esa
Kerna
RedhaNya yang kita damba..