copy from : darahmerdeka.wordpress.com
“Takkan tak boleh bercinta sebelum kahwin, abang izat?”, terpancar dari monitor di sebuah cyber cafĂ© di Perai.
“Cinta Islamic”, tambahnya lagi. Tersenyum saya dibuatnya.
“Ada ke cinta Islamic?”, taip saya pantas. Disusuli pula dengansmiley berwarna kuning.
Mungkin ada di antara kita yang tertanya-tanya sebegitu rupa. Tambahan pula bagi para pemuda-pemudi yang menyertai gerakan Islam di dalam atau luar kampus yang sudah mencapai umur matang untuk berkahwin. Namun ada juga yang masih muda tetapi sudah berkeinginan untuk berkeluarga, tempias daripada sahabat di sekelilingnya yang sudahpun berumahtangga.
Timbul pula persoalan ‘cinta pra-perkahwinan’ atau ‘cinta pasca-perkahwinan’. Yang mana satu pilihan terbaik disamping tidak menggadaikan gerak kerja dakwah yang selama ini sudah sebati dalam darah daging? Maka wujudlah satu istilah yang popular tetapi sulit dalam kebanyakan jemaah belia Islam iaitu Cinta Islamic. Wujudkah?
Cinta dan Islam
Rata-rata kita diajar sejak kecil lagi untuk menjaga diri supaya tidak terjebak dengan gejala sosial atau pergaulan bebas sesama bukan muhrim. Adat ketimuran dan didikan pemahaman Islam yang kukuh sejak kecil menjadi bekalan utama dalam mengharungi hidup yang kian mencabar dari semasa ke semasa; terutama di peringkat remaja. Remaja yang dapat bertahan sambil kuat berpegang dengan pemahaman tadi akan melepasi ujian ini dengan mudah, tetapi remaja yang mudah hanyut dibawa arus duniawi akan tenggelam ke dalam lembah yang hina.
Ijat, jom main kahwin-kahwin,” teringat kata-kata kawan perempuan saya sewaktu kanak-kanak dahulu.
Seronok tapi hanyalah fantasi perasaan.
Secara fitrahnya, manusia memang memerlukan pasangan berlainan jantina sebagai pelengkap perasaan cinta dan kestabilan emosi. Ini sudah terbukti sejak kita masih kecil lagi. Namun pada masa itu, perasaan malu dan ego masih belum menebal dalam diri manusia. Maka ‘cinta’ ketika itu hanyalah luahan secara luar sedar tetapi masih terbit dari perasaan fitrah manusia itu sendiri.
Apabila usia semakin meningkat, manusia akan mula mematangkan pemikiran melalui ilmu dan persekitaran yang dialaminya. Cinta kanak-kanak tadi mula bertukar rupa menjadi cinta yang lebih serius; cinta nafsu. Di peringkat usia ini, manusia baru mencapai akil baligh dan masih muda dalam membezakan haq dan batil terutama dalam bidang pemahaman terhadap Islam. Saya yakin tidak ada cinta di peringkat ini yang benar-benar suci dan bertujuan untuk berumahtangga.
Cinta dalam Islam sangat sinonim dengan cinta kepada Allah s.w.t. yang menjadi CINTA teragung dan terbesar berbanding cinta-cinta yang lain. Pemahaman masyarakat umumnya kepada istilah cinta sudah lari daripada maknanya yang asal. Oleh itu, apabila wujud sebuah percintaan dalam jemaah, ramai yang tersungkur dalam gerak kerja dakwah. Bukan salah cinta, tetapi pecinta yang menyalahgunakan cinta. Terlalu terikut-ikut dengan trend cinta masa kini hingga menyeleweng faham terhadap CINTA.
Mulut Kata Benci, Hati Kata Sudi
Konflik paling rumit dalam cinta, mengikut pemahaman saya ialah cinta dalam jemaah. Ini kerana percintaan ini kadang-kala dikategorikan sebagai ‘halal dengan bersyarat’ oleh sesetengah jemaah, malah ada juga yang melabelkan sebagai ‘haram tanpa soal bicara’ oleh jemaah yang lain. Persoalan-persoalan ini wujud kerana norma jemaah itu sendiri yang membawa kefahaman Islam sebenar dan persepsi masyarakat terhadap jemaah tersebut jika ada di antara penggerak-penggerak jemaah yang bercinta sesama mereka.
Maka, ada para ahli jemaah yang terpaksa menggadaikan perasaan demi menjaga kemaslahatan (kebaikan) dalam jemaah. Namun, dalam hatinya berkobar-kobar perasaan tersebut sehingga kadang-kala gerak kerja dakwah sedikit terbantut gara-gara cinta Islamic tadi.
