Aku, dia dan mereka.

Sunday, October 28, 2012

Assingment : Pengalaman Berdakwah

Assalamualaikum.salam kasih dan sayang...

Rindu bertaut cinta berbuah..lama sudah tidak mencoretkan sesuatu dilaman sesawang penuh cereka ini,memang benar-benar dah bersawang rasanya..Dek kerana kesibukakan yang menghambat diri. 
Alhamdulillah sudah lebih 3 bulan ana bergelar mahasiswi tahun pertama Universiti Malaya. Menjadi pelajar universiti begitu banyak cabaran dan dugaannya.

Tidak sempat rasanya untuk bercerita dan menukilkan qalam yang panjang kali ini,cuma ingin  berkongsi tentang assingment pertama yang telah ana submit. Sebagai pelajar Sarjana Muda Usuluddin-Dakwah dan Pembangunan Insan kursus teras jabatan, Dakwah dan Masyarakat Majmuk, kami ditugaskan menyelesaikan satu tugasan yang diberikan oleh pensyarah..tajuknya! Pengalaman sebagai seorang Da'ie.

Disini ana kongsikan assingment yang telah anasubmit beberapa minggu yang lalu...

SECEBIS TENTANG SERIKANDI
Bismillahirrahmanirrahim......
Al-kisah...
            Tatkala mentari makin meninggi menyumbangkan vitamin D pada seluruh makhluk dimuka bumi Ilahi,tepat jam berdetik 9.20 pagi tanggal 21 Ogos 1992 bersamaan 21 Safar 1413 Hijrah waktu Malaysia,kenyaringan tangisan memecah kekalutan seluruh warga Hospital Daerah Machang letaknya di negeri Serambi Mekah,Kelantan Darul Naim.Disaat itulah lahirnya seorang serikandi comel mula mengenal dunia. Pasangan bahagia En.Abdul Halim b Ali dan Puan Che Azah binti Yakob tersenyum bangga menatap anakanda tercinta setelah 9 purnama menantikan kelahiran permata ketiga ini. Lantas sang ayah meggendong terus mengiqamatkan si anak,dengan harapan cahaya baru ini kan menjadi anak solehah yang taat pada Sang Pencipta,ibubapa serta tegar berbakti pada agama,bangsa dan negara. Itulah sebuah kelahiran seorang insan bernama, aku!!!

aku seorang pejuang!
            Diberi nama Nur Syuhadiah binti Abdul Halim yang membawa maksud "Cahaya Penyaksian".Penuh harapan dari kedua ibubapa mengharapkan anaknya memberi cahaya dan saksi kebaikan kedua orang tua yang menatang anakandanya bagai minyak yang penuh di akhirat kelak. Mak,abah..sesungguhnya diri ini menjadi saksi kebaikan dan jasamu di dunia ini menyempurnakan kewajipan pada anakmu.
            Saya dibesarkan dalam kehidupan yang penuh kesederhanaan. Abah menyumbangkan kudratnya sebagai 'pilot' bas SKMK,berulang alik dari Kuala Krai ke Kota Bharu mengangkut penumpang menyara keluargaku. Mak seorang serikandi penyeri kehidupan rumah kami. Membesar bersama 3 adik beradik yang lain,abang,kakak dan adik. Abang sulung bernama Muhammad Syakiran Wafil bin Abdul Halim penuntut tahap pertengahan ijazah Pembantu Perubatan di Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST). Kekanda tersayang merupakan mahasiswi tahun 2  Pengajian Syariah di Universiti Al-Azhar,Alexandaria,Mesir manakala adik bongsuku insyaAllah berperang dengan Sijil Pelajaran Malaysianya di Mahaad Syamsul Maarif Lilbanat,Pulai Chondong.Alhamdulillah kami sekeluarga menetap di istana kediaman kami di bandar Machang,Kelantan.Sebuah keluarga yang cukup sederhana tetapi teramat bahagia dan penuh dengan bi’ah Islami..
            Berbicara soal cita-cita,desakan minat yang mendalam terhadap bidang dakwah saya memilih kursus ini sebagai satu wadah untuk lebih mendalami ilmu dan gerak kerja mulia ini. Saya berhasrat bisa menjadi pakar dalam bidang dakwah yang mana paling tidak boleh menyumbang sesuatu untuk agama tercinta. InsyaAllah moga kami dapat melakukan sesuatu untuk Islam!
            Penutup cebisan ini,tertarik dengan kata-kata seorang pejuang dan mujaddid ,al-Imam Hassan Al-Banna,katanya  “ Andai diumpamakan ISLAM seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah.”

PENGEMBARAAN SEORANG DA’IE
Firman Allah dalam kitab agungNya :
 (وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون )
Yang bermaksud “ dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”
 ( Surah Al-Imran : 104)
            Pengalaman menjalankan gerak kerja dakwah merupakan suatu yang amat menyeronokkan dan mengajarkanku seribu satu pengalaman yang membawa jutaan erti. Peluang dakwah  yang terbentang didepan mata pasti tidak akan saya sia-siakan.Sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “apabila seseorang kamu melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan kamu(kuasa) jika tidak mampu ubahlah dengan lisan kamu ,jika tidak juga mampu maka ubahlah dengan hati kamu,itulah selemah-lemah iman.”
            Memulakan madah tentang pengalaman berdakwah dalam episod kehidupan,suka untuk saya kongsikan legasi dakwah ini merupakan suatu bidang yang sangat saya perhatikan dan seumpama menjadi darah daging dalam hidup. Dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang sangat mementingkan karenah agama dan syariat pastlah medan juang dakwah antara menu utama santapan kehidupan kami. Abah dan mak sememangnya sedari kecil teramat menitik beratkan hal-hal agama. Semenjak dari bangku sekolah menengah saya dijinak-jinakkan dengan program-program dakwah. Seawalnya ketika di usia menegah rendah di Maahad Syamsul Maarif Perempuan, saya dilantik menjadi ahli jawatankuasa Badan Dakwah dan Kepimpinan Islam (BALKIS). Di situ saya telah dilatih dan dipertanggungjawab kan mengurus pelbagai program dan aktiviti-aktiviti  berunsurkan dakwah dan islami. Penganjuran Malam Penghayatan Islam (MPM) merupakan aktiviti wajib yang dirangka jawatankuasa BALKIS kepada setiap tingkatan. Dari MPM ini saya diajar memupuk minat para peserta melazimi qiamullail, tadabbur dan membaca Al-Quran, melazimi doa-doa mathurat, solat-solat sunat, kesedaran tentang aurat, erti hidup sebagai hamba Allah dan lain-lain asas tentang fardhu ain.
            Saya juga ditaklifkan memegang usrah yang terdiri daripada adik-adik tingkatan satu. Usrah merupakan peluang dakwah yang sangat efektif untuk diprakatikkan. Dari situ, banyak peluang yang dapat saya manfaatkan samada dari segi memberi mahupun menerima. Perkongsian dari pelbagai bab dan bidang seumpama akidah, ibadah, akhlak, isu-isu semasa dan sebagainya diperbincangkan. Kekreatifan pembimbing usrah yakni naqib dan naqibah sebagai da’ie dalam membimbing usrah antara titik kejayaan sesebuah usrah dihadam dan diaplikasikan oleh mad’u. Selain dari dakwah formal di sekolah, saya juga terlibat dengan gerakan dakwah di luar sekolah. Setiap hujung minggu dan cuti umum persekolahan saya dan beberapa orang rakan yang lain membantu Masjid Pulai Chondong yang terletak berhampiran dengan sekolah mengajar al-Quran dan fardhu ain kepada anak-anak kecil di kampung tersebut. Kesungguhan ahli rakan masjid  menyebarkan dakwah kepada masyarakat setempat menerujakan saya untuk bersama mereka. Pendekatan dakwah kepada si cilik sangat berbeza berbanding pendekatan mad’u yang lain. Layanan yang harus diberikan dan karenah yang harus dihadapi membuka peluang kepada saya belajar ilmu kepelbagaian mad’u secara tidak lansung memberi serba sedikit persediaan awal untuk mendidik anak-anak. Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya maka mendidik anak-anak terutamanya tentang ilmu-ilmu agama haruslah bermula dari kecil.
            Disamping mengajar saya juga turut terlibat dengan program-program Kerajaan Negeri Kelantan sebagai sukarelawan. Antara program terbesar yang saya sertai dan masih segar di ingatan serta memberi kesan yang mendalam ialah Karnival al-Quran dan Sains yang diadakan di Maahad Tahfiz al-Quran wal Qiraat. Hampir seminggu saya berkampung disitu ditugaskan sebagai jawatankuasa unit penerangan. Kehebatan dan keajaiban al-Quran yang mana wujudnya lebih 1400 tahun dahulu sangat menakjubkan saya tatkala secara jelas dapat membuktikan keterkinian ilmu sains yang telah dikaji para saintis abad ini. Inilah antara kalam dakwah yang sangat bermakna apabila saya ditugaskan untuk bercerita dan memberi penerangan tentang kemukjizatan terbesar dari Allah ini kepada para pengunjung karnival tersebut.
            Menjejakkan kaki ke peringkat menengah tinggi semakin membuka ruang dan langkahan kaki ini menuju lapangan dakwah. Alhamdulillah saya mendapat tawaran ke Maahad Muhammadi Tumpat untuk meneruskan pengajian dalam aliran sains tulen. Medan juang yang lebih jauh semakin memuncakkan semangat dakwah ini dengan pertambahannya bilangan mad’u dan karenah yang pelbagai harus dihadapi. Disekolah baru ini juga saya mengaktifkan diri dalam Badan Dakwah dan Rohani Sekolah (BADAR) sehingga ditaklifkan sebagai timbalan pengerusi BADAR. Aktiviti-aktiviti dakwah dari sekolah lama dicadangkan untuk diteruskan disamping menjana idea-idea lain. Penubuhan jabatan nuqaba makin melicinkan kegiatan usrah, silibus-silibus usrah diperkemas dan diperbukukan semula sebagai kemudahan dan panduan para nuqaba’ menyampaikan usrah. Sesungguhnya bagi saya, usrah merupakan tunjang utama dalam tarbiyah dan dakwah. Andai berjayanya sesebuah usrah maka tidak menjadi masalah untuk menebar luas kegiatan dakwah yang lain. Daurah nuqaba’, rehlah tarbawi dan tamrin-tamrin merupakan aktiviti wajib jawatankuasa BADAR rencanakan buat seluruh warga maahad.
            Tamatnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberikan saya peluang rehat untuk jangka masa yang agak lama. Terkesan dari kata-kata seorang sahabat, “tiada istilah rehat yang berpanjangan bagi sang dai’e di dunia ini kerana kerehatan yang abadi hanyalah di syurga.” Saya memanfaatkan sepenuhnya cuti yang hampir 4 bulan itu dengan mewakafkan diri untuk gerak kerja dakwah. Setiap pagi anak-anak kampung akan datang kerumah untuk belajar mengaji al-Quran. Pada hujung minggu selepas asar pula, jawatankuasa masjid meminta bantuan saya mengajar kelas fardhu ain juga untuk anak-anak kampung di masjid berhadapan dengan rumah saya. Seringkali juga rumah saya dikunjungi mak cik-mak cik di kampung untuk diajarkan mengaji al-Quran dan serba sedikit ilmu agama. Sedikit ilmu yang ada saling dikongsi dan dipelajari.
            Sementara menunggu panggilan Institut pengajian Tinggi (IPT) saya kembali ke Maahad Syamsul Maarif mengisi masa dengan menuntut ilmu-ilmu Sijil menengah Agama (STAM). Bergelar pelajar senior semakin memudahkan urusan saya meneruskan agenda dakwah,memikat adik-adik junior bersama mencintai majlis-majlis ilmu dan program-program islami,dakwah dan tarbiyah. Sekali lagi tanpa diduga taklifan setiausaha BALKIS terpundak dibahu ini,diberi kepercayaan untuk meneruskan perjuangan bersama sahabaat-sahabat yang lain memimpin jiwa-jiwa warga maahad mendekati al-Khaliq.
            Pada tempoh itu juga, BALKIS dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menganjurkan ekspedisi Da’ie Muda ke perkampungan orang asli di Gua Musang, Kelantan. Ekspedisi yang menarik dan penuh cabaran ini memperkenalkan kami dengan mad’u yang baru dan sangat istimewa. Kampung Perlug, Post Tuel letaknya jauh dipedalaman merupakan sebuah perkampungan orang asli yang telah beberapa kali dijejaki oleh wakil-wakil agama seperti Kristian dan Islam. Alhamdulillah lebih separuh dari penduduk kampung telah melafazkan Syahadah . Misi utama kami menjejakkan kaki kesana pastinya untuk menyebarkan Islam buat warga penduduk. Sesampainya disana kami para da’ie muda diberikan keluarga angkat masing-masing. Dan saya sungguh bertuah menjadi anak angkat kepada penghulu kampung yang dikenali dengan tok batin. Mempunyai keluarga angkat yang cukup meriah dengan penghuni rumah seramai 15 orang merupakan suatu yang sangat menyeronokkan. Kami ditugaskan untuk mengajarkan asas-asas Islam dan fardhu ain kepada keluarga angkat masing-masing. Sambutan yang sangat baik memudahkan kerja-kerja kami dan pelbagai cara pendekatan dakwah yang digunakan untuk menyampaikan Islam kepada warga orang asli ini termasuklah dengan belajar cara hidup mereka,memajat bukit mengikut mereka bekerja bercucuk tanam, bersukan dan sebagainya. Dan apa yang sangat memberi kesan yang sangat mendalam kepada kami tatkala dapat mengislamkan beberapa warga penduduk disana. Deraian air mata tidak disedari turun tatkala mereka melafazkan kalimah agung “lailaha illallah,Muhammadu rasulullah”. Maha Suci Allah bertambah lagi bilangan saudara kita.
            Ekspedisi ini tidak berakhir begitu sahaja, malah kami telah meneruskan agenda ini kepada siri-siri yang seterusnya, dan walaupun saya sudah meninggalkan maahad tersebut namun misi ini tetap menjadi suatu perisian dalam taqwim kehidupan dan sukanya dikatakan bahawa ekspedisi ini telah memasuki siri yang ke lima malah kami telah mendirikan sebuah rumah di kampung tersebut dek kerana kekerapan berkunjung ke situ.
            Pengembaraan saya sebagai da’ie semakin menyeronokkan apabila diri ini melangkah ke bumi Universiti Malaya Kuala Lumpur. Menjejakkan kaki ke kota metropolitan ini membawa suatu perubahan pada diri  saya tatkala purdah menjadi pakaian rasmi. Niat yang terpendam begitu lama direalisasikan disini. Cabaran dan ujian pastinya tidak lari dalam fasa perubahan menjadi lebih baik, itulah hakikatnya. Ramai yang menyangka muslimah yang berniqab ini agak sukar untuk menjalankan gerak kerja dakwah dek kerana masalah komunikasi dan pergaulan namun  saya menyangkal spekulasi dan kenyataan itu. Buktinya kerak kerja dakwah yang biasa saya lakukan sebelum-sebelum ini seperti usrah, majlis-majlis ilmu, riadhah dan ziarah tetap saya jalankan seperti biasa malah mendapat sambutan yang lebih baik. Di sini saya ditempatkan di Kolej Kediaman Raja Dr.Nazrin Syah dan sekali lagi ditaklifkan sebagai jawatankuasa Balai Islam kolej selain jawatankuasa Asasi dibawah exco kerohanian. Taklifan ini makin melicinkan serta memudahkan gerak kerja menyeru kemakrufan dan meninggalkan kemungkaran ini.
            Setiap kali adanya sambutan perayaan kebangsaan seperti Hari Merdeka, Hari Malaysia, Tahun Baru dan hari memperingati kekasih (Valentine’s Day) , Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia (GAMIS) akan menganjurkan ekspedisi dakwah ke kota-kota besar di sekitar Kuala Lumpur. Antara yang paling segar di ingatan saya adalah ketika ekspidisi dakwah sempena sambutan malam kemerdekaan di Dataran Merdeka. Kami ditugaskan mengedar risalah berunsurkan jauhi maksiat dan hindari gejala tidak sihat serta sedikit makanan ringan kepada orang ramai disana. Pelbagai gelagat dan ragam manusia dapat disaksikan semasa ekspidisi ini, anak-anak muda berkeliaran, geng-geng black metal,.punk, golongan mak nyah, gay, dan lesbian, pasangan-pasangan yang bercinta serta tidak kurang keluarga turut bersama menantikan ambang merdeka.
berdakwah ditengah jutaan ummat
            Kami juga dikehendaki mencari beberapa mad’u sebagai sasaran dakwah tanpa putus. Kejadian yang sangat menyentuh hati saya dimana berkenalan dengan seorang kakak beberapa tahun lebih tua dari saya menjual air di kaki lima Dataran Merdeka, kakak yang sangat cantik dan muda tapi agak menyimpang dari landasan agama. Agak lama kami berbual dan berkongsi dan tidak disangka pertemuan yang sementara itu menitipkan bibit-bibit kemesraan diantara kami. Sangat mennyentuh hati saya apabila dia meluahkan rasa ingin berubah dan sangat gembira melihat insan-insan seperti kami. Dan perpisahan kami pada malam itu diakhiri dengan pelukan dan tangisan yang syahdu. Sedetik bersama meninggalkan kesan ukhuwwah yang sangat mendalam. Namun hubungan kami tidak teputus disitu,  saya terus menghubunginya pada hari-hari kemudiannya. Benar kata murabbiah saya, “lihatlah setiap mad’u dihadapan kita dengan pandangan kasih sayang” dan Alhamdulillah perubahan demi perubahan makin dirasai dan dapat dilihat dari kak Aira Jamil, nama yang tidak lekang dititipkan dalam doa.
            Bersempena dengan Hari Maulidurrasul, GAMIS juga menganjurkan flosh mob di sekitar KLCC. Dan saya tidak terlepas turut serta dalam acara yang sangat menarik ini. Demi meningkatkan kesedaran terhadap Rasulullah tentang kerasulannya, flash mob ini diadakan. Kami dikehendaki menjadi patung disepanjang stesen LRT KLCC. Pelbagai gelagat yang kami saksikan,ada yang memegang buku tentang sirah Rasulullah, memegang banner sayangkan baginda rasul dan macam-macam lagi. Alhamdulillah sedikit sebanyak aktiviti member impak kepada orang ramai. Dan flash mob kami pada hari itu diakhiri dengan perarakan skuad kami diiringi dengan  selawat ke atas junjungan mulia sepanjang stesen LRT ke dataran KLCC. KLCC bergema dengan alunan indah selawat pada hari itu,sungguh mendamaikan.
            Selain dari aktiviti-aktiviti dakwah anjuran pertubuhan mahasiswa,saya juga menyertai NGO Islamic Information and Services  Foundation (IIS) dan Saba’ Islamic media berpusat di Titiwangsa. NGO ini merupakan pertubuhan yang menjalankan kerja dakwah kepada non-muslim. Banyak aktiviti-aktiviti dakwah yang kami jalankan dan yang utamanya adalah “Street Dakwah”  yang diadakan setiap bulan di sekitar kawasan Kuala Lumpur. “Street Dakwah ini menampilkan kami berkongsi tentang Islam khususnya kepada non-muslim di luar sana. Semestinyalah sebelum melakukan agenda ini, kami diberikan didikan dan latihan untuk berhadapan dengan mereka-mereka ini. Ilmu perbandingan agama akan diajar kepada para sukarelawan didalam kelas untuk dipraktikkan di lapangan. Orator hebat seperti Bro Shah Kirit, Xifu Naser dan Bro Engku Fauzi antara guru yang banyak membimbing saya akan reality dakwah non-muslim ini. Kami juga dibawa ke rumah-rumah ibadat agama lain seperti gereja dan kuil untuk mencari mad’u. Sangat menerujakan dan kesyukuran tahap tertinggi tatakala ada yang melafazkan syahadah kerana biasan dakwah ini.
            Dan yang paling terkini dari IIS yang turut bersama saya turun padang ialah Dr.Zakir Naik Malaysia Tour 2012. Saya sempat menjadi sukarelawan untuk majlis di UITM Shah Alam dan PWTC. Pengalaman yang sangat berharga dapat bersama dengan orator terkenal dunia. Dalam berlansungnya pengucapan oleh Dr.Zakir NAik itu sempat saya berkongsi sedikit ilmu yang ada tentang islam dengan beberapa non-muslim yang ada. Datangnya dari pelbagai bangsa,dari Nyammar, Bangladesh, Jepun , Brunei dan serata dunia. Sungguh tersentuh hati saya apabila ada yang berterus terang dengan saya mereka sangat kagum dengan agama Islam dan berhasrat untuk memeluk agama mulia Islam. Dan jutaan dorongan dan semangat makin saya lontarkan kepada mereka. Secebis doa turut mengiringi semoga hidayah itu milik mereka.
Dr.Zakir Naik Tour soo osem
            Dizaman ICT dunia serba canggih dan berteknologi ini, saya juga tidak ketinggalan menyemarakkan dunia dakwah di alam maya. Saya meletakkan kewajipan pada diri saya meletakkan status berunsurkan tazkirah dan dakwah di facebook. Saya juga mempunyai blog peribadi yang dihasilkan untuk berkongsi pengalaman dan peringatan. qalamsyuhada-musafircintailahi.blogspot.com satu medan  dan astaka untuk saya menghunuskan pena dakwah ini.
            Itulah serba sedikit cebisan pengalaman dakwah yang pernah saya alami. Pengalaman yang sungguh bermakna yang mana kalau ingin dinukilkan di helaian kertas ini hanyalah secebis sahaja. Saya menebarkan dakwah,namun dalam masa yang sama juga saya belajar seribu satu perkara. Dan inilah pembelajaran tidak formal dan tidak lansung saya miliki.  Saya berharap semoga Allah istiqomahkan saya dalam perjuangan ini. InsyaAllah.
            Akhir kalam, suka untuk saya berkongsi satu kata yang saya petik dari sebuah buku “bila diri diwaqafkan untuk perjuangan Islam, jangan sesekali berniat untuk meloloskan diri, sekali melangkah ke hadapan maka teruskan langkah itu, jangan pernah terlintas untuk melepaskan ikatan rabithah perjuangan. Walau ribuan tribulasi melanda yakinlah dengan apa yang kita lakukan nescaya kemenangan pasti tiba. Derita kita adalah derita ummat terdahulu, penat kita hari ini adalah untuk generasi akan datang. Kita bukanlah yang memulakan perjuangan tetapi kita adalah rantai-rantai yang menyambung perjuangan.”
“Ya Allah.. Thabatkan hati kami dalam meniti liku dakwah ini.. Amin “  

*sedikit di edit untuk menambah perisa dan rasa.. =)

No comments:

Post a Comment