Bagi ahli jemaah yang tidak terjebak dalam cinta sebegini, semestinya mereka memandang serong kepada pecinta dalam jemaah tadi. Konflik ini jika tidak dibendung akan menjadi kanser dalam gerak kerja dakwah. Masalah pecinta dalam jemaah tadi mesti difahami oleh jemaah itu sendiri. Bak kata Melayu, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Persoalan yang besar timbul di sini. Adakah cinta tersebut tidak patut dihalang oleh jemaah? Adakah dengan membenarkan cinta dalam jemaah akan menguatkan lagi gerak kerja dakwah? Dan adakah cinta Islamic ini adalah hanya cinta sesama ahli jemaah atau boleh juga cinta ahli jemaah dengan orang yang bukan jemaah?
Perlunya bercinta?
Fitrah manusia itu perlu disayangi dan menyayangi oleh seseorang sama ada yang mempunyai pertalian darah atau tidak. Maka tidak hairanlah jika penggerak jemaah kadang-kala terluah perasaan kepada orang yang disukainya. Ada yang menggunakan orang tengah sebagai perantara bagi mengelakkan fitnah, ada juga yang luah secara senyap-senyap bagi menjaga nama baik sendiri dan jemaah yang disertai. Situasi ini berlaku dalam sedar ataupun tidak dalam kebanyakan jemaah di dalam kampus atau mana-mana institusi pendidikan. Adakah ini satu masalah besar bagi jemaah?
Suasana sosial jemaah yang terjaga, didikan keilmuan melalui usrah dan sebagainya yang matang, tahap pemikiran yang lebih berkembang dari semasa ke semasa, sedikit sebanyak menguatkan perasaan cinta tadi dalam diri penggerak jemaah. Tidak hairanlah jika terdapat beberapa ahli jemaah yang tanpa segan silu meluahkan perasaan pada orang yang dicintai. Cuma cara atau tujuan cinta tersebut masih diragui dan perlu kepada perbincangan yang lebih matang dan adil.
Harus ditekankan dengan jelas bahawa gerak kerja dakwah dalam jemaah menjadi keutamaan kepada setiap penggerak jemaah. Sebarang perkara yang boleh mengganggu-gugat kerja-kerja dakwah seharusnya dielakkan dan dijauhi dengan serta-merta. Tiada pekerjaan yang lebih utama bagi seseorang muslim daripada menegakkan kebenaran dan meruntuhkan kemungkaran serta beriman kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar iman.
Boleh bercinta dalam jemaah
Saya mungkin telah membuat satu kesimpulan yang agak kontroversi bagi jemaah pemuda Islam; “boleh bercinta dalam jemaah”. Namun ini bukan kenyataan yang harus disorak gembira atau dikutuk hina dengan penuh emosi. Perkara utama yang saya sampingkan di sini adalah syarat-syarat UTAMA SEBELUM bercinta dalam jemaah:
· Pembacaan yang berulang (sekurang-kurangnya 5 kali) dengan kefahaman yang sahih atas buku-buku ini:- The Meaning and Experience of Happiness in Islam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, The Nature of Man and The Psychology of the Human Soul oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas, Pendidikan Anak-anak oleh Abdullah Nasih ‘Ulwan, Falsafah Hidup oleh HAMKA, dan Angkatan Baru oleh HAMKA.
· Ibubapa harus tahu hubungan cinta ini secara lengkap; dengan siapa ingin bercinta, bagaimana boleh berkenalan, kenapa terpikat dengan si dia, dan benarkah si dia pasangan hidup yang sesuai?
· Percintaan ini perlu dengan persetujuan Presiden/Yang Di Pertua/Amir jemaah masing-masing melalui perbincangan tertutup yang matang dan adil.
· Sama ada bercinta dengan orang jemaah atau tidak, perkara utamanya ialah adakah percintaan dengan orang tersebut boleh memberi satu titik perubahan (turning point) kepada gerak kerja dakwah agar lebih berkualiti dan berkesan tanpa menggadaikan ciri-ciri Islam dalam diri dan jemaah?
Tidak wujud Cinta Islamic
Hakikatnya, tidak wujud langsung Cinta Islamic. Namun, mengapa saya membenarkan cinta dalam jemaah?
Apabila kita mewujudkan satu juzuk dalam Islam yang membolehkan percintaan sebegini dengan nama Cinta Islamic, maka kita seolah-olah secara besar-besaran membenarkan para ahli jemaah untuk bercinta dengan sewenang-wenangnya. Ini seharusnya dilihat daripada sudut natijah istilah tersebut kepada gerak kerja dakwah jemaah pemuda Islam.
Tetapi cinta yang saya bicarakan di atas adalah ‘cinta dari perspektif Islam dalam konteks jemaah belia di Malaysia’. Cinta ini boleh ‘dibenarkan’ atau ‘dihalang’ mengikut syarat-syarat tertentu, bergantung kepada keadaan pecinta dalam jemaah, iklim jemaah yang disertai, tahap pemikiran ahli jemaah yang terlibat, niat dan tujuan percintaan tersebut, dan kesan percintaan ini kepada diri serta jemaah yang terbabit.
Apabila terlalu banyak persoalan cinta dibincangkan, saya ingin mengemukakan satu persoalan di sebalik CINTA. Adakah perkahwinan adalah hasil daripada cinta